CAN I ADVISE YOU SOMETHING??!


SPRM mendedahkan sembilan set rakaman percakapan selama 45 minit yang didakwa konspirasi jenayah pada peringkat tertinggi.

Pada sidang media khas itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya, memperdengarkan klip audio berkaitan perbualan berkaitan kes skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd.

Antaranya, rakaman percakapan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, mendedahkan maklumat siasatan mengenai skandal dana 1MDB kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada 2016.

Latheefa berkata, semua rakaman percakapan yang didedahkan SPRM didakwa berlaku pada 2016, dan hasil siasatan setakat ini mendapati ia adalah tulen.

"Kami telah diberikan rakaman itu...selaras dengan penyiasatan, kami dapat mengesahkan kesahihan mutlak rakaman berkenaan.

"Kandungannya mengejutkan, ia adalah untuk menyembunyikan dan subversif keadilan....

“Demi kepentingan awam, kami mendedahkan kepada umum kandungannya," katanya mengenai sembilan set klip audio berkenaan.

Rakaman suara perbualan telefon yang diperoleh SPRM baru-baru ini oleh entiti yang tidak didedahkan itu, didakwa membabitkan sekurang-kurangnya 20 individu, sama ada secara langsung dan tidak langsung, yang berlaku antara 5 Januari 2016 hingga 29 Julai 2016.


Antara rakaman berkenaan iaitu Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Dzulkifli; bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) yang juga Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin dan bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Najib, Tan Sri Shukry Mohd Salleh.

Ia turut membabitkan perbualan Najib dengan Putera Mahkota Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan dan Ketua Eksekutif Mubadala Development Company (MDC) Khaldoon Al-Mubarak.

Latheefa berkata, perbincangan antara individu dalam rakaman terbabit menunjukkan wujud elemen konspirasi jenayah, pecah amanah, salah guna kuasa, pendedahan maklumat sulit kerajaan, cubaan memalsukan bukti, dokumen dan ancaman keselamatan negara.

“Kesemua sembilan set rakaman percakapan berkenaan diterima SPRM pada awal tahun ini.

“SPRM akan menyerahkan semua rakaman percakapan kepada polis untuk siasatan lanjut,” katanya.

“Dalam episod kotor pengkhianatan kepercayaan awam dan jenayah ini, kita boleh bersyukur kerana ada seorang penjawat awam berani yang tahu tentang tugasnya - Tan Sri Abu Kassim Mohamed," katanya.

Abu Kassim adalah Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika perbualan telefon itu didakwa berlaku. Beliau digantikan oleh Dzulkifli pada 1 Ogos 2016.

Perbualan telefon itu antaranya mendedahkan bagaimana Dzukifli yang ketika itu pegawai undang-undang di Jabatan Peguam Negara, memaklumkan maklumat siasatan kes SRC yang kepada Najib dan Abdul Azeez.

Turut didedahkan perbualan telefon antara Najib dan Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan dan Khaldoon Al-Mubarak.

Dalam rakaman itu, Najib mahu bertemu pertemuan dengan Sheikh Mohammed Zayed bagi mengatasi krisis yang tercetus susulan pendedahan Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat, selain meminta anak tirinya, Riza Shahriz Abdul Aziz diselamatkan daripada terpalit dalam skandal 1MDB.

Selain itu, perbualan telefon antara Najib dan isterinya, menunjukkan Rosmah memberi beberapa arahan kepada Najib, selain bekas Perdana Menteri itu mengesahkan sudah menandatangani surat pelantikan Dzulkifli sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu.

Rakaman suara terakhir adalah membabitkan Najib dan bekas pegawai khasnya, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin mengenai keengganan Sheikh Mohammed bertemu dengan Najib kerana khuatir ia akan diketahui umum.

Ditanya sama ada pendedahan rakaman itu akan menjejaskan kes-kes mahkamah yang sedang berjalan yang membabitkan Najib, Latheefa berkata: "Saya tidak melihat bagaimana ia akan menjejaskan (perbicaraan).

"Apa yang kita pentingkan ialah ini melibatkan kepentingan awam dan keselamatan negara yang serius. Jadi saya tidak melihat bagaimana ia tidak boleh dikongsi (dengan orang awam) dan memudaratkan kes-kes yang sedang berjalan, " katanya.

Klip audio berkaitan perbualan berkaitan kes skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd:

1- Perbualan didakwa antara bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor. https://youtu.be/4GufUYrC8Ic 

2 - Perbualan didakwa antara bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan Ahli Parlimen Baling yang juga bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim. https://youtu.be/lm71Va9mtfA 

3 - Perbualan didakwa antara bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan Ahli Parlimen Baling yang juga bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim. https://youtu.be/9jkEp1Lq34o 

4 - Perbualan didakwa antara bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan Tan Sri Shukri dari pejabat Perdana Menteri https://youtu.be/hpqs7UDgW7U 

5 - Perbualan didakwa antara Datuk Seri Najib Razak dan individu asing dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) https://youtu.be/vJKX24EGC8A 

6 - Perbualan didakwa antara Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Eksekutif Mubadala Development Company, Khaldoon Al-Mubarak. https://youtu.be/Bhx25C-4WyY 

7 - Perbualan didakwa antara Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Eksekutif Mubadala Development Company, Khaldoon Al-Mubarak. https://youtu.be/4U7S7ZDLGgg 

8 - Perbualan didakwa antara Datin Seri Rosmah Mansor bersama Datuk Seri Najib Razak. https://youtu.be/fuRz84oxbWw 

9 - Perbualan didakwa antara Datuk Seri Najib Razak dan bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin https://youtu.be/8nB059HVFx4 

Comments