Buat semua perokok tegar,
“teruslah merokok hingga akhir hayat.” Kata-kata ini tentu akan lebih dihayati
kerana selari dengan tujuan merokok iaitu menikmati keseronokan yang sementara
kemudian menderita selama-lamanya.
Memang benar statistik
menunjukkan sekurang-kurang 20,000 rakyat negara ini meninggal dunia setiap
tahun akibat penyakit berpunca daripada tabiat merokok. Tetapi jangan peduli
dengan statistik itu, sekali merokok biar terus merokok sehingga mati. Ini
adalah kata-kata perangsang sebagai menggantikan kata larangan “jangan” yang
tidak disukai perokok.
Lima juta orang atau 22.8 peratus
daripada populasi berusia 15 tahun ke atas adalah perokok. Mereka membuat
pilihan menjadi perokok selepas “khatam” semua nasihat dalam kempen anti
merokok sejak negara mencapai kemerdekaan hingga ini. Semuanya berkata “jangan”
kecuali tulisan ini yang dengan penuh sedar berkata, “sila teruskan.”
Jangan perkecilkan atau
peremehkan sumbangan perokok kepada negara.
Keluaran Dalam Negara Kasar
(KDNK) akan kehilangan berbilion ringgit kalau tidak ada perokok kerana mereka
inilah salah satu penyumbang besar. Kalau tidak menyumbang pada KDNK,sudah lama
rokok diharamkan.
Kerajaan memang hipokrit dalam bab
rokok…
Di Parlimen pun Yang Berhormat
tidak boleh memberikan contoh baik kepada rakyat. Larangan merokok di kafe
Parlimen pun dibantah oleh Yang Berhormat sendiri. Bagaimana hendak menjadi
pemimpin kepada rakyat sedangkan diri sendiri tidak terpimpin? Semuanya kerana
rokok.
Segala kempen anti merokok yang
menelan belanja berjuta-juta ringgit tidak lebih sebagai ritual, kononnya
kerajaan beriltizam menghapus rokok. Semua itu sandiwara, sama seperti
menaikkan cukai rokok, tujuannya bukan mengurang perokok tetapi menambahkan
pendapatan negara.
Sejak negara mencapai kemerdekaan
enam dekad dulu, kempen anti merokok tidak pernah mencapai kejayaan. Sebabnya
tujuan berkempen tidak lebih sebagai ritual, sama seperti ritual sambutan ulang
tahun kemerdekaan yang disambut dengan jiwa dan pemikiran yang terjajah.
Sudah begitu banyak wang rakyat
digunakan untuk kempen anti merokok tetapi tidak ada kesannya, yakni angka
perokok tidak berkurang. Yang untung mereka yang mendapat upah membuat kain
rentang, billboard dan iklan dalam media cetak dan elektronik untuk kempen anti
merokok.
Secara kasar seorang perokok
membakar tidak kurang RM300 sebulan atau RM10 sehari. Ironinya mereka inilah
juga yang terkinja-kinja dan terloncat-loncat memprotes apabila harga minyak
petrol naik beberapa sen. Menindas rakyat, katanya. Hebat, berjuang untuk
rakyat.
Padahal mereka yang merokok ini
juga menindas rakyat (pembayar cukai) apabila kerajaan terpaksa menanggung
belanja RM3.8 bilion setahun untuk rawatan penyakit jantung dan barah paru-paru
akibat rokok. Kalau pesakit ini bukan perokok sudah tentu mereka adalah orang
yang terdedah pada asap rokok atau environmental tobacco smoke (ETS). Inilah
yang dikatakan hidup menyusahkan orang lain.
Merokok bagi sesetengah orang
adalah gaya, keunggulan dan kemodenan. Tidak merokok bermakna tidak bergaya dan
tidak moden. Kerana itu tidak hairanlah kalau jumlah perokok kita meningkat 49
peratus daripada 3.1 juta pada tahun 2007 kepada 4.7 juta tahun 2011. Sekarang
sudah lima juta orang. Ini mengatasi kadar peningkatan negara maju seperti
Britain (38 peratus), Amerika Syarikat (35 peratus) dan Sweden (30 peratus).
Tahniah. Kita memperlihatkan
kehebatan mengatasi negara maju dalam bab rokok. Barat sendiri telah
memperlihatkan kesedaran yang tinggi terhadap bahaya rokok, ironinya kita
menjadi pejuang memanjangkan hayat kapitalis rokok yang ditolak di sana.
Kita juara… Juara perokok… 2019
tahun bebas rokok.
Comments
Post a Comment