Akhirnya MG Gnanaraja dihadapkan
ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tiga pertuduhan menipu seorang pengarah
urusan membabitkan RM19 juta berhubung siasatan projek terowong dasar laut
Pulau Pinang, dua tahun lalu.
Gnanaraja, 38, bagaimanapun
mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di
hadapan Hakim Rozilah Salleh.
Dia didakwa memperdayakan
pengarah urusan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd untuk mempercayai bahawa
dia boleh membantu mangsa menutup siasatan yang dimulakan oleh Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mangsa di bawah Akta Pencegahan Wang
Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Consortium Zenith Construction
adalah kontraktor utama bagi projek terowong dasar laut itu.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa
dengan curangnya mendorong pengarah urusan terbabit menyerahkan kepadanya wang
tunai RM4 juta dan RM15 juta melalui transaksi akaun Maybank milik Syarikat
Visione Construction Sdn Bhd ke akaun CIMB Bank milik Syarikat Bumi Muhibbah
Capital Holding Sdn Bhd.
Gnanaraja didakwa melakukan
kesemua kesalahan di sebuah hotel di Damansara dan sebuah bank di Jalan Ampang,
Kuala Lumpur, pada Julai dan Ogos 2017, dan dituduh mengikut Seksyen 420 Kanun
Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara satu hingga 10 tahun serta
sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM,
Datuk Umar Saifuddin Jaafar, yang mengendalikan pendakwaan menawarkan Gnanaraja
diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan pasport
tertuduh diserahkan kepada mahkamah.
Peguam Datuk Geethan Ram Vincent
yang mewakili tertuduh tidak membantah tawaran jaminan itu.
Mahkamah membenarkan tertuduh
dibebaskan dengan jaminan RM100,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 6 Mei
ini untuk sebutan semula kes.
Hakim turut memerintahkan
tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Menurut sumber SPRM sebelum ini,
tertuduh ditahan pada Februari tahun lalu selepas didakwa menerima wang
berjumlah RM19 juta daripada syarikat pembinaan projek terbabit selepas
dikatakan mampu menyelesaikan siasatan yang dijalankan SPRM.
KS: Tak sabar tunggu minggu depan…katanya ada berpuluh-puluh pertuduhan lagi berkaitan kes terowong ni…Apa macam RPK??? Tak kan sudah melopong...
Comments
Post a Comment