Selepas kediaman Najib Razak dan
dua kondo mewah anaknya digeledah polis dan kemudian rumah bekas Pengerusi
Tabung Haji, Abdul Azeez Rahim pula diserbu SPRM, sudah pasti ramai bekas
menteri dan bekas pengerusi GLC yang lain mula tidak lena tidur sekarang ini.
Lebih-lebih lagi bagi yang
diketahui umum mengamalkan gaya kehidupan mewah, pernah disiasat atau sudah ada
fail yang dibuka, barangkali melihat kereta polis dari kejauhan pun sudah
berpeluh dingin dibuatnya.
Dengan antara lain manifesto
Pakatan Harapan dalam tempoh 100 hari ialah untuk menyiasat skandal yang
berlaku dalam 1MDB, Felda, Mara, Tabung Haji dan lain-lain serta merombak
struktur kepimpinan di semua agensi tersebut, apa yang dilakukan oleh kerajaan
baru ini tidaklah boleh dianggap sebagai membalas dendam.
Ia sebaliknya adalah komitmen dan
kerana komitmen itulah juga rakyat memberi undi serta kemenangan kepada Pakatan
Harapan.
Maknanya, kerajaan baru pimpinan
Tun Mahathir Mohamad tiada pilihan lain selain menunaikan komitmen itu dengan
penuh tanggungjawab serta mencari hingga ke akar umbi semua orang yang
dipercayai ada terkait dengan apa jua skandal wang rakyat.
Rakyat sebenarnya sudah letih
melihat bagaimana wang rakyat di era BN dahulu dirombak dan dicuri dengan
pelbagai cara. Ada yang dilakukan dengan meluluskan projek yang dinaikkan
harganya, membeli, syarikat, hotel atau hartanah di luar negara, juga dengan
harga berlipat kali ganda, melalui pelaburan dalam saham amanah yang komisennya
masuk ke dalam beg tangan isteri, tajaan bola dan macam-macam cara lagi.
Apa pun bentuk dan caranya, semua
itu adalah kedurjanaan yang tidak harus dimaafkan.
Dahulu, ketika era BN, semua itu
mungkin boleh ditutup atau dilindungi dengan mereka yang terbabit bertindak
lebih kerap mengampu atau mencium tangan pemimpin dan isterinya, tetapi
kerajaan baru ini mesti berbeza dengan sebelumnya.
Tindakan, penyiasatan dan hukuman
harus dimulakan dengan segera. Tidak kira bekas menteri atau pengerusi GLC,
bergelar Datuk Seri atau Tan Sri, keadilan mesti ditegakkan dengan tidak
mensia-siakan undi serta sokongan yang rakyat telah berikan kepada Pakatan
Harapan.
Jika di kondo mewah anak Najib
ada beratus juta ringgit ditemui, begitu juga beratus ribu dijumpai di rumah
Abdul Azeez, jangan terkejut jika di rumah beberapa bekas menteri dan pengerusi
GLC lain juga akan ditemui wang tunai, barangan kemas atau himpunan beg tangan
mewah yang banyak jumlahnya.
Jika tidak pun, sudah tentu semua
mereka itu memiliki rumah yang besar dan himpunan kereta mewah yang ikut
logiknya tidak sepadan pun dengan gaji atau pendapatan bulanan mereka.
Maknanya, daripada manakah segala
sumber kekayaan itu diperolehi?
Apabila UMNO dan BN kalah dalam
pilihanraya 9 Mei lalu, ini bermakna soal menang atau kalah bukan lagi mustahil
bagi mana-mana parti. UMNO bukan lagi keramat dan jasa-jasa BN tidak lagi
melekat di hati rakyat jika keburukan pemimpinnya sudah terlalu ketara dan
membuatkah rakyat "berbulu mata" melihatnya.
Dalam pilihanraya akan datang
mungkin Pakatan Harapan akan kalah lagi atau boleh jadi BN mampu berkuasa
semula. Pilihan siapa yang akan menjadi kerajaan benar-benar di tangan rakyat
berdasarkan prestasi dan perangai para pemimpinnya.
Rakyat kini adalah raja di
Malaysia.
Oleh itu, tindakan yang diambil
kepada bekas-bekas menteri atau pengerusi GLC ini berdasarkan jika mereka ada
melakukan kesalahan, ia juga adalah peringatan kepada menteri-menteri yang
sedang berkhidmat sekarang dan buat pemimpin GLC yang bakal dilantik nanti.
Kiranya mereka cuai, terpana
dengan kuasa atau wang haram, suka kepada kemewahan, jika kerajaan berubah lima
tahun akan datang, maka giliran merekalah pula menerima nasib buruk itu.
Pokoknya, siapa pun yang berbuat
salah akan lebih mudah untuk diadili dan dijatuhkan hukuman melalui kerajaan
yang boleh bertukar ganti sekarang ini.
Akhirnya, sekali lagi, rakyatlah
yang tetap menjadi raja di mana mereka boleh menaik atau menjatuhkan sesiapa
yang dikehendaki.
KS: Agak-agaknya berapa juta pula wang tunai yang boleh ditemui di rumah TS
Dzulkifli jika diserbu? Dengarnya banyak juga duit dibelanjakan semasa beliau
mentadbir SPRM… Dari manakah duit itu diperolehi…
Comments
Post a Comment