KEPEMIMPINAN DAN KEPENGIKUTAN


Orang lazimnya membicarakan soal kepemimpinan. Manusia memang diwajibkan menjadi pemimpin, dalam pelbagai konteks. Ada yang jadi pemimpin negara, pemimpin organisasi, atau paling kurang pemimpin keluarga sendiri.

Manusia perlu memimpin sebagai memenuhi tanggung jawab sebagai khalifatullah di muka bumi ini.

Apa erti kepemimpinan? Pandangan Barat, kepemimpinan itu lebih kepada kebolehan untuk mempengaruhi pengikut untuk akur dan turut sama dalam usaha mencapai objektif. Takrifan Barat ini sangat manipulatif sifatnya kerana seseorang pemimpin boleh memanipulasikan kepercayaan pengikut untuk mencapai matlamat peribadi pemimpin tadi. Tapi hakikatnya inilah yang banyak berlaku dalam dunia ini.

Pandangan Islam pula kepemimpinan itu lebih kepada amanah sebagai 'gembala' (ra'in) yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga kesejahteraan anak gembalanya. Jadi sebagai pemimpin, dalam Islam, seseorang itu sangat perlu memegang amanah ini, tidak boleh manipulatif demi kepentingan peribadinya, sebaliknya meletakkan kesejahteraan pengikut sebagai tujuan utama.

Kepemimpinan tidak boleh berjaya tanpa kepengikutan yang efektif. Jarang sekali orang berbicara tentang kepengikutan.

Pemimpin yang baik akan tergugat jika mempunyai pengikut yang bengong.

Sebab itu kepengikutan juga perlu dilatih. Saidina Ali pernah ditanya "Wahai Ali, kenapa pada zaman khalifah terdahulu aku lihat kepemimpinan mereka kurang menghadapi masalah. Kenapa pada zaman pemerintahan mu banyak masalah dalam pemerintahan?" Maka jawab Ali, "Pada zaman Abu Bakar menjadi khalifah, pengikutnya adalah orang seperti Omar, Usman dan aku. Pada zaman pemerintahan Omar, pengikutnya adalah seperti Usman dan aku. Pada zaman pemerintahan Usman pula pengikutnya adalah orang seperti aku. Tapi pada zaman pemerintahan ku, pengikut ku adalah orang seperti kamu, yang banyak menyusahkan".

Pengikut yang baik adalah pengikut yang akur kpd arahan pemimpin, selagi arahan itu tidak bercanggah dengan perintah agama Islam. Pengikut yang menimbulkan masalah seperti mempunyai agenda peribadi, nak tunjuk pandai dsbnya menggugat pemimpin.

Sebaliknya pengikut yang suka 'please the boss' atau kaki angguk balam, kaki bodek juga menjahanamkan kepemimpinan.

Pemimpin pula perlu memperbanyakkan syura terutama dalam pembuatan keputusan yang mustahak. Akhir zaman, wahyu sudah tiada lagi. Jadi oleh kerana itu Islam menyuruh diperbanyakkan syura atau collective decision making. Pemimpin akan hebat jika dikelilingi oleh pengikut yang hebat. Pemimpin yang cerdik akan jadi bengong jika dikelilingi oleh pengikut yang bengong.

Memang kepemimpinan itu satu amanah yang berat.

Namun salah satu aspek dalam kepemimpinan yang selalu orang terlepas pandang ialah kepengikutan. Kedua-duanya perlu dilatih.

Comments