Mahkamah Jalan Duta Kuala Lumpur
hari ini "meriah" sekali lagi dengan kehadiran orang ramai apabila
isteri bekas Perdana Menteri, DS Rosmah Mansor, bekas pembantunya, Datuk Rizal
Mansor dan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, DS Tengku Adnan Tengku Mansor didakwa
berkaitan dakwaan rasuah.
Secara kebetulan, ketiga-tiganya
adalah "anak Mansor", walaupun mereka bukanlah adik-beradik atau ada
hubungan persaudaraan antara satu sama lain.
Rosmah dan Rizal dipercayai akan
didakwa berkaitan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima rasuah RM1.5 juta
dalam kes penyelewengan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid
dan Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi sekolah di Sarawak.
Tengku Adnan atau nama popularnya
Ku Nan aka abam seluar londeh pula didakwa dengan dua pertuduhan menerima
rasuah dan satu pertuduhan pilihan menerima rasuah berjumlah RM3 juta,
berhubung pembelian tanah bagi pembinaan rumah mampu milik pada tahun 2013 dan
2016 iaitu ketika beliau menjadi Menteri Wilayah Persekutuan.
Sebelum ini, DS Najib Razak sudah
dihadapkan dengan 39 pertuduhan, Zahid Hamidi 45 pertuduhan, Rosmah 17
pertuduhan, bekas Ketua Setiausaha Negara, Irwan Siregar Abdullah 6 pertuduhan,
peguam UMNO, Shafee Abdullah 4 pertuduhan dan bekas ketua perisik MEIO, Hasanah
Abdul Hamidi dengan satu pertuduhan pecah amanah.
KS dimaklumkan lebih ramai lagi
pemimpin UMNO, termasuk bekas menteri, bekas timbalan menteri, Ahli Parlimen
dan pegawai kanan kerajaan era BN turut bakal didakwa selepas ini atas pelbagai
kesalahan sama ada berkaitan rasuah, pecah amanah atau penyelewengan ketika
masing-masing ada kuasa sebelum ini.
Najib dan Rosmah sendiri tidak
terkecuali dijangkakan akan berdepan lebih banyak pertuduhan juga.
Dari satu segi, rakyat memang
menyambut baik segala penyiasatan, penahanan dan pendakwaan ke atas semua
mereka yang terlibat itu, malah sebab utama pengundi bersatu hati menumbangkan
UMNO dan BN pun adalah disebabkan mereka sudah lemas dengan gejala rasuah dan
terlalu berleluasa selama ini.
Rakyat mahu semua kedurjanaan itu
dihapuskan sama sekali lantaran mereka yang memegang kuasa atau atau kaitan
dengan kuasa sebelum ini ini didapati langsung tidak amanah dan hanya
memikirkan kepentingan peribadi semata-mata.
Tetapi, sementara penyiasatan
demi penyiasatan, penahanan demi penahanan, seorang demi seorang ditahan reman
serta dipakaikan 'baju oren' dan pendakwaan demi pendakwan dilakukan, apa yang
menimbulkan kebimbangan rakyat ialah belum ada seorang pun daripada yang
didakwa itu sudah ada tarikh untuk mereka dibicarakan.
Semuanya masih tergantung di
peringkat pengurusan kes yang dijangka akan dilakukan sebelum hujung tahun ini
dan perbicaraan pula tentunya pada awal atau pertengahan tahun hadapan.
Mengapakah ia begitu lambat
dibicarakan sedangkan semuanya adalah kes berprofil tinggi serta melibatkan
kepentingan awam?
Yang lebih buruknya, sebaik
didakwa dan dibebaskan dengan ikat jamin, semua yang didakwa itu kemudiannya
bebas bercakap, berceramah dan menulis di media sosial mempertahankan diri
masing-masing seolah-olah mereka tidak bersalah, dianiaya serta mangsa kepada
pendakwaan terpilih.
Jadinya, ternampak ada sesuatu
yang pelik dan lompong dalam hal ini, bahkan sistem keadilan bagaikan dipermain-mainkan.
Jika kerajaan dan semua pihak
yang berkaitan dengan undang-undang benar-benar serius ingin membersihkan
negara ini serta mahu melihat operasi pembersihan itu berjalan dengan baik dan
mampu memberi kesedaran kepada masyarakat, perbicaraan kes-kes berprofil tinggi
dan melibatkan kepentingan awam ini seharusnya dipercepatkan dan tidak
dilengah-lengahkan.
Mahkamah seharusnya menetapkan
tarikh yang cepat untuk perbicaraan supaya hukuman sama ada bersalah atau tidak
ke atas tertuduh boleh segera dijatuhkan.
Di sinilah juga namanya keadilan.
Ia tidak boleh ditunggu sehingga
empat atau enam bulan kemudian baru hendak dibicarakan. Perbicaraan hendaklah
disegerakan dan hukuman yang setimpal harus dijatuhkan supaya ia dengan
sendirinya dapat memberi kesedaran kepada masyarakat serta menimbulkan
ketakutan kepada mereka yang sedang berkuasa sekarang.
Sebenarnya itulah tujuan
undang-undang dilaksana dan dikuatkuasakan.
Maka itu, penegak undang-undang
harus melihat perkara ini dengan serius demi kepentingan rakyat dan negara.
Jangan asyik mendakwa dan membawa kes ke mahkamah saja, yang rakyat ingin lihat
sebenarnya ialah mereka yang didakwa itu segera dijatuhkan hukuman dan
dipenjara, terutama bagi kes-kes yang mudah, jelas dan
"straighforward" seperti ada bukti wang, nombor cek, pembelian rumah
secara tunai, kekayaan melampau dan sebagainya.
Rakyat memang menyanjung tinggi
keseriusan SPRM mahu membersihkan negara ini dari rasuah, tapi janganlah sampai
SPRM pula disalahkan nanti apabila perbicaraan masih tak selesai-selesai lagi.
Kes yang kat bawah ini bila lagi hendak dituduh???? kes straighforward tu...goyang...goyang Bali!!!
Comments
Post a Comment