BUTA!!!


Suatu hari empat orang buta mendapat tugasan untuk memerihalkan gajah.

Mereka mewakili ramai lagi orang buta yang tertanya-tanya bagaimana rupanya gajah itu.

Si Buta Pertama pun berjalanlah dengan tongkatnya. Akhirnya sampai lah dia ke bahagian kepala gajah. Diraba-rabanya bahagian itu lalu terpeganglah belalai gajah. Diraba-rabanya belalai gajah lalu berkata "oh tahulah aku bahawa gajah ini rupanya seperti ular besar." Lalu dia balik dan memaklumkan kepada kawan-kawannya. Maka kawan-kawannya pun faham lah yang gajah itu serupa dengan ular.

Si Buta Kedua pula berjalanlah dengan tongkatnya. Akhirnya sampai lah dia ke bahagian badan gajah. Diraba-rabanya badan perut gajah itu lalu berkata "oh tahulah aku bahawa gajah ini rupanya seperti tembok." Lalu dia balik dan memaklumkan kepada kawan-kawannya. Kawan2nya keliru. Sebelum ini mereka percaya yang gajah itu seperti ular. Sekarang ada yang kata gajah itu seperti tembok. Maka kumpulan org buta kini terbahagi dua,  satu kelompok percaya yang gajah itu seperti ular dan satu lagi percaya yang gajah itu seperti tembok.

Si Buta Ketiga pula berjalanlah dengan tongkat nya. Akhirnya dia sampai ke bahagian ekor si gajah. Setelah teraba2 dia tersentuh ekor gajah. Dipegangnya ekor itu lalu berkata "oh tahulah aku bahawa gajah ini rupanya seperti tali". Lalu dia balik dan memaklumkan kepada kawan-kawannya bahawa yang sebenarnya gajah itu seperti tali, bukan seperti tembok atau ular besar. Kawan-kawannya tambah pening. Sebelum ini mereka terbahagi dua. Kini mereka terbahagi kepada tiga kelompok; satu yang percaya yang gajah itu seperti ular besar, satu lagi percaya yang gajah itu seperti tembok dan kini kelompok ketiga yang percaya yang gajah itu seperti tali.

Si Buta yang Keempat malas nak berjalan kepada gajah. Baginya tidak mustahak untuk mengenali gajah. Bukan ada faedah pun.  Dia hanya berdiri dan menggerak-gerakkan tangannya di depannya lalu berkata "oh tahulah aku bahawa gajah ini rupanya hanya lah ilusi. Gajah sebenarnya tiada rupa, tiada jisim dan tiada jirim, hanya wujud dalam fikiran manusia yang menjadi hamba dunia". Lalu disampaikan kepada kawan-kawannya. Sebahagian kawan-kawannya mempercayainya kerana bagi mereka Si Buta keempat ini sangat tinggi ilmu firasatnya dan khasyaf nya terbuka. Lalu ramai juga yang mengikut pandangan Si Buta keempat ini.

Maka mulai saat itu kumpulan orang buta itu terpecah kepada empat kelompok dan setiap kelompok yakin bahawa merekalah yang benar.

Hiduplah mereka dlm ketaksuban kepada fahaman mereka sendiri hingga ke hari ini...

Comments