Kegelojohan berpolitik kebelakangan ini membuatkan hala tuju
negara kabur…
Ditambah pula dengan pemimpin-pemimpin kurang berpengalaman
serta diburukkan lagi dengan mentaliti pembangkang yang masih menebal dalam
kalangan menteri sedia ada menyukarkan negara ini bergerak.
Pengaruh atau campur tangan politik ini diburukkan lagi
bilamana memegang jawatan seperti setiausaha politik, pegawai khas, setiausaha
sulit, pegawai seranta dan pelbagai jawatan yang diwujudkan di pejabat menteri
ini mula menunjukkan taring masing-masing.
Lantikan politik bagi jawatan ini kebanyakannya tidak
memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh JPA terutama dari segi kelayakan asas
akademik, namun jawatan yang disandang terlalu tinggi hingga ke taraf Jawatan
Utama Sektor Awam (JUSA) hanya kerana membalas budi perjuangan politik
kononnya.
Akibatnya, apabila menyandang jawatan dan duduk di pejabat
menteri maka masing-masing semakin gila menyalahgunakan kuasa.
Ketua-ketua jabatan diugut agar menuruti cakap dan
perancangan mereka, khususnya dalam soal perolehan. Jika enggan maka mereka ini
akan dikenakan tindakan ditukarkan ke jabatan lain.
Dalam isu lain pula, kontrak yang telah dianugerahkan kepada
kontraktor ketika era kerajaan terdahulu disekat dan digantung pembayarannya.
Ini semua dilakukan dengan tujuan memberi tekanan dan pada
masa sama meminta komisien atau sumbangan jika kontraktor terbabit ingin
meneruskan projek-projek terbabit.
Persaingan dalam mendapatkan kontrak-kontrak kerajaan
menjadi semakin sukar. Ini kerana projek baharu masih belum ditawarkan manakala
projek sedia ada yang telah melebihi 50 peratus berjalan dihentikan atau
sengaja dilewat-lewatkan pembayaran.
Akibatnya syarikat mengalami kerugian besar sehingga
terpaksa memberhentikan pekerja mereka. Tidak sampai setahun memerintah, telah
ada menteri yang begitu berani melibatkan anak-anak dalam mesyuarat perolehan,
pegawai khas digelar ‘menteri kedua’, setiausaha politik ditangkap menerima
hadiah malah telah ada pemerintah negeri yang menampakkan kekayaan membeli
banglo bernilai jutaan ringgit secara tunai.
Apakah ini selari dengan perjuangan dan laungan Tun Dr.
Mahathir Mohamad untuk memperkasakan integriti dan memerangi rasuah? Apalah
penting sangat menukar slogan ‘Saya yang menurut perintah’ kepada ‘Saya yang
menjalankan amanah’ jika beginilah hala tuju hari ini?
KS yakin seluruh rakyat mahukan perubahan terutama memerangi
rasuah dan menegakkan integriti.
Semangat Malaysia Baharu yang diuar-uarkan pada permulaan
pemerintahan, tidak disangka-sangka menjadi lebih teruk dan amat mengecewakan.
Hentikanlah sandiwara politik, cengkaman politik dan
politiking yang boleh menghancurkan negara tercinta.
Comments
Post a Comment