Untuk kali yang seterusnya,
terutama sejak dibalun dengan dilabel
sebagai berbohong oleh Utusan berhubung isu RM2.6 bilion, Bekas Perdana
Menteri, DS Najib Razak terus mempertahankan dirinya bukan seorang pembohong,
pencuri atau penyangak.
Melalui laman Facebooknya, Najib yang telah ditolak rakyat dan kini berdepan 38
pertuduhan mahkamah itu mengulangi kenyataan yang pernah dikeluarkannya sebelum
ini bahawa dana RM2.6 bilion itu adalah sumbangan Almarhum Raja Abdullah dari
Arab Saudi.
Meskipun jika diimbas kembali
banyak rentetan jalur cerita berhubung dana itu nampak berbeza dan tidak masuk
akal, bahkan Najib sendiri dalam interbiu Al-Jazeera hanya beranggapan saja
wang itu daripada Raja Abdullah berdasarkan sumbangan kecil yang pernah
diterimanya sebelum itu, tetapi tentunya agak menghairankan mengapa sumbangan
besar RM2.6 bilion itu disalurkan melalui Tanore Finance yang dimiliki oleh Jho
Low.
Di sini KS tidak ingin sama
sekali untuk memperincikan semua renteten atau perbezaan itu kerana ramai di
antara kita barangkali sudah sedia maklum mengenainya.
Namun, jika Najib terus mendakwa
dirinya bukan pembohong, pencuri dan penyangak, KS cuma ingin mengingatkan
beliau dan pemakan dedaknya tentang reaksi awalnya ketika isu RM2.6 bilion itu
terdedah kepada pengetahuan umum pada 2015 dahulu.
Kalaulah benar wang itu merupakan
derma daripada Raja Abdullah, mengapakah Najib ketika itu beria-ia menafikan
ada sebarang kemasukan wang sejumlah RM2.6 bilion itu menerusi akaun bank
peribadinya?
Tidak cukup dengan menafikannya,
Najib juga menambah, kalau pun beliau mahu menyamun, tidak mungkin beliau mahu
menggunakan akaun bank peribadinya bagi tujuan itu.
Beliau juga mengancam mahu
menyaman Wall Street Journal atau WSJ yang mula-mula mendedahkan perkara itu -
suatu ancaman pengecut daripada Pahlawan Bugis yang tidak menjadi kenyataan
sehingga sekarang.
Hanya setelah pendedahan demi
pendedahan dan selepas dirasakan tidak mampu lagi mengelak daripada kebenaran,
barulah akhirnya Najib tampil mengakui ada kemasukan wang ke dalam akuan bank
peribadinya dengan mendakwa ia adalah sumbangan atau derma daripada kerabat
diraja Arab Saudi.
Soalnya, jika benar wang tersebut
merupakan derma daripada Raja Abdullah, mengapakah Najib menafikannya pada
peringkat awal itu serta mengancam untuk menyaman WSJ?
Mengapa tidak sejak awal-awal
lagi beliau mengakuinya sebagai derma?
Bukankah ini menunjukkan sejak
awal lagi Najib sebenarnya telah pun berbohong kepada kita semua?
Bagaimana agaknya jika selepas
pendedahan awal oleh WSJ itu, mereka berhenti setakat itu saja dan tidak terus
mendedahkan bukti demi bukti selanjutnya mengenai kemasukan wang melalui akaun
peribadinya itu?
Tidak mustahilkah Najib akan
terus berbohong sehingga sekarang dengan menafikan wang tersebut ada dalam
akaun bank peribadinya?
Begitu pun, kalau penafian
awalnya itu sudah didapati suatu pembohong, tidak mungkinkah pengakuan bahawa
wang itu daripada derma Raja Abdullah merupakan suatu pembohongan juga?
Lupakah Najib kepada suatu
peringatan yang menyebut, orang yang berbohong sekali, dia akan terus berbohong
1000 kali untuk menutup pembohongannya.
Maka, insaf dan bertaubatlah
wahai Najib...awal-awal lagi pun anda sudah berbohong, maka tentulah tidak
mustahil berbohong demi berbohong itu sudah menjadi kebiasaan bagi anda.
Kalau awal-awal pun sudah berani
berbohong, memang ada munasabahnya ia juga diikuti dengan kebiasaan mencuri dan
menjadi penyangak juga.
Untuk itu, memandangkan kes RM2.6
bilion itu sudah dibawa ke mahkamah, sebaiknya Najib menyimpan saja semua jawapan dan hujahnya di kandang salah
untuk diadili oleh hakim-hakim yang bebas lagi bijaksana.
Cuma, dengan akhbar milik UMNO,
bahkan mungkin semakin ramai ahli UMNO sendiri tidak lagi mempercayai
kata-katanya berhubung penafian wang RM2.6 bilion itu, Najib seharusnya makin
menginsafi siapa dirinya sekarang ini.
Kata-katanya hanya tinggal
dipercayai oleh golongan pemakan dedak….
KURKKK….KURKKK…ehhh burung punai datang???
Comments
Post a Comment