BERJUANG BERSENDIRIAN!!! TINGGALKANLAH UMNO WAHAI KJ...



Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin memberi alasan untuk menghormati majlis angkat sumpah berhubung keputusannya tidak keluar Dewan bersama Ahli-Ahli Parlimen UMNO dan Pas yang membantah perlantikan Speaker, tindakannya itu nyata tidak disenangi oleh banyak pihak.

Selain ramai yang mengecamnya, bekas Presiden UMNO, Najib Razak turut membayangkan bahawa KJ mungkin berdepan tindakan tertentu daripada UMNO.

"Itu (keluar Dewan) adalah keputusan parti. Saya serahkan kepada parti mengenai apa-apa keputusan mereka.

"Mungkin mereka patut jelaskan mengapa mereka berbuat demikian," kata Najib lagi yang pertama kali hadir di Parlimen sebagai wakil rakyat pembangkang.

Barangkali jika tidak berkawan dengan Jho Low dan tiada 1MDB, mungkin hari ini Najib masih lagi sebagai Perdana Menteri atau pun setidak-tidaknya tetap di barisan kerajaan.

Annuar Musa yang baru dinaikkan pangkat daripada ketua penerangan kepada setiausaha agung pula mengingatkan agar KJ berpada-pada mempertahankan pendiriannya berhubung keengganan bersama-sama keluar Dewan itu.

Dalam penjelasannya, KJ menyatakan, beliau memutuskan tidak keluar Dewan kerana menghormati majlis angkat sumpah dan tidak mahu mencemarkan nama BN.

Katanya, meskipun ada pertikaian mengenai perlantikan speaker, namun keluar Dewan bukanlah caranya untuk menunjukkan bantahan.

"Hari ini hari Ahli Parlimen mengangkat sumpah, jadi kita perlu hormati Dewan. Cara mana kita nak bantah perlantikan speaker, ia boleh dibuat sewaktu perbahasan atau melalui "standing  order"  pada hari Rabu," ujar KJ menghuraikan rasional keputusannya.

Bersama KJ, seorang lagi Ahli Parlimen yang turut tidak meninggalkan Dewan ialah Anifah Aman dari Kimanis, malah beliau mengucapkan tahniah kepada Mohamad Ariff Yusof atas perlantikannya sebagai speaker yang baru.

Selain mungkin akan terus dikecam oleh pelbagai pihak, KJ juga berdepan kebarangkalian akan dipulaukan oleh UMNO selepas ini.

Dalam hal ini, KJ telah menunjukkan sedikit kematangan dalam tindakan politiknya dan jauh berbeza dengan keinginan Najib yang hanya mahukan ahli-ahli parti yang sanggup mati bersama UMNO.

Soalnya, wajarkah sesiapa menggadai nyawa kerana UMNO?

Adakah syurga sebagai balasannya?

Apa pun, tindakan KJ tidak bersama UMNO keluar Dewan kerana membantah perlantikan speaker jelas memperlihatkan parti itu semakin tidak sesuai dengan jiwanya.

KJ tidak perlu terus berpura-pura dalam hal ini. Beliau perlu membuat keputusan segera demi masa depan politiknya sendiri.

Lagi pun selepas kalah dalam pemilihan jawatan presiden UMNO pada 30 Jun lalu dan Timbalan Presiden UMNO kini dipegang oleh Mohamad Hassan yang merupakan Ketua UMNO Bahagian Rembau dan KJ adalah timbalannya, masa depan beliau boleh dianggap sudah berakhir dalam parti itu.

Adalah sukar untuk KJ bertanding apa-apa jawatan selepas ini, apatah lagi bagi jawatan presiden UMNO sekali lagi dalam pemilihan tiga tahun akan datang memandangkan Mohamad Hassan sudah pun berada di kedudukan nombor dua dalam parti sekarang ini.

Malah, kiranya KJ sedia turun pangkat untuk bertanding jawatan naib presiden juga terlihat sukar laluannya  memandangkan keberadaan Mohamad Hassan sebagai Timbalan Presiden UMNO bagaikan telah mengunci masa depannya kerana mereka datang dari bahagian Rembau yang sama.

Maka itu, pilihan yang terbaik bagi KJ ialah tinggalkan saja UMNO. Lagi pula, kalau pun tidak diharamkan kerana telah melanggar perlembagaan sendiri, masa depan UMNO juga teramat kelam selepas ini. Parti itu sudah tiada lagi masa depan.

Walaupun banyak parti yang boleh dijadikan pilihan, tetapi Bersatu adalah pilihan yang terbaik untuk KJ membina semula masa depannya.


Beliau perlu mengajak seramai mungkin kawan-kawannya dalam UMNO untuk menyertai Bersatu bagi menguatkan parti itu menjadi pengganti kepada UMNO.

Bersama beberapa pemimpin muda yang ada dalam Bersatu, disertai dengan adanya Tun Mahathir yang diyakini mampu membina parti itu menjadi parti yang berwibawa dan diterima ramai, masa depan KJ juga ada lebih cerah jika beliau berani dan tidak bertangguh-tangguh dalam membuat keputusan.

Comments