PENING...ASBAB???


Kejayaan seorang lelaki selalunya dikaitkan dengan berdirinya seorang wanita di sebelahnya.

Adapun kejayaan operasi SPRM memerangkap begitu ramai anggota penguatkuasa JPJ negeri Pulau Pinang yang terlibat dengan rasuah dari sandiket tonto baru-baru ini juga "asbab" munculnya seorang wanita yang melaporkan.

Tidak ramai yang berani bertindak untuk membuat laporan jika mereka mengetahui saudara mara atau orang terdekat yang berani mengambil rasuah secara bulanan sehingga mencecah puluhan ribu.

Aktiviti seperti ini sudah semestinya telah berlaku bukan baharu! Mungkin sudah berbelas dan berpuluh tahun selagi ada pembangunan, permintaan dan pemberi yang mahu menutup kesalahan.

Pekerja perkhidmatan awam begini silih berganti dari generasi baharu masuk kerja sehingga ke peringkat umur pencen. Tidak tahu berapa ramai lagi yang masih beroperasi, namun mungkin telah ramai yang sudah bertaubat.

Rasuah adalah jijik kerana alQuran telah memberikan amaran bahawa "penerima rasuah dan pemberi rasuah, tempatnya di neraka"

Memang enak menerima rasuah ketika bekerja dalam perkhimatan awam, kerana mereka mempunyai kuasa terhadap sesuatu urusan, tanpa perlu bersusah payah kerja berlebihan, mereka mengaut laba dan dengannya berbelanja mewah mengumpul harta dan berjoli.

Semua itu akan berakhir sama ada penerima rasuah sedar sendiri akan dosanya, atau pihak penguatkuasa anti rasuah menghidu kegiatan mereka ataupun pertukaran kakitangan secara berkala.

Sebagai rakyat di luar, kita mempunyai kewajipan jika mengetahui jika berlaku rasuah. Seperti sabda Nabi junjungan, sesiapa melihat kemungkaran hendaklah dia mencegah dengan tangan, jika tidak mampu, cegahlah dengan perkataan, dan jika tidak mampu, cegahlah dengan hati - itulah selemah-lemah iman.

Banteras rasuah bukan suatu yang memalukan, kerana ada suara ejekan dari pelbagai hala "alah kalau kau tak, orang atas makan lagi besar" begitulah nilai dan tanggapan sesetengah manusia yang tidak mempunyai perasaan dan iman.

Sesuai dengan iltizam pemerintah baharu Malaysia untuk memerangi rasuah sehingga ke akar umbi, sewajarnya semua rakyat memberikan kerjasama sebaiknya supaya negara kita bebas dari ketirisan, penguatkuasaan yang tidak adil, jenayah dan penyalahguna kuasa yang keterlaluan.

Kalau tidak berjaya sepenuhnya tahun ini, teruskan ditahun hadapan dan tahun seterusnya.

Adios.. Selamat bersahur...

Comments