Meskipun kedudukan kerajaan PH di
Johor nampak tenang dan kelihatan berjalan seperti biasa serta tiada isu yang
menggugat kestabilannya, tetapi sebenarnya ia berada dalam keadaan yang sangat
rapuh untuk mengekalkan kedudukannya dalam PRU akan datang.
Sebahagian besar masalah di Johor
ialah melibatkan karenah dan intergiti Menteri Besarnya, Osman Sapian.
Sejak awal dilantik ke jawatan
itu lagi, ramai bangsa Johor yang mula geleng kepala dan sukar menerima beliau
sebagai peneraju negeri itu.
Sebelum PRU14 lalu, bayangan
sebahagian besar pengundi Johor jalah jika UMNO berjaya ditumbangkan, kalau pun
tidak Muhyiddin Yassin, sekurang-kurangnya Salahuddin Ayub yang mereka harapkan
akan dilantik sebagai Menteri Besar Johor.
Ia diperkuatkan lagi dengan
Muhyiddin dan Salahuddin bertanding dua kerusi iaitu Parlimen dan juga Dun di
Johor ketika itu.
Muhyiddin, selain bertanding di
Parlimen Pagoh, beliau turut sama bertanding di Dun Gambir. Beliau menang
kedua-dua kerusi tersebut.
Salahuddin juga bertanding dua
kerusi iaitu Parlimen Pulai dan Dun Simpang Jeram di mana beliau menang
kedua-duanya.
Tetapi, apabila Osman dilantik
sebagai Menteri Besar Johor, manakala Muhyiddin dan Salahuddin diberikan
jawatan menteri pusat, ramai yang mula kecewa dan tawar hati.
Episod kekecewaan dan tawar hati
itu kemudian berkembang apabila Osman didapati melantik individu tertentu
sebagai kakitangannya serta dikatakan meneruskan pemberian projek-projek
kerajaan kepada kroni-kroni???
Perlukah dikatakan meneruskan
pemberian projek-projek kerajaan kepada kroni-kroni???
Ramai yang tampak kecewa kerana
Osman dilihat tidak berjaya membawa perubahan kepada negeri Johor.
Seterusnya tersebar pula berita
di media-media sosial berkenaan isterinya yang pergi merasmikan program-program
kerajaan sebagai mewakilinya.
Aduh…apa nak jadi dengan beliau
ini???
Isu seterusnya ialah berkaitan
kelayakan akademiknya yang menjadi pertikaian. Meskipun beliau selepas itu
mengakui tidak pernah memiliki ijazah, namun kelulusan palsunya sebelum ini
telah pun dimasukkan dalam warta rasmi kerajaan Johor.
Dengan itu, tembelangnya yang
tidak berjaya ditutup itu telah menambah lagi hilangnya keyakinan rakyat
terhadap kepimpinannya.
Terbaru, imej beliau sebagai
ketua kerajaan negeri merudum lagi apabila pemergiannya ke Batam terdedah di
ketika rakyat Pasir Gudang sedang bergelut diancam bahaya toksid akibat
pencemaran bahan buangan kimia di Sungai Kim Kim.
Ramai yang mempersoalkan, mengapakah
Osman tidak membatalkan saja pemergiannya dan mewakilkan kepada Exconya saja ke
Batam itu?
Apakah beliau tidak sedar atau
tidak tahu keutamaannya sebagai ketua kerajaan negeri?
Bersama semua isu yang
membelenggu Osman itu dan mengakibatkan nama PH selaku pentadbir kerajaan
negeri terus terjejas, sungutan demi sungutan serta desakan agar beliau
ditukarkan kian kedengaran di mana-mana sekarang ini.
Beberapa kelompok yang dalam
PRU14 lalu diketahui mengundi PH, kini secara terbuka mengatakan tidak mahu
lagi memberikan undi mereka kepada gabungan itu dalam PRU akan datang jika
Osman masih ada di kedudukannya sekarang.
Kelompok ini bukan saja daripada
pejuang dan penyokong parti, tetapi juga merangkumi segmen tertentu dalam
perjawatan kerajaan sendiri.
Bagi majoriti penyokong dan
pengundi PH, susah payah dan kesatuan mereka menolak BN seolah-olah tidak
berbaloi dengan pelbagai karenah yang ditunjukkan Osman selaku Menteri Besar
Johor.
Berbanding Perak atau Kedah yang
hanya ada majoriti tipis ketika membentuk kerajaan selepas pilihanraya lalu,
namun kedudukan kedua-dua kerajaan negeri itu tidaklah serapuh Johor dalam
menghadapi cabaran mendatangnya.
Jika PH masih juga mengekalkan
Osman sehingga pilihanraya akan datang, sementara kerajaan negeri lain masih
ada harapan untuk dipertahankan, Johor nampaknya akan menjadi negeri pertama
yang akan ditumbangkan oleh pengundi yang dahulu memenangkannya.
Mungkin sukar untuk mengharapkan
Muhyiddin atau Salahuddin dibawa menerajui Johor, tetapi mengekalkan Osman
adalah tindakan yang jelas menempah maut bagi PH.
Yang rakyat Johor mahukan ialah
Osman mesti ditukarkan jika ingin ada harapan PH dikekalkan lagi. Kalau pun pun
bukan Muhyiddin atau Salahuddin, sesiapa juga boleh diterima, asalkan bukan
Osman yang terus dikekalkan.
Berbual dan berjumpalah dengan
pelbagai kelompok pengundi Johor sekarang, ghairahnya mereka mahu menukar
kerajaan sama seperti mereka ingin menumbangkan UMNO sebelum PRU14 dulu.
Comments
Post a Comment