Berikutan akuan bersumpah atau SD oleh Azilah Hadri, salah seorang pesalah dalam kes pembunuhan Altantuya Sharibuu yang mendakwa beliau diarahkan oleh Najib Razak untuk melakukan pembunuhan itu, semalam seluruh negara gempar jadinya dengan hampir semua orang bercakap dan mengulas perkara itu.
Rata-rata menuding jari kepada bekas Perdana Menteri itu, lebih-lebih lagi SD yang dibuat oleh Azilah ternampak lengkap dengan urutan peristiwa beserta tarikh-tarikhnya sekali.
Tidak kurang yang mengatakan “habislah Najib kali ini”, manakala bekas Perdana Menteri itu tidak mengambil masa yang lama untuk mengaitkan wujudnya SD itu sebagai perancangan kerajaan PH untuk segera memasukkannya dalam lokap tanpa boleh diikat jamin.
Dalam apa juga kes jenayah, motif adalah perkara paling penting sekali dan daripada motif itulah dapat diselongkar segala kebenaran.
Walaupun SD bukan semestinya betul dan 100 peratus boleh diterima sebagai bahan bukti di mahkamah, setidak-tidaknya dengan adanya SD Azilah itu, ruang lebih terbuka untuk melihat kes pembunuhan Altantuya dibuka semula dan keadilan ditegakkan.
Tetapi, dalam hal ini, menyasarkan Najib semata-mata tidak menjamin keadilan dapat ditegakkan dalam erti kata yang sebenarnya.
Memang Najib ketika kejadian pembunuhan Altantuya berlaku, beliau adalah Timbalan Perdana Menteri, namun sewaktu penyiasatan, perbicaraan dan proses hukuman melalui mahkamah, banyak pihak telah terlibat sehingga akhirnya Azilah dan Sirul dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.
Sementara hukuman gantung dijatuhkan pada 2015, Azilah kini diletakkan di Penjara Kajang, manakala Sirul telah melarikan diri ke Australia.
Maka itu, kita boleh bersetuju dengan kenyataan Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng yang mahu semua pihak yang disyaki terlibat, bukan setakat Najib saja, harus dibawa sama ke muka pengadilan.
Untuk pasukan penyiasat polis yang menyiasat kes pembunuhan Altantuya itu, mengapakah pegawai pengiring Najib, DSP Musa Safri misalnya, tidak pernah disiasat dan diambil keterangannya?
Bukankah DSP Musa adalah ketua kepada Azilah dan Sirul dalam tugas mereka menjaga keselamatan Najib?
Begitu juga dengan Pejabat Peguam Negara, bagaimanakah mereka boleh membuat pendakwaan terhadap Azilah dan Sirul, meskipun tanpa ada keterangan daripada saksi seperti DSP Musa?
Apakah Pejabat Peguam Negara ketika itu cuai, diberikan tekanan atau dengan sengaja melakukan pendakwaan, walaupun ada keterangan penting tidak dimasukkan?
Lebih parah, bagaimana pula hakim ketika menjatuhkan hukuman mati kepada Azilah dan Sirul, boleh menyimpulkan kedua-dua anggota UTK itu sebagai bersalah dengan mengatakan, motif pembunuhan tidak penting untuk diketahui?
Bukankah semua kejadian mesti ada motif dan tujuan, sedangkan Azilah dan Sirul tidak pun mengenali Altantuya itu?
Selain itu, mengapakah apabila rakan karib Najib, Abdul Razak Baginda yang kemudian didapati tidak bersalah kerana bersuhabat dalam pembunuhan Altantuya, tetapi Pejabat Peguam Negara tidak mengemukakan rayuan?
Comments
Post a Comment