Hari ini rakyat Malaysia akan mengundi. Kita akan memilih
kerajaan. Kita akan memilih wakil rakyat, iaitu orang yang akan mewakili kita
ke Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri.
Ingat tu, kita nak pilih mereka yang mewakili kita. Kita
bukan nak pilih Raja atau Sultan. Jadi kalau nampak ada tanda-tanda mereka yang
kita akan pilih ini nak jadi Raja atau Sultan, baik jangan pilih dia.
Yang kita nak pilih adalah orang yang akan membuat keputusan
bagi pihak kita. Orang yang boleh bawak suara kita. Orang yang boleh bawak
suara kita tentulah orang yang dekat dengan kita. Orang yang peka kepada resah
gelisah kita. Orang yang faham suka derita kita. Orang yang turut sama rasa
jerit perih kita. Jadi kalau ada dalam kalangan calon tu ada tanda-tanda nak
jumpa kita lima tahun sekali, baik jangan undi dia. Dah tentu dia tak akan
faham masalah kita.
Yang kita nak pilih adalah orang yang akan membentuk dasar.
Membentuk dasar ertinya membuat peraturan atau undang-undang untuk kita patuhi.
Jadi orang itu hendaklah orang yang ikhlas bersungguh-sungguh terlibat dalam
proses pembuatan dasar ini. Maka kalau dalam kalangan calon yang kita nak undi
tu ada rekod kaki ponteng persidangan parlimen atau DUN, hingga bila orang nak
buat keputusan dia tak ada, atau dia tak faham, atau saja buat-buat tak faham,
baik jangan undi dia. Buang masa saja sebab dia tak mampu pikul amanah.
Jadi pilihan yang akan kita buat adalah pilihan yang amat
penting. Pilihan yang akan kita buat tidak boleh kita buat secara semberono.
Maka fikirlah dalam-dalam. Gunakan akal yang Allah beri
kepada kita. Pilihan kita akan menentukan kemakmuran negara pada masa hadapan.
Pilihan kita akan menentukan keharmonian hidup kita dan anak cucu kita.
Jangan silap buat pilihan. Jangan terpengaruh dengan ajakan
orang. Jangan terpengaruh dengan harta benda dan wang ringgit yang tak seberapa
yang dijadikan umpan. Jangan kelabu mata dengan janji-janji yang belum pasti
ditepati.
Fikir, fikir dan fikirlah sebelum memilih. Pilihan anda
menentukan untung nasib anda di negara ini. Selamat mengundi....
Comments
Post a Comment