Jika sebelum dan semasa PRU
Ke-14, ramai pemimpin PH seolah-olah menunjukkan merekalah golongan terpilih
untuk menyelamatkan negara kerana bersih, benci rasuah, menentang penyelewengan
dan salah guna kuasa.
Tetapi KS tertanya-tanya apakah
benar biarpun baru 10 bulan memerintah ada antara mereka semakin sudah tidak
mampu mengawal godaan apabila sudah berkuasa?
Lihatlah bagaimana ada
pegawai-pegawai lantikan politik yang bekerja dengan menteri semakin tunjuk
taring dan antaranya didakwa menyalah guna kuasa.
Dikhabarkan juga ada ketua-ketua
jabatan diugut agar menuruti cakap dan percakapan mereka, khususnya dalam soal
perolehan. Jika enggan, mereka akan ditukarkan ke jabatan lain.
Selain itu turut didakwa berlaku
ialah ada menteri yang begitu berani melibatkan anak-anak dalam mesyuarat
perolehan dan beberapa lagi salah laku.
Untuk bertindak adil, kita tidak
berhak untuk menyatakan sama ada apa yang didakwa benar-benar terjadi tetapi
pada masa sama kita juga tidak berhak menuduh semua itu fitnah.
Oleh itu, semua dakwaan itu harus
diserahkan kepada SPRM untuk disiasat.
Jika tidak bersalah tidak
perlulah semua anggota Kabinet dan pegawai mereka takut dan tidak keberatan
siasatan dilakukan.
Ini kerana sebagai anggota dalam
sebuah kerajaan yang sentiasa menganggap kerajaan dahulu penuh rasuah,
penyelewengan, salah guna kuasa dan mencuri wang rakyat, inilah masanya untuk
membuktikan ketelusan.
Banyak lagi faktor lain yang jika
tidak ditangani dengan betul oleh PH akan mengundang bencana kepada kuasa
politik mereka. Dalam soal ini, jangan menuding jari kepada Tun Dr. Mahathir
Mohamad yang berkorban masa dan tenaga untuk memulihkan negara.
Usaha beliau akan menjadi
sia-sia, jika barisan Kabinet dan pemimpin-pemimpin dalam pakatan itu terus
mahu berpolitik sepanjang masa termasuk melibatkan urusan kerajaan serta tidak
mengelak daripada berperangai seperti ‘membahagi-bahagikan harta rampasan
perang’.
Masa masih ada untuk memperbaiki
segala kelemahan kerana ketika ini rakyat bagaikan diberi harapan palsu akibat
pentadbiran negara yang dilihat haru-biru berikutan pemimpin kerajaan yang
masih keliru dalam era Malaysia Baharu.
Jangan sampai rakyat tunjukan 'taring'.
Comments
Post a Comment