SIAPA LAGI BAKAL DIDAKWA SELEPAS ISA SAMAD???



Bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas 10 pertuduhan pecah amanah dan rasuah lebih RM3 juta berhubung kes pembelian hotel di Sarawak oleh Felda Investment Corporation (FIC).

Bagi pertuduhan pertama, Mohd. Isa sebagai  Pengarah Syarikat Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) yang diamanahkan dengan dana syarikat itu didakwa melakukan pecah amanah dengan meluluskan cadangan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suit di Kuching Sarawak dengan harga RM160 juta tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah Felda.

Perbuatan itu bertentangan dengan keputusan mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Felda Bil 303 bertarikh 25 Jun 2013 yang dibuat berkenaan pelaksanaan amanah tersebut di mana ahli lembaga pengarah Felda memberi mandat kepada Ahli Lembaga Pengarah Syarikat FIC dalam membuat keputusan pelaburan yang melibatkan projek bernilai RM100 juta ke bawah.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 50 Menara Felda Platinum Park, No. 11 Persiaran KLCC pada 29 April 2014.

Dakwaan bagi pertuduhan pertama itu dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara bagi pertuduhan kedua hingga kesepuluh, Mohd. Isa didakwa secara rasuah menerima suatu suapan untuk dirinya iaitu wang tunai yang kesemua berjumlah RM3,090,000.00 daripada Ikhwan Zaidel iaitu ahli lembaga pengarah Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn. Bhd melalui Muhammad Zahid Md Arip sebagai upah bagi membantu meluluskan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suit di Kuching Sarawak oleh pihak Syarikat Felda Investment Corporation Sdn Bhd yang bernilai RM160 juta.

Mohd. Isa didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Tingkat 49 Menara Felda Platinum Park, No11 Persiaran KLCC  di sini antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Umar Saifuddin Jaafar manakala tertuduh diwakili peguam K.Kumaraendran dan Ridha Abdah Subri.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM800,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 25 Januari untuk sebutan semula kes.

Ada yang bertanya, apakah Isa Samad saja yang didakwa atau beberapa nama lagi yang diketahui pernah disiasat SPRM, akan turut menerima nasib yang sama?

Seperti yang diketahui umum, antara pemimpin UMNO yang pernah diambil keterangan oleh SPRM sebelum ini ialah Pengerusi Felcra, Bung Mokhtar Radin dan bekas Pengerusi Mara merangkap Ketua Penerangan UMNO, Annuar Musa.

Bung Mokhtar diambil keterangan selama beberapa jam berhubung penggunaan dana Felcra untuk membeli saham amanah yang didakwa melibatkan kepentingan isterinya, manakala Annuar pula berkaitan penajaan anak syarikat Mara terhadap pasukan bolasepak Kelantan.

Kedua-dua kes itu masih tiada khabar berita sehingga ini dan persoalan ramai, apakah selepas Isa Samad, gilliran mereka akan menyusul tiba?

Bagi golongan yang setia, taksub dan terhutang budi dengan Isa Samad, mereka tentu sukar menerima hakikat jika hanya bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu saja yang didakwa di mahkamah atas kesalahan rasuah, sedangkan nama-nama lain seperti Bung Mokhtar Annuar Musa misalnya, dibiarkan lepas bebas begitu saja.

Dengan lebih ramai pemimpin UMNO didakwa atas kesalahan rasuah, ia dengan sendirinya menunjukkan UMNO dan BN seolah-olah dipimpin oleh majoriti mereka yang rasuah.

SPRM…Next please…

Comments