Masih ramaikah lagi yang #Terkejut
dengan keputusan mengejut mahkamah membebaskan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng
daripada tuduhan rasuah berkaitan pembelian lot tanah dan sebuah rumah banglo
yang sedang dihadapinya???
Keputusan itu berikutan
permohonan pihak pendakwa untuk menggugurkan kes tersebut susulan representasi
yang dibuat oleh pihak pembelaan kepada Pejabat Peguam Negara.
Dalam kehidupan sehari-hari dan
dalam perkara tertentu yang lain, membuat kejutan secara mengejut sehingga
membuat orang #Terkejut adalah lumrah yang biasa, menyeronokkan dan kadangkala
suatu keperluan untuk mewujudkan rangsangan.
Dengan kejutan dan #Terkejut itu
serta kemudian banyak elemen jadi terangsang, kehidupan seterusnya pasti akan
bertambah ceria serta gembira.
Tetapi, dalam kes Guan Eng ini,
kejutan secara mengejut yang berlaku, meskipun membuatkan ramai yang #Terkejut,
impak negatifnya adalah melebihi kesan yang positif.
Ramai yang mengatakan, berikutan
beberapa kes sebelum ini juga digugurkan oleh Pejabat Peguam Negara, seharusnya
pengguguran tidak dilakukan dalam kes melibatkan Guan Eng kerana beliau adalah
pemimpin kanan kerajaan di samping untuk menjaga kepentingan umum.
Apa yang seharusnya dilakukan,
sesuai dengan keyakinan pasukan pembela dan Guan Eng sendiri bahawa beliau
tidak bersalah dan pertuduhan kepadanya kononnya adalah konspirasi jahat
kerajaan terdahulu, semua itu sebaik-baiknya dibuktikan di mahkamah dengan
membenarkan perbicaraan terus dijalankan.
Apabila perbicaraan dijalankan
dan akhirnya beliau mampu membuktikan ketidakbersalahan dirinya, ia adalah
lebih baik bukan saja kepada dirinya selaku seorang pemimpin, tetapi juga
kepada kerajaan secara keseluruhan, Pejabat Peguam Negara serta keyakinan orang
ramai terhadap institusi mahkamah.
Sebab itu, kejutan yang berlaku minggu
lalu sebenarnya adalah sesuatu tidak berapa baik kepada masa depan kerajaan Pakatan Harapan
yang usianya baru saja melepasi tempoh 100 hari mentadbir negara.
Ia menimbulkan persoalan
seolah-olah pengguguran kes itu ada kaitan dengan pertukaran kerajaan dan
kedudukan Guan Eng yang kini memegang jawatan Menteri Kewangan.
Jangan dibiarkan atau diulangi
lagi kejutan secara mengejut seperti semalam yang membuatkan ramai orang
terkejut dengannya kerana takut-takut kerajaan sendiri akhirnya #Terkejut
dengan kesan penolakan rakyat yang berpunca daripadanya.
Masa itu nanti tiada gunanya kerajaan
Pakatan Harapan #Terkejut lagi.
Comments
Post a Comment