Pertamanya, saya ingin merakamkan
jutaan terima kasih kepada para penyokong saya di kawasan Parlimen Kekanda
Satria ini yang merangkumi pengundi Jalan KS 305 dan Jalan 306 yang telah
memberi kemenangan kepada saya dengan majoriti satu undi.
Penat lelah pasukan saya yang
membantu saya berkempen sejak 15 hari lalu sesungguhnya tidak dapat dinilai
dengan wang ringgit, apatah lagi saya hampir-hampir tidak jadi mendaftar
sebagai calon disebabkan tidak cukup wang.
Mujur ada Tauke Glade yang
memberi pembiayaan mudah. Dia kata dia bukan Ah Long tapi ikhlas mahu tolong.
Tauke Glade tidak datang malam ini tapi dua wakil dia yang ada tatu di tengkuk
berdiri di tepi pentas ini.
Kenapalah SPR tetapkan RM10,000
sebagai deposit jadi calon Parlimen? Patut tetapkan serendah RM500 supaya
kawasan ini boleh ada pertandingan 30 penjuru. Baharu meriah. Setiap inci jalan
kita jumpa poster calon-calon sampai tak nampak jalan.
Terima kasih juga kepada
sahabat-handai yang membantu kempen saya menerusi Twitter dan ReTweet
menggunakan akaun-akaun halimunan sehingga menjadikan teks asal tweet saya
diulang tweet sebanyak 20 juta kali mengatasi Justin Bieber dan 1Direction.
Terima kasih Pak Karno kerana
menterjemah teks Twitter saya ke bahasa Indonesia dan Anoop ke bahasa
Bangladesh serta Reyes ke bahasa Tagalog.
Mereka bertiga ini ada di sebelah
kanan saya. Nampak? Saat ini pun mereka sibuk menaip dan mengutus tweet ucapan
kemenangan saya ini.
(Hadirin bertepuk)
Kempen saya sebenarnya
serba-serbi kekurangan. Saya tidak dapat liputan akhbar dan televisyen. Saya
bukan berpihak kepada mana-mana parti tetapi parti sampai subuh yang saya
sokong ideologinya.
Sepatutnya calon Bebas macam saya
dapat perhatian daripada portal berita yang mendakwa diri mereka tidak pro
sesiapa. Tapi itu semua temberang. Mereka siap minta saya beli iklan. Mana saya
ada duit?
(Hadirin mengeluh)
Atas sebab itu, bila saya
diumumkan menang sebentar tadi, saya telah dihubungi oleh pengacara terkenal
CNN, Larry King yang baca tweet saya. Dia tanya bagaimana saya dapat menang
pilihan raya tanpa duit, tanpa publisiti?
Saya kata mudah saja Larry. Dua
hari sebelum hari pengundian, saya buat pondok panas depan simpang masuk Jalan KS
305 dan saya tawarkan sekotak ayam KFC kepada sesiapa yang berhenti dan
bersalam dengan saya.
Masa itu saya kenalkan diri
sebagai calon. Mana saya dapat wang beli KFC? Tauke Glade bagi. Siaran ulangan
wawancara saya dengan Larry King tidak ada. Tapi saya akan pastikan anda boleh
tonton di YouTube.
(Hadirin bersorak)
Oleh kerana saya calon Bebas,
saya tidak terkena serangan kempen politik mana-mana pihak secara ganas.
Ada juga cuba mencemarkan
reputasi saya sebagai seorang yang suka meletak kereta sesuka hati di Jalan KS
305 yang sesak, sehingga susah lori simen hendak lalu.
Itu saya nafikan sekeras-kerasnya
sebab saya pakai motosikal. Pihak yang menuduh saya itu tidak mahu siasat
bahawa Audi R8 E-Tron yang saya naik tempoh hari adalah milik Tauke Glade.
Saya juga tidak ada apa-apa skandal
video di Bali atau Hong Kong sebab awal-awal lagi saya sudah lelongkan pemain
video di kedai Cash Converter. Mana ada kedai sewa video lagi sekarang? Semua
pakai VCD, DVD dan muat turun haram dari Internet.
Walaupun tiada skandal video,
saya ingin menegaskan saya tidak mengalami sakit lutut atau buncit perut dan
tidak gemar ais krim. Saya amalkan hidup sihat dengan bermain futsal seminggu
sekali. Oleh itu, seluar saya bukan bersaiz gergasi.
Saya bersyukur kerana setiap
ceramah saya dihadiri ramai orang. Tidak seperti parti lain yang datang cuma 20
orang itu pun campur tukang pasang khemah dan bodyguard. Setiap ceramah saya
dihadiri tidak kurang 300 orang termasuk buruh asing di kawasan ini. Setiap
yang hadir menerima dua ketul ayam percuma.
Saya adalah orang pertama menandatangani
perjanjian berkempen secara berhemah dan saya tidak mengoyak atau mengebom
sesiapa. Poster kempen saya pun guna kertas fotostat A3. Saya juga orang ke-187
membuat perisytiharan harta kepada SPRM. Itu pun masih ada cubaan memfitnah
saya memiliki rumah agam di Brisbane, Australia. Saya ingin membuat pengakuan
di sini, rumah agam itu memang saya ada. Tapi ia adalah wall-picture komputer
laptop saya. Gambar itu saya ambil di Instagram.
(Hadirin bersorak)
Daripada aspek wawasan saya untuk
memajukan Jalan KS 305 dan Jalan KS 306 ini, saya berjanji akan memperjuangkan
aduan-aduan penduduk di sini yang mahu lori simen dilarang lalu di sini lagi,
sebaliknya dibuka Jalan 7 yang khas untuk lori sahaja. DBKL kata dana
diperlukan bagi membina laluan baharu itu sangat mahal. Saya kata jangan
bimbang, kalau tidak cukup dana, saya ada Tauke Glade boleh tolong sikit-sikit.
Saya sudah ditanya sama ada akan
memohon jawatan Menteri atau Timbalan Menteri dalam Kabinet baharu ini.
Memandangkan saya ini calon Bebas, saya katakan kepada Perdana Menteri, saya
tidak menolak jika ditawarkan jawatan. Paling tidak portfolio Menteri
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebab saya tahu tiada siapa di
situ. Kalau tidak, portfolio Menteri Penerangan pun boleh. Saya sudah buktikan kejayaan
saya sampaikan penerangan kempen saya ke peringkat global dalam Twitter
menerusi tiga petugas antarabangsa saya.
Namun jika saya tidak ditawarkan
apa-apa pun tidak mengapa. Saya berkhidmat untuk rakyat di Jalan KS 305 dan
Jalan KS 306 seperti biasa. Pondok panas saya di simpang jalan tetap beroperasi
sampai habis penggal lima tahun ini, selagi tidak diroboh DBKL atau dilanggar
lori simen.
(Hadirin bertepuk)
Saya juga memberi jaminan bahawa
saya akan mengotakan manifesto pilihan raya saya yang hanya sebanyak tiga
perkara iaitu memastikan kesesakan lalu lintas tiada lagi di Jalan KS 305,
memastikan lori simen mendapat laluan baharu Jalan KS 307 dan mengisytiharkan
dua jam seminggu untuk bermain futsal bagi semua pengundi saya supaya sihat dan
mungkin boleh mewakili Harimau Malaya. Saya tidak berjanji apa yang saya tidak
boleh lakukan. Saya yakin para pengundi tidak akan tertipu sebab itu pun saja
yang saya mampu.
Akhir sekali, satu acara cabutan
bertuah akan diadakan bagi hadirin yang membeli tiket masuk RM20 tadi. Pemenang
akan diterbangkan ke Perlis untuk bercuti sambal makan harumanih, ditemani
saya, semestinya.
Sempena kemenangan saya mewakili
parti sampai subuh ini juga, marilah kita raikan malam ini dengan persembahan
khas band heavy metal Metallica dan Iron Maiden yang ditaja khas oleh Tauke Glade.
(Hadirin mula head banging)
Comments
Post a Comment