Pendedahan Menteri Industri Utama, Teresa Kok berhubung
dakwaan pentadbiran BN memaksa Lembaga Getah Malaysia menjual ladangnya seluas
2,800 ekar di bawah harga pasaran kepada Aset Tanah Negara Berhad dan
menyebabkan agensi itu kerugian RM800 juta, sebenarnya tiada isu sama sekali.
Begitu juga tiada isu sebenarnya dengan gesaan Pengerusi
Lembaga Getah Malaysia, Sankara N Nair yang mahukan bekas Perdana Menteri, DS Najib
Razak menjelaskan ke mana perginya wang RM800 juta itu.
Dalam renteran yang didedahkan oleh Teresa Kok sendiri,
tanah berkenaan dijual oleh Lembaga Getah Malaysia kepada Aset Tanah Negara
Berhad pada 2010 dengan harga RM1.5 bilion.
Dua tahun kemudian, Aset Tanah Negara Berhad telah menjual
tanah tersebut kepada Kwasa Land, anak syarikat KWSP dengan harga RM2.28
bilion.
Lembaga Getah Malaysia adalah agensi kerajaan, manakala Aset
Tanah Negara Berhad pula merupakan syarikat tujuan khas yang juga dimiliki oleh
kerajaan.
Pembeli akhir iaitu Kwasa Land, anak syarikat KWSP turut
merupakan syarikat milik kerajaan.
Bermakna penjualan tanah itu ialah daripada kerajaan kepada
kerajaan dan akhirnya jatuh kepada kerajaan.
Dalam hal ini, ia tiada isu apa-apa sebenarnya kerana yang
mendapat manfaat tetap kerajaan.
Yang salah atau mungkin berlaku salah laku ialah jika
Lembaga Getah Malaysia diarahkan menjual tanah tersebut kepada Syarikat A Sdn
Bhd yang dimiliki oleh Ketua UMNO Bahagian misalnya, kemudian Kwasa Land pula
diarahkan membelinya.
Jika itu berlaku, barulah pihak tertentu yang mengaut
keuntungan RM800 juta atas angin itu boleh diragukan perlakuannya.
Tetapi, jika daripada kerajaan kepada kerajaan dan kemudian
kepada kerajaan juga, apa masalahnya?
Kalau ada untung pun, bukankah kerajaan juga?
Lagi pula, Aset Tanah Negara Berhad menjual tanah tersebut
kepada Kwasa Land setelah dua tahun memiliknya yang sudah tentunya berlaku
kenaikan harga tanah di kawasan Sungai Buloh itu.
Harus kita ingat, kenaikan harga tanah berlaku dengan
pantas, kadang-kadang "overnight" pula selalu berlaku kenaikan harga
yang berganda.
Memang BN telah tumbang dan Pakatan Harapan menguasai
kerajaan ketika ini, namun janganlah menteri-menteri yang ada cuba
memanipulasikan semua perkara untuk menyalahkan kerajaan yang lalu semata-mata.
Yang salah, tetap salah, tetapi dalam kes tanah Lembaga
Getah ini, nampaknya Terese Kok kena cerdik sikitlah dalam menjalankan
kerjanya.
Bukan apa, pendedahan sebegini yang tiada apa-apa isu
sebenarnya hanya akan menyebabkan beliau ditertawakan rakyat saja akhirnya
nanti.
Comments
Post a Comment