Terbaru SPRM menahan seramai 22 lagi penguat kuasa JPJ menjadikan jumlah keseluruhan 55 individu kerana dipercayai terlibat dengan kegiatan rasuah melindungi pemandu-pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya khususnya membawa lebih muatan.
Dikatakan pula penguat kuasa JPJ dikesan mengutip wang rasuah daripada pemilik syarikat lori untuk diberi kepada pegawai atasan mereka bagi tujuan berhibur.
Malah, pada masa sama, anggota terbabit juga menggunakan wang itu untuk perbelanjaan peribadi selain menampung aktiviti hiburan pegawai atasan atas sesuatu tugasan.
Akhirnya kegembiraan golongan berkenaan yang selama ini begitu gembira dengan hidup mewah hasil daripada perbuatan haram tersebut terencat dengan ketegasan SPRM…Tiada yang terselamat..
SPRM mengatur langkah pula untuk membanteras rasuah dan salah guna kuasa penguat kuasa JPJ.
Dalam soal ini, KS bukanlah bermaksud kesemua mereka terlibat dalam jenayah tersebut tetapi terdapat segelintir penguat kuasa yang terus hidup mewah dengan menjamah wang haram. Walaupun peringatan sudah diberikan namun masih ada yang belum mahu insaf.
Sikap tamak itulah yang memungkinkan gejala rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan anggota penguat kuasa dilihat semakin serius, seolah-olah tiada sesiapapun mampu menahan kerakusan mereka mengkhianati amanah yang diberikan.
Keadaan itulah yang memungkinkan pelbagai kegiatan haram lain termasuklah kerugian kepada hasil negara.
Ia berlaku kerana sindiket tidak takut kepada undang-undang, mereka tidak risau apa-apa kerana segala-galanya sudah diuruskan dengan anggota penguat kuasa yang terlibat. Kesudahannya undang-undang hanya menjadi bahan ketawa kepada sindiket manakala amaran untuk mana-mana pihak membanteras sesuatu kegiatan haram dipandang sinis.
Semua itu berlaku kerana penguat kuasa sudah dijangkiti virus rasuah yang amat teruk.
Adalah sesuatu yang memualkan apabila kita masih terus mendengar cerita-cerita bagaimana sindiket begitu mudah merasuah penguat kuasa.
Justeru sudah tiba masanya SPRM melanjutkan pula serbuan, siasatan dan tangkapan ke atas penguat kuasa JPJ yang masih berbaki itu. Burulah mereka yang terlibat dengan perbuatan haram itu habis-habisan.
Jangan biarkan seorangpun terlepas. Dalam soal ini, kita yakin SPRM akan berupaya melakukan tindakan tanpa memilih bulu kerana kita tidak mahu tindakan dilihat hanya melibatkan orang bawahan sahaja sedangkan pegawai-pegawai atasan terus bermaharajalela.
KS pernah diberitahu oleh satu sumber jumlah rasuah melibatkan penguat kuasa JPJ dalam tempoh sebulan bukan lagi sekitar ratusan ringgit tetapi ada antaranya sudah mencapai ribu riban ringgit.
Hakikatnya tidak kira berapa banyakpun 'modal’ yang terpaksa dikeluarkan sindiket, ia bukanlah masalah bagi mereka kerana keuntungan mereka perolehi adalah berlipat ganda daripada jumlah 'menyuap mulut’ penguat kuasa JPJ.
Ternyata sekali sindiket jauh lebih bijak daripada segelintir penguat kuasa yang sanggup memperbodohkan diri dan menggadaikan maruah semata-mata mahu hidup mewah.
SPRM tidak perlu bertangguh lagi. Banteraslah segera penguat kuasa rasuah di semua peringkat. Ini memandangkan perbuatan mereka amat bahaya kepada keselamatan negara.
Sementara mereka hidup mewah, undang-undang pula hanya sekadar berada di bawah tapak kaki sindiket-sindiket.
Justeru SPRM perlu bertindak segera untuk memastikan penguat kuasa yang mengamalkan rasuah ini tidak terus menjadi barah dalam JPJ.
Perlu diingat rakyat menaruh harapan tinggi kepada anggota agensi penguat kuasa untuk melindungi dan membela nasib mereka. Tidak kira dalam apa perkara sekalipun termasuklah dalam keselamatan jalan raya.
Apa yang berlaku menunjukkan gejala rasuah dalam kalangan penguat kuasa bukan lagi perkara kecil malah ia semakin merebak dan mungkin sudah membarah dalam sesetengah agensi.
Justeru SPRM perlu bertindak, jadikanlah bulan ini sebagai bulan pembersihan ke atas agensi-agensi penguat kuasa. Kita percaya ramai lagi dalam kalangan anggota penguat kuasa yang jujur dan amanah melaksanakan tanggungjawab mereka.
Tetapi kelompok ini turut terseret sama disebabkan segelintir anggota penguat kuasa yang terus mahu 'menghidangkan' rezeki haram kepada isteri dan keluarga mereka.
Apapun mereka yang terlibat perlu bersedia menerima padahnya kerana KS yakin golongan itu sudah pasti ada dalam radar SPRM.
Jadi tidak perlulah pening-pening!!!
Comments
Post a Comment