PELOMPAT PARTI LEBIH HINA DARIPADA PELACUR JALANAN!!!



Episod keluar parti secara berkumpulan melibatkan pemimpin UMNO kebelakangan ini dan dijangka akan terus berlaku lagi adalah perbuatan yang paling hina lagi menjijikkan.

Ini kerana mereka keluar parti bukan kerana berbeza perjuangan, disisihkan atau alasan kononnya untuk memastikan kepentingan rakyat terbela, tetapi semata-mata kerana UMNO sudah tidak lagi berkuasa untuk memewahkan mereka dengan jawatan, kedudukan serta ganjaran.

Kalau hari ini UMNO masih berkuasa, pastilah pelompat-pelompat tersebut parti akan mengatakan UMNO adalah parti yang benar, ikhlas untuk rakyat, malah perjuangannya mendatangkan pahala hingga ke syurga.

Tetapi, disebabkan UMNO sudah hilang kuasa, timbullah kata-kata UMNO sudah tiada hala tuju, perjuangannya sudah tersasar, tidak sesuai dengan jiwa dan macam-macam lagi.

Meskipun semua yang keluar itu memilih untuk menjadi wakil Bebas buat sementara waktu, tetapi hampir pasti mereka akan menyertai Bersatu akhirnya,  parti pimpinan Tun Mahathir Mohamad yang pernah mereka caci, hina dan maki sesarat-saratnya sebelum ini.

Tidak cukup dengan Bersatu yang dicaci, dihina dan dimaki, Tun Mahathir sendiri sarat dengan cacian, hinaan serta maki hamun oleh mereka yang sama.

Hanya kira-kira tujuh bulan masa berlalu, setelah UMNO tiada kuasa dan Bersatu serta Tun Mahathir kini menjadi paling berkuasa, tanpa rasa malu dan maruah diri entah letak di mana, mereka kini mencemuh UMNO konon tiada lagi halatuju, sudah tersasar dan tidak lagi sesuai dengan jiwa serta perlu meninggalkan parti itu demi untuk menjamin kelangsungan menjaga rakyat dan pengundi.

Pooorahhhh....

Tidak lain alasan mereka keluar UMNO itu hanyalah kerana kepentingan diri sendiri semata-mata. Noktah.

Mereka sebenarnya adalah golongan yang kemaruk jawatan dan kedudukan kerana tidak sanggup menjadi pembangkang, selain sedar dengan cepat-cepat beralih parti, kalau pun tidak berpeluang menjadi menteri atau timbalan menteri, sekurang-kurangnya jawatan sebagai pengerusi agensi kerajaan ternampak ada peluang untuk diisi.

Kebetulan pula, Tun Mahathir semacam sengaja membiarkan banyak jawatan pengerusi agensi kerajaan terbiar kosong begitu saja tanpa mahu memenuhkannya dengan mereka yang berkelayakan daripada Bersatu, PKR, DAP dan Amanah serta yang berjuang menumbangkan UMNO/BN sejak daripada awal lagi.

Jika benar mereka ada harga diri dan nilai moral sebagai pegangan jati diri, waima menjadi kerajaan atau pembangkang sekali pun, mereka wajib kekal bersama parti yang memberikan tiket bertanding dalam pilihanraya kepada mereka.

Rakyat tentu boleh faham jika parti yang disokong sudah bertukar daripada kerajaan kepada pembangkang. Mereka tidak mungkin meminta atau menuntut yang lebih-lebih kalau sudah berlaku pertukaran status.

Tambahan lagi, tugas wakil rakyat bukan semata-mata memberi sesuatu dalam bentuk kebendaan, tetapi kehadiran dalam susah dan senang bersama pengundi itulah yang lebih penting.

Andai kebendaan semata-mata yang diperlukan pengundi, sudah tentu  Pas atau DAP dan PKR ketika menjadi pembangkang dahulu, tidak mampu memenangi sebarang kerusi dalam pilihanraya.

Yang jelas tidak tahan dengan berubahnya status UMNO daripada kerajaan kepada pembangkang ialah wakil rakyat itu sendiri. Disebabkan terbiasa ada pejabat dan kereta percuma, elaun puluhan ribu sebulan dan cuti ke luar negara yang ditanggung kerajaan, mereka kini sengaja mencari alasan untuk kembali kepada penghidupan cara lama.

Apa lagi, maka melompat partilah caranya!!

Melompat atau meninggalkan parti bukan kerana dipecat atau disingkirkan dan bukan juga kerana berlaku perselisihan, tetapi hanya disebabkan parti lama sudah kehilangan kuasa, adalah perbuatan paling hina dari segi menjual maruah diri, malah lebih jijik berbanding pelacur kaki lima yang menjual diri mungkin hanya untuk sesuap nasi.

Sekurang-kurangnya pelacur hanya menjual diri untuk mengisi perut yang lapar, tetapi pelompat ini melacurkan perjuangan untuk memenuhi hawa nafsu mereka yang tidak bertepi.

Kalau ada maruah serta harga diri, mereka ini seharusnya meletakkan jawatan dan membiarkan pengundi memilih Ahli Parlimen atau wakil rakyat yang baru untuk menggantikan mereka.

Lagi pun, bukankah antara alasan keluar parti ialah kerana susahnya menjaga rakyat berikutan sudah bertukar daripada kerajaan kepada pembangkang?

Dengan meletakkan jawatan dan membiarkan pengundi memilih wakil rakyat baru, maka mereka dengan sendirinya akan terlepas daripada bebanan menjaga rakyat untuk tempoh yang seterusnya.

Namun, mengapa tiada yang mahu meletakkan jawatan?

Tidakkah ini bermakna yang dikejar sah hanya kepentingan untuk diri sendiri semata-mata?

Dalam hal ini, meskipun kita tahu Tun Mahathir tidak bersetuju dengannya, Pakatan Harapan mesti mengusulkan undang-undang anti lompat parti dikuatkuasakan dengan segera.

Alasan Tun Mahathir menolak undang-undang itu dengan hujah sistem demokrasi membenarkan sesiapa melompat parti, adalah hujah yang longgar serta boleh dipertikaikan.

Beliau harus mengutamakan keinginan untuk mewujudkan sistem politik yang sihat, berintergriti dan memberi lebih kebaikan kepada masa depan negara, berbanding memikirkan muslihat yang boleh menguntungkan kepentingan politiknya.

DAP dan PKR, dua parti yang paling banyak kerusi dalam Pakatan Harapan serta diketahui berjuang untuk politik nilai, kewibawaan dan intergriti, harus tidak jemu berusaha meyakinkan Tun Mahathir  berkenaan undang-undang anti lompat parti itu.

Tiada lompat parti adalah lebih baik untuk rakyat dan negara, malah pengundi lebih terjamin dan tidak akan dikhianati sesuka hati.

Cuma, bersekali dengan memperkenalkan undang-undang anti lompat itu, mereka yang berbuat demikian selain akan gugur statusnya sebagai wakil rakyat secara automatik, mereka mesti dibenarkan bertanding semula dalam pilihanraya kecil sama ada mewakili parti yang baru disertai atau sebagai calon Bebas.

Peraturan sekarang yang membenarkan sesiapa melompat parti, tetapi tidak boleh bertanding semula selama lima tahun jika meletakkan jawatan nampaknya tidak lagi relevan.

Bermakna, undang-undang anti lompat ini masih membenarkan untuk seseorang itu melompat menyertai parti lain, cuma dengan syarat kerusi mesti dikosongkan dan jika benar-benar handal sebagai wakil rakyat,  bertandinglah semula dalam pilihanraya kecil yang akan diadakan berikutan kekosongan itu.

Oleh kerana sebelum ini alasan tidak boleh bertanding itulah yang sering dijadikan sandaran untuk mereka mengelak daripada meletakkan jawatan, maka pembatalan undang-undang berkenaan berserta syarat boleh bertanding semula akan menguji wibawa serta intergriti sebenar semua wakil rakyat yang kita panggil "Yang Berhormat" tetapi sebahagiannya berkelakuan lebih jijik daripada pelacur di jalanan.

Comments