Wang gaji yang diperoleh secara halal seolah-olah tidak cukup, walaupun kalau dibandingkan dengan orang yang mengutip barang-barang terpakai untuk kitar semula, pendapatan penguat kuasa JPJ jauh lebih tinggi.
Tetapi malangnya mereka dikuasai nafsu.
Kuasa yang dimiliki dijadikan alat untuk mengaut kekayaan secara haram.
Soal haram halal bukan lagi perhitungan yang tidak kira apapun melintas di depan mata waima bangkai sekalipun akan dibahamnya.
Begitulah juga penguat kuasa JPJ yang sanggup menerima rasuah.
Selama bertahun-tahun mereka menyuapkan rezeki haram ke mulut anak dan isteri, mungkin juga kepada ibu bapa di kampung. Mereka tidak fikirpun betapa jijiknya perbuatan tersebut.
Kini menyesalpun sudah tidak berguna. Mereka harus menerima akibat daripada kebodohan sendiri kerana bersedia menjadi ‘balaci’ kepada kelompok yang sanggup memberi rasuah bagi memastikan kegiatan jahat mereka melanggar undang-undang tidak dikenakan tindakan.
Apa yang berlaku di JPJ Pulau Pinang itu memberi isyarat kepada kita bahawa rasuah kini sudah menjadi barah dalam agensi penguat kuasa.
Tindakan segelintir penguat kuasa tidak kira agensi manapun sanggup menerima rasuah telah mencemarkan nama baik agensi dan rakan-rakan mereka.
KS percaya ribuan lagi anggota penguat kuasa yang menyara anak isteri dengan sumber halal.
Biarpun susah macam manapun mereka tidak akan menggadaikan maruah dan mengkhianati amanah dengan menerima wang haram.
Atas sebab itulah, penguat kuasa yang menjadi ‘parasit’ dalam jabatan masing-masing harus dihapuskan.
Mereka tidak layak sama sekali berada di dalam jabatan berkenaan kerana menjadi ‘penyebar virus’ rasuah.
Kepada anggota penguat kuasa yang masih belum lagi ‘memakai baju oren’ dan ada potensi untuk memakainya, hentilah kegiatan haram kalian, sebelum terlambat. Mungkin juga anda akan terlepas daripada memakai ‘kemeja T paling ditakuti’ itu disebabkan anda licik, tetapi pembalasan daripada Allah pasti ada.
Menjamah dan mengalirkan wang haram dalam tubuh anda sekeluarga tidak akan ke mana, bak kata orang, di dunia anda mungkin akan diserang pelbagai penyakit, keluarga menjadi porak peranda. Di akhirat menjadi bahan bakar api neraka.
Comments
Post a Comment