Veteran UMNO mahu SPRM mengawasi
kempen pemilihan UMNO bagi mengelakkan berlakunya sogokan politik wang daripada
calon bertanding.
Setiausaha Agung Veteran UMNO,
Datuk Mustapha Yaakub berkata, beliau juga mahu perwakilan menolak calon yang
menggunakan wang untuk membeli undi.
Katanya, jika berlaku perwakilan
perlu membuat laporan kepada jawatankuasa disiplin parti untuk tindakan.
UMNO dan wang barangkali sudah
terlalu sukar untuk dipisahkan, biar pun parti itu tidak lagi mempunyai kuasa
sebagai kerajaan ketika ini.
Menjelang pemilihan pucuk
pimpinan UMNO pada 30 Jun depan, sekarang ini sudah pun terdengar desas-desus
tentang adanya calon yang menggunakan kuasa wang untuk memenangi pertandingan.
Seorang calon yang bertanding
jawatan tertinggi UMNO dipercayai mula
melakukan aktiviti tersebut di sebuah negeri sejak sebelum ketibaan Hari Raya
Aidil Fitri lagi.
Calon berkenaan dikatakan
menyerahkan sejumlah wang kepada pemimpin tertentu di peringkat bahagian yang
merupakan penyokongnya untuk diagih-agihkan kepada ketua-ketua cawangan UMNO
sebagai duit belanja Hari Raya.
Dipercayai mereka menerima
sejumlah wang antara RM100 dan RM150 untuk memastikan sokongan kepada calon
berkenaan yang sudah mengesahkan bertanding salah satu jawatan tertinggi UMNO.
Adakah di negeri-negeri lain juga
berlaku amalan politik wang itu?
Bagaimanapun, perkembangan di
saat-saat akhir nanti tidak mustahil memperlihatkan lebih ramai calon akan
turut menabur wang bagi memastikan kemenangan masing-masing.
Jika seorang calon mula
menggunakan wang dan pesaingnya terasa tertinggal di belakang, mereka akhirnya
turut tiada pilihan selain menggunakan wang untuk memastikan kemenangan berada
dalam genggaman.
Dengan fenomena ini, yang menjadi
persoalan ialah apakah undi perwakilan akhirnya nanti berdasarkan kelayakan,
"track record" calon dan untuk menyelamatkan parti atau berdasarkan
berapa banyak wang yang diberikan?
Adakah juga nanti hanya calon
yang sedia melaburkan banyak wang saja akan memenangi pertandingan, manakala
yang tidak sedia berbuat demikian, meskipun berkelayakan dan ada "track
record" yang baik, akan terus tersisih dan gagal memenangi sebarang
jawatan?
Apakah kehilangan kuasa dan kalah
pilihanraya baru-baru ini tidak memberi apa-apa pengajaran kepada para pemimpin
UMNO dalam mengejar jawatan yang mereka idamkan?
Bagaimanakah rupa bentuk
kepimpinan UMNO selepas ini dan untuk menghadapi fasa perjuangan yang
seterusnya jika amalan politik wang masih lagi berterusan dan sama seperti
dahulu?
Comments
Post a Comment