Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan
Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah ketika merasmikan Penggal
Kedua Parlimen ke-14 minggu lalu, mahu gejala rasuah terus diperangi kerana ia
membebankan rakyat dan meruntuhkan asas sesebuah negara.
Dengan teguran baginda
memperlihatkan betapa serius rasuah yang berlaku di Malaysia dan ini dapat
dilihat dari segi jumlah tangkapan SPRM, termasuk skandal besar seperti 1MDB,
Tabung Haji dan FGV serta skor CPI yang masih tidak menunjukkan perubahan
signifikan.
Malah, Yang di-Pertuan Agong juga
menzahirkan penghargaan di atas usaha kerajaan memperkenalkan Pelan Antirasuah
Nasional dan menggubal undang-undang berkaitan untuk memperkukuhkan tadbir
urus. Titah baginda diharapkan usaha itu dapat memperbaiki kedudukan negara
dalam Indeks Persepsi Rasuah.
Sudah tentu pelan ini bakal
membuka lembaran baharu negara merangkumi beberapa perkara dasar negara dalam
usaha memerangi rasuah. Ia seharusnya menjadi platform membersihkan apa juga
ruang untuk gejala rasuah bertapak di negara ini.
Kerangka untuk tempoh lima tahun
itu dijangka menyentuh isu tadbir urus, integriti dan antirasuah secara
menyeluruh, sekali gus boleh menutup ruang dan peluang untuk rasuah terus
berlanjutan dengan syarat ia diberi kerjasama oleh jabatan kerajaan dan orang
ramai.
Dalam titah baginda menunjukkan
bahawa Yang di-Pertuan Agong sangat prihatin isu rasuah yang serius berleluasa
di negara ini. Rasuah dan salah guna kuasa sememangnya musuh nombor satu kerana
kesannya bukan sahaja membabitkan aspek ekonomi, sosial, malah politik negara.
Gejala ini bukan sahaja
menghalang pertumbuhan ekonomi, seterusnya menyebabkan Keluaran Dalam Negeri
Kasar (KDNK) menurun dan menghindari syarikat besar untuk melabur, sekali gus
mencemarkan imej negara.
Apa yang dititahkan oleh Yang
di-Pertuan Agong adalah benar kerana mengikut Timbalan Perdana Menteri, Datuk
Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Malaysia mengalami ‘kerugian’ RM47 bilion
daripada KDNK sepanjang tahun lalu disebabkan oleh gejala rasuah.
Malah, SPRM, baru-baru ini
mengesahkan bahawa tahap rasuah di Malaysia tambah membimbangkan. Berdasarkan
kepada tangkapan SPRM dari tahun 2013 hingga 2018, 55.1 peratus terdiri
daripada golongan berumur 20 hingga 39 tahun.
Kakitangan kerajaan pula yang
terbabit dalam kegiatan rasuah adalah 44 peratus daripada jumlah tangkapan
seramai kira-kira 4,200 orang. Peratusan tangkapan SPRM sangat membimbangkan
bukan sahaja dewasa ini bahkan masa depan negara yang akan dipimpin anak muda
masa kini.
Kerajaan patut mencari punca
masalah integriti yang dihadapi masyarakat, barulah Malaysia boleh mencari
model tersendiri bagi menghapuskan rasuah di dalam negara pelbagai kumpulan
etnik.
Negara perlu teguh dalam undang
undang, institusi pengawasan yang bebas dan broad societal consensus.
Untuk memperbaiki prestasi CPI,
kerajaan perlu bekerja keras menunaikan janji manifesto isu rasuah seperti
pemberian kontrak secara tender terbuka kepada yang berwibawa bukan kroni. Cara
sebegini boleh meningkatkan lagi kepercayaan masyarakat kepada kerajaan baru.
Dengan usaha kerajaan yang
bersungguh-sungguh hendak membanteras rasuah sudah tentu CPI dan tahap rasuah
akan bertambah baik pada tahun tahun mendatang.
Usaha membanteras rasuah bukan
hanya diletakkan kepada SPRM semata-mata bahkan kita semua rakyat Malaysia
sewajarnya sama-sama menunjukkan komitmen menghapuskan rasuah demi bangsa dan
negara.
Comments
Post a Comment