Baik di pihak kerajaan, mahu pun
pembangkang, DS Najib Razak ketika ini telah berjaya menampilkan dirinya
sebagai individu paling popular di media sosial negara ini.
Ia bukan saja bersandarkan
kekerapannya menulis dalam bentuk kritikan ringan, sindiran atau bernada sinis
terhadap banyak isu berkaitan kerajaan tetapi juga disusuli dengan kerapnya
beliau turun padang bertemu kelompok masyarakat tertentu bagi tujuan mempromosi
dirinya.
Dalam waktu-waktu kebelakangan
ini juga, bekas Perdana Menteri itu kelihatan lebih santai, ceria dan banyak
berjenaka.
Lantaran popularitinya itu,
beliau kini digelar sebagai Raja Troll Negara dan Najib sendiri nampaknya
senang serta gembira dengan gelaran baru itu.
Dalam bahasa orang bandar,
khususnya kepada penggila media sosial dan orang muda, gelaran Raja Troll ini
mungkin sesuatu yang membanggakan dan menampakkan kejayaan, tetapi dalam bahasa
orang dewasa dan luar bandar, ia tidak ubah seperti gelaran Pak Lawak saja
tarafnya.
Sesetengah orang melihat gelaran
Raja Troll itu pula sama seperti meletakkan Najib setaraf dengan Sultan Melaka
atau Ayahanda Rani Kulop saja layaknya.
Dalam hal ini, harus diingati
bahawa Najib adalah seorang bekas Perdana Menteri yang merupakan satu jawatan
yang tinggi dalam negara.
Adakah ternampak suatu kelebihan
dan manis di mata masyarakat apabila seorang bekas Perdana Menteri bertukar
menjadi Pak Lawak atau disamakan dengan Sultan Melaka atau Ayahanda Rani Kulop?
Apa sebenarnya yang mahu Najib
capai dalam keaktifannya di media sosial sekarang ini?
Sebenarnya, tidaklah menjadi
kesalahan untuk Najib menjadi aktif di media sosial, termasuk melakukan posting
menyindir, menyinis atau mengusik mana-mana pemimpin atau dasar kerajaan,
tetapi beliau seharusnya melihat skop keaktifannya dalam ruang yang lebih besar
lagi.
Sesekali melawak dan menjadi Pak
Lawak barangkali tidak mendatangkan masalah, tetapi sebagai bekas Perdana
Menteri yang keaktifannya sekarang ialah untuk mengurangkan sokongan rakyat
terhadap PH dan berusaha mengembalikan BN sebagai kerajaan semula, Najib juga
harus lebih banyak tampil dengan watak yang serius dan sesekali menghamburkan
serangan yang benar-benar membuatkan Tun Mahathir Mohamad dan Lim Guan Eng
misalnya, terkedu untuk menjawabnya.
Sehingga ini, apa yang kelihatan,
paparan yang ditampilkan Najb di media sosialnya lebih menjurus kepada sesuatu
yang bernada sinis, menyindir dan mengusik semata-mata, sedangkan banyak
isu-isu dasar, skandal dan melibatkan kepentingan rakyat dalam kerajaan
sekarang memerlukan garapan yang lebih serius bagi menyedarkan rakyat.
Sebab itu juga agaknya Tun
Mahathir tidak pernah memberi respon terhadap apa juga yang ditulis Najib di
media sosialnya kerana beliau mungkin menganggapnya sebagai lawak semata-mata.
Walhal, ketika Tun Mahathir
mengetuai Pakatan Harapan dulu, hampir setiap serangannya kepada kerajaan
berjaya membuatkan Najib sebagai Perdana Menteri ketika itu terpaksa memberi
respon terhadapnya.
Apalagi sebagai bekas Perdana
Menteri, Najib tentunya mempunyai kelebihan serta pengetahuan tertentu dalam
melantunkan serangan dan kritikannya kepada kerajaan sebagaimana yang pernah
dilakukan oleh Tun Mahathir sebelum ini.
Mungkin aura Tun Mahathir berbeza
dengan Najib, lebih-lebih lagi kerana beliau juga sedang dihadapkan dengan
puluhan pertuduhan mahkamah, tetapi sementara kesempatan bebas masih ada dan
terlalu banyak isu berlegar dalam negara yang melemaskan rakyat, beliau harus
mengambil peluang yang ada itu.
Menjelang sembilan bulan wujudnya
kerajaan baru, Najib tidak seharusnya terus gembira dengan gelaran Raja Troll
atau Pelawak semata-mata, tetapi beliau mesti bergerak ke arah baru dengan
menampilkan keyakinan rakyat terhadap kekuatan pembangkang sebagai elemen
"check and balance" dalam negara ini.
Sekali dua melawak atau tampil
berjenaka bolehlah diterima, tetapi rakyat yang mula tidak puas hati, kecewa
dan sesetengahnya sengsara dengan kerajaan baru ini, tidak akan terubat luka di
hati mereka dengan diajak ketawa semata-mata.
Rakyat perlukan sesuatu yang
serius dan meyakinkan demi masa depan mereka. Rakyat akan melihat ada harapan
jika pembentangan sesuatu isu, kritikan, serangan terhadap kerajaan dilakukan
dengan nada yang serius, bukannya dalam jenaka.
Untuk itu, Najib perlu juga kerap
tampil dengan kritikan yang serius dan penuh fakta, sama ada melalui media
sosial atau penampilan terbuka, untuk menggambarkan keseriusan perjuangannya
menentang Pakatan Harapan.
Dengan gelaran Raja Troll atau
Pelawak, mungkin ramai yang gembira dan tumpang ketawa, tetapi yang selalunya
mampu membangkitkan semangat untuk perubahan kerajaan ialah amanat yang keras,
keringat dan airmata.
Comments
Post a Comment