Penghujung Disember lalu, di
London, Presiden PAS, DS Hadi Awang mengulas mengenai skandal kewangan Tabung
Haji di hadapan penyokong PAS dari kalangan penuntut Malaysia di London.
Antara lain, Hadi menyebut:
"Mereka hentam Tabung Haji
melalui media, bukan melalui mahkamah. Media menjadi hakim, ini tak betul,
salah! Apa membimbangkan kita, digunakan isu ini untuk merendahkan imej Islam.
"Itu agenda itu ada. Ini
kita kena sedar. Padahal pihak lain banyak juga buat salah. Tapi dibesarkan di
media, agenda yang tersirat ialah untuk menjatuhkan imej Islam,” katanya.
Bukti-Bukti Penyelewengan: Isu
pengurusan dan penyelewengan kewangan di Tabung Haji ini telah dihuraikan sejak
dulu lagi.
Apa yang dituduh oleh Hadi
sebagai “agenda menjatuhkan imej Islam” itu adalah salah urus yang jelas,
seperti yang telah dilaporkan secara meluas hasil dari audit terperinci
PriceWaterhouseCoopers, iaitu:
1. Sebanyak RM549 juta kerugian
dalam pelaburan Tabung Haji yang gagal (sebahagian besarnya kerana
penyelewengan) telah disembunyikan. Ini untuk membolehkan Tabung Haji
melaporkan keuntungan yang lebih tinggi untuk membayar dividen (keuntungan dari
simpanan) kepada penabung, sedangkan keuntungan itu tidak wujud dan wangnya
tiada.
2. Keuntungan dari penjualan
saham Bank Islam sebanyak RM533 juta seperti yang direkodkan oleh Tabung Haji,
sebenarnya hanya helah perakaunan untuk “mencipta” keuntungan yang tidak wujud.
Tabung Haji kononnya “menjual” saham-saham itu kepada empat broker saham iaitu
UOB, Kenanga, TA Securities and Affin untuk menunjukkan keuntungan, sebelum
membeli balik saham-saham itu pada harga yang sama.
3. Sebanyak RM436 juta keuntungan
anak-anak syarikat Tabung Haji yang diisytiharkan sebagai dividen dan
sepatutnya dibayar kepada Tabung Haji, kekal tertunggak sehingga 30 September
2018. Ini bermakna Tabung Haji merekodkan keuntungan dari anak-anak syarikat
dan ia mendapat pendapatan apabila dividen dibayar oleh anak-anak syarikat.
Masalahnya, dividen itu belum dibayar, bermakna pendapatan RM436 juta Tabung
Haji itu tidak ada.
Kesemua ini boleh dibaca dengan
terperinci di dalam laporan PwC yang dibentangkan di Parlimen, dan dirumuskan
dalam laporan-laporan The Edge di bawah:
KS faham kalau Hadi terkeliru
dengan beberapa alasan yang diberikan oleh DS Najib dan pemuka-pemuka UMNO,
tetapi wajar juga beliau mendalami ilmu kewangan untuk mengetahui
sejelas-jelasnya kedudukan kewangan Tabung Haji.
Ada yang berkata kesemua angka
kewangan itu hanyalah angka-angka yang dimanipulasi untuk memburukkan Najib,
kononnya wang tidak hilang dan masih ada di situ.
Kerugian RM549 juta dalam
pelaburan-pelaburan Tabung Haji itu benar-benar berlaku, maknanya wang
benar-benar hilang. Sejak sedekad lalu, Tabung Haji melabur secara
besar-besaran membeli anak-anak syarikat. Contohnya pelaburan di dalam syarikat
roti, pelaburan di dalam syarikat kejuruteraan minyak TH Heavy Engineering,
syarikat IT dan lain-lain.
Ia satu perubahan kepada model pelaburan
Tabung Haji, iaitu daripada melabur membeli saham tanpa terlibat menguruskan
perniagaan (seperti KWSP) kepada mewujudkan anak-anak syarikat yang terlibat
secara langsung di dalam perniagaan (seperti PETRONAS).
Dalam contoh THHE, Tabung Haji
terus menyuntik dana (dalam bentuk saham, pinjaman dan dana didahulukan)
apabila THHE terus mengalami kerugian. Sahamnya terus merudum.
Dana yang disuntik oleh Tabung
Haji itu hilang, kerana ia diselewengkan oleh orang-orang yang diberikan amanah
menguruskan pelaburan Tabung Haji itu. Akhirnya syarikat itu digantung kerana
sudah mencecah tahap muflis.
Sepanjang sedekad, Tabung Haji
memang telah menyuntik melebihi RM600 juta ke dalam THHE (dalam pelbagai
bentuk). Di dalam rekod kewangan Tabung Haji, ia menunjukkan lebih RM600 juta
telah disuntik.
Tetapi KS yakin, juruaudit dan
seluruh dunia (yang tidak mudah berpuas hati) mengetahui dana itu telah hilang
kerana telah diselewengkan. Kalau Tabung Haji menuntut kembali dana itu, ia
tidak akan mendapat balik kerana THHE tiada lagi nilai.
Mengikut peraturan kewangan,
pelaburan-pelaburan seperti ini mestilah direkodkan susut nilainya untuk
menunjukkan nilai terkini yang realistik. Walaupun lebih RM600 juta telah
dilaburkan dan disuntik, tetapi jika RM600 juta itu tidak menjana pendapatan
dan dana itu tidak dapat diambil balik, maka nilai pelaburan itu menjadi sifar.
Jumlah RM600 juta yang telah dilaburkan itu perlulah direkodkan sebagai susut
nilai (“impairment”) akibat kerugian pelaburan.
Tetapi Tabung Haji mengubah
peraturan kewangannya agar susut nilai ini tidak direkodkan, yang bermakna ia
menyembunyikan kerugian yang benar-benar telah berlaku.
Bukan sahaja wang simpanan orang
miskin lesap, ia cuba pula disembunyikan.
Adakah ini penyelewengan cuba disembunyikan???
Tujuan ia disembunyikan ialah
supaya Tabung Haji dapat membayar dividen kepada penabung, walaupun
undang-undang tidak membenarkan dividen dibayar kecuali ia menjana keuntungan.
Maka, ia menyembunyikan kerugian dan mencipta keuntungan untuk menidakkan hujah
orang-orang seperti saya yang membongkar kelemahan urus tadbir kewangan Tabung
Haji.
Bila tiada keuntungan dan
kerugian disembunyikan tetapi dividen tetap dibayar, dari mana wang itu datang?
Wang itu datang dari wang baru yang ditabung oleh penabung-penabung Tabung
Haji.
Skim pelaburan begini tidak ubah
seperti skim cepat kaya atau skim piramid, iaitu memberi gambaran untung besar
untuk menarik dana baru, dan menggunakan dana baru itu untuk membayar
keuntungan (yang dicipta) untuk membayar penabung asal. Lama-lama, piramid itu
akan runtuh.
Sebab itu bila Hadi berselindung
di belakang hujah “ini rancangan jahat menjatuhkan Islam”, ia satu mainan
politik yang tidak bertanggungjawab.
Sebagai presiden sebuah parti
yang mengaku mempertahankan Islam, sepatutnya PAS lah yang paling gusar jika
ada penyelewengan di dalam Tabung Haji. Sepatutnya beliaulah yang paling ke
depan meneliti setiap langkah Tabung Haji, supaya institusi itu menjadi tabung
kewangan Islam yang paling handal dan disegani di dunia.
Beliau terpaksa bermain politik
dan mengheret sentimen perkauman (konon ada agenda bukan Islam mahu memangsakan
Tabung Haji) akibat satu strategi politik yang telah gagal menjelang PRU14
dahulu.
Beliau dinasihati oleh
orang-orang seperti Dr Zuhdi Marzuki kononnya PAS boleh menjadi “king maker”.
Untuk menjadi “king maker”, PAS mesti nampak berbaik-baik dengan Najib dan
UMNO.
Rombongan PAS mengunjungi Tabung
Haji, mendapat taklimat dan seterusnya mengumumkan bahawa “PAS berpuas hati
dengan tadbir urus kewangan Tabung Haji”. Secara tidak langsung, menjadi “king
maker” dalam isu Tabung Haji dengan menghantar isyarat kononnya saya
mereka-reka cerita mengenai Tabung Haji.
Jika mereka bersetuju, jatuh air
muka Presiden PAS kerana sebelum ini mereka juga yang menjadi panel menyucikan
penyelewengan di Tabung Haji.
Akhirnya, walaupun bukti-bukti
itu terlalu kukuh, Hadi terpaksa bermain politik sekali lagi. Kali ini, bukan
sebagai panel penyuci, tetapi untuk membina sentimen kebencian terhadap orang
bukan Islam dengan menuduh kononnya ini sebahagian dari agenda menjatuhkan
Islam, seolah-olah kerosakan kewangan di Tabung Haji itu tidak berlaku.
Ia permainan politik yang hebat
dan bulat-bulat ditelan oleh penyokong PAS. Najib tersenyum puas, kerana beliau
masih boleh berharap dengan panel penyuci.
Tetapi ia memangsakan jutaan
penabung Tabung Haji dan akan membenamkan Tabung Haji. Jika amalan ala skim
piramid tidak dihentikan, akhirnya nasib Tabung Haji sama seperti nasib skim
Pak Man Telo.
Sikap Hadi ini tidak ubah dengan
sikap lama dalam masyarakat Melayu.
Kalau seorang mentua tahu bahawa
menantunya mencuri, dia akan berdolak dalih. Dia lebih bimbangkan malu yang
ditanggung oleh besannya (maklumlah besannya itu orang bangsawan) dan malunya
sendiri, kerana dia juga yang berbangga-bangga dengan besannya (walaupun orang
kampung kurang selesa dengan besannya).
Akhirnya, dia bersekongkol
menyembunyikan dan menafikan yang menantunya mencuri, walaupun menantunya
mencuri dari dalam rumah dia sendiri!
Bila ditanya, dia lebih rela
menuding jari kepada anak jiran di sebelah rumah dari menerima hakikat yang
menantunya yang duduk dengannya yang mencuri dari dalam rumah.
Kita akan terus berdepan dengan
cerita-cerita penyelewengan begini. Ada yang berpunca dari pentadbiran Najib
dahulu, ada yang datang dari pentadbiran Pakatan Harapan di masa depan.
Nasihat dan ingatan saya kepada
diri sendiri dan orang ramai: jangan mudah berpuas hati, teliti terlebih dahulu
sebelum membuat kenyataan menyucikan sesuatu.
Sebabnya, lama-kelamaan bukti
akan keluar juga, jika penyelewengan benar-benar berlaku.
Comments
Post a Comment