KANGKONG KEKANGKONGAN


Pagi tu seperti biasa Pak Hadi bergegas nak ke kedai. Biasanya dalam jam 10 pagi dia mesti nak ke kedai Ali Maju untuk minum kopi. Itu sudah kebiasaannya sejak dulu. Semasa Pak Hadi nak hidupkan enjin motorsikalnya Mak Jah meluru dari dapur. "Abang jangan lupa beli gula, kopi, minyak masak", pesan isterinya itu. "Aaa ya lah", sahut Pak Hadi, lalu memulakan perjalanan dengan motorsikal buruknya yang setia itu.

Dalam perjalanan tiba-tiba Pak Hadi lihat beberapa orang kawan-kawan sekampungnya sedang berkumpul di tepi jalan dekat parit besar. Parit besar itu mengalirkan air dari ladang kelapa sawit ke sungai kecil di kampungnya itu. Oleh sebab air parit tersebut dari ladang kelapa sawit maka baunya sangat tidak menyenangkan, tengit menusuk hidung. Dia memperlahankan motorsikalnya lalu akhirnya berhenti untuk menyapa kawan-kawannya itu. "Hoi buat apa ni?", tanya Pak Hadi. "Ni ha, tengok Bangla ni dok kutip kangkong", jawab Leman. Memang terdapat seorang Bangla sedang membongkok mengutip kangkong dalam parit busuk tersebut.

"Hmm, aku ingat ada apa tadi", balas pak Hadi. "Bangla kutip kangkong pun kau orang nak tengok? Macam tak pernah tengok. Puak-puak Bangla ni apa saja dia orang makan. Kangkong busuk ni pun dia orang bedal semacam", tambah Pak Hadi. "Betul tu Bang Hadi. Agaknya di tempat dia orang ni kangkong makanan orang kaya kot", tambah Jemain tukang rumah. "Jomlah pi kedai minum. Jangan hirau Bangla ni", gesa pak Hadi.

"Tapi rajin Bangla ni. Malam dia jadi jaga kilang minyak kelapa sawit seberang sana. Pagi dok kutip kangkong. Lepas tu dia pergi tolong bersihkan mesjid...", kata Leman lagi. "Alah, biarlah dia", balas Pak Hadi. Memang Pak Hadi tak kenal Bangla tu sebab dia sendiri jarang ke mesjid, hanya seminggu sekali untuk solat Jumaat. Dan mereka bertiga pun beredarlah ke kedai kopi Ali Maju, lebih kurang satu kilometer dari parit busuk tersebut. Biasanya mereka akan minum dan bersembang di kedai tersebut hingga masuk waktu makan tengah hari. Itulah rutin mereka saban hari.

Dua hari kemudian, pagi Jumaat. Lebih kurang jam 10 pagi, Mak Jah tiba-tiba mendapatkan Pak Hadi yang sedang bersiap-siap nak ke kedai kopi. "Bang, jangan lupa beli sayur bang. Beli sawi. Nak masukkan dalam bihun nanti", kata Mak Jah. "Hah? bihun?", tanya Pak Hadi. "Ya. Abang lupa ka, tengah hari lepas solat Jumaat nanti kan kita nak buat kenduri bihun. Nak cukur rambut cucu ni", tambah Mak Jah. "Aaa, lupa pulak aku", jawab Pak Hadi.

Dia pun bergegas menunggang motorsikalnya ke kedai untuk minum kopi dan membeli sawi. Dalam perjalanan dekat parit busuk tu dia lihat si Bangla yang sama sedang mengutip kangkong. Dalam hatinya berkata, "Ishh Bangla ni. Hari-hari makan kangkong busuk. Entah apa nak jadi..."

Setelah selesai minum kopi bersama Bidin, Jemain dan Leman, Pak Hadi minta diri. Hari ini dia terpaksa pulang awal sikit sebab nak beli sawi untuk Mak Jah.

Dia ke kedai Noor untuk beli sawi tapi malangnya semua sayur dah habis. Kemudian ke kedai Hong Seng. Juga sayur dah habis. Kemudian Pak Hadi bergesa ke kedai Gopi, juga sayur dah habis. Kata Gopi hari ni memang sayur tak sampai kerana lori sayur dari bandar tak datang. Khabarnya lori tersebut rosak. Jadi sayur yang dijual pun semuanya sayur yang baki semalam.

"Aduh, macam mana ni? Mana aku nak dapat sawi untuk bihun kenduri ni?", bisik Pak Hadi dalam hatinya. Jam sudah pukul 11.30 pagi. Nak ke bandar besar perlu naik teksi dan akan ambik masa sekurang-kurangnya dua jam dari tanah rancangan mereka. Dah tentu tak sempat untuk kenduri selepas solat Jumaat. Buntu Pak Hadi.

Tiba-tiba dia teringat wajah Bangla dalam parit busuk. Entah kenapa wajah Bangla tersebut seolah-olah tersenyum dan melambai kepadanya. Pak Hadi pun bergegas menuju ke parit busuk. Laju dia bawa motorsikalnya. Setibanya di parit tersebut dia lihat si Bangla sudah tiada dalam parit.

"Pacik, cari siapa?", tiba-tiba si Bangla menyapa. Dia sudah berdiri di bawah pokok di tebing parit busuk tersebut, sambil mengikat beberapa berkas kangkong. "Aa, aku cari kau", jawab Pak Hadi sambil menarik nafas lega. "Saiya? Apa pasal?, tanya si Bangla kebingungan. "Aku nak beli kangkong ni tiga ikat", jawab Pak Hadi ringkas. "Berapa ringgit?', tanya Pak Hadi. "Biasa saiya jual satu ringgit satu ikat", jawab si Bangla.

"Nah 3 ringgit", kata Pak Hadi sambil menunduk ambik tiga ikat kangkong. "Pacik, angkat lagi dua. Saiya kasi sedeka", tambah si Bangla. "Ehh, kenapa pulak. Ha ok lah aku ambik ni", balas pula Pak Hadi.

"Saiya banya suka ini Malaysia. Banya bagus. Semua makan senang. Orang Malaysia banya baik. Saiya punya orang kampong dari Bangladesh sana, sini mari, kawin sama sini worang, ada bikin sikit baik, sudah dapat Dato'. Kalu Bangladesh sana duduk, sampai mati pun ta bleh dapat apa-apa", jelas si Bangla panjang lebar.

"Ha apa-apa ja lah. Aku nak cepat ni", jawab Pak Hadi. "Err, lagi satu pacik, Majulah Kangkong untuk Negara", pesan si Bangla sebelum Pak Hadi berlalu pergi bersama lima ikat kangkongnya....

Comments