AWAN TIDAK PEDULIKAN SALAKAN ANJING!!!


Pernah dengar satu perumpamaan dalam Bahasa Arab: “Awan tidak pedulikan salakan anjing.”

Daripada Bahasa Arab juga ditemukan satu pepatah yang berbunyi: “Biarkan anjing menyalak, kafilah tetap berlalu pergi.”

Kedua-duanya membawa maksud yang sama. Awan yang berarak tidak berhenti hanya kerana anjing menyalak, sama seperti kafilah yang dalam perjalanan menuju ke satu perhentian atau tujuan.

Pepatah ini sudah menyerap ke dalam bahasa Nusantara. Dalam konteks semasa, ia cukup padan untuk menggambarkan agensi anti rasuah Malaysia yang kini dipimpin seorang ketua baharu.

Latheefa Koya yang menerajui SPRM sejak awal Jun tidak harus dan tidak perlu berhenti setiap kali kalau ada “anjing menyalak”.

Namun tidak dapat dinafikan bahawa Latheefa, bekas ahli PKR, memulakan tugas di SPRM dalam suasana yang sangat kurang selesa.

Pelantikannya dikritik oleh pemimpin politik kerajaan dan pembangkang serta badan masyarakat.

Yang dipertikaikan ialah kedudukan beliau sebagai bekas ahli parti sehingga menerima jawatan itu.

Selebihnya, pelantikan tersebut dianggap melanggar janji reformasi Pakatan Harapan yang mahu semua jawatan utama agensi kerajaan dirujuk terlebih dahulu ke Parlimen.

Realitinya, sehingga undang-undang mengenainya dipinda, kuasa tersebut masih ada pada perdana menteri. Pelantikan bagi jawatan tertinggi di SPRM dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

Kuasa sama juga setakat ini masih pada perdana menteri untuk melantik pesuruhjaya di Suruhanjaya Pilihan Raya, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.

Hakikatnya, pelantikan Latheefa tidak ada cacat dari segi undang-undang.

Namun riuh rendah selepas namanya diumumkan sudah membentuk cara pandang masyarakat seolah-olah ada yang tidak kena dengan pelantikannya.

Maka, Latheefa telah memulakan tugas di SPRM dengan lampu sorot yang mengekori setiap langkahnya.

Apa yang beliau buat dan tidak buat jadi perhatian. Apa yang beliau ucap dan tidak ucap jadi cemuhan.

Baru-baru ini, seragam rasmi dengan riben lintang dan lencana pangkat SPRM yang beliau pakai dalam satu majlis rasmi agensi anti rasuah itu kelmarin jadi cemuhan di media sosial.

Seorang pemimpin Umno malah sampai bertanya dengan nada mengejek, apakah “bintang dan pingat” yang Latheefa pakai pada seragamnya itu dibeli di Lazada.

Latheefa sehari kemudian mengeluarkan satu kenyataan menjawab kritikan Umno.

Katanya, riben lintang dan lencana pangkat yang beliau pakai bukan pingat atau darjah kebesaran diraja. Ia adalah pemakaian yang ditetapkan oleh SPRM berdasarkan Perintah Tetap Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 2012.

“Secara telus saya mengaku, saya baru sahaja mempelajari berkenaan lencana pangkat, bar ribbon dan pemakaian seragam.

“Prioriti segera saya sejak mengambil alih tugas adalah melibatkan beberapa kes rasuah yang serius dan bukanlah butiran pemakaian seragam saya,” katanya.

Tetapi apakah perlu Latheefa menjawab setiap satu kritikan dan cemuhan terhadapnya, dan menjawabnya sekarang?

Rasanya tidak perlu. Biarlah anjing menyalak, kafilah mesti teruskan perjalanan.

KS percaya Latheefa kini sibuk dengan kerja di agensi anti rasuah itu sejak kerajaan bertukar di Putrajaya.

Kerja itulah yang harus jadi perhatian, dan bukannya apa yang orang kata tentang SPRM atau dirinya.

Latheefa ada segala apa yang beliau perlukan untuk menjalankan tugas yang dituntut daripadanya, terutamanya sokongan kerajaan dan harapan rakyat.

Rasanya tidak payah Latheefa atau SPRM layan semua kritikan dan cemuhan. Bukan sekarang. Sekarang masa untuk fokus pada kerja. Hasil kerja itulah nanti yang akan menjawab semua kritikan dan cemuhan.

Kalau hendak berhenti dan melayan semua salakan dan gonggongan, kafilah tidak akan sempat sampai ke tujuan.

Apatah lagi, anjing tabiatnya memang menyalak kepada sesuatu yang ia tidak kenal.

Yang penting, orang yang disalak tidak harus sama sekali cemas.

Nota kaki: Dengar-dengar ada kejutan terbaru dari SPRM selepas ini? Jaga-jaga!!!

Comments