ASALKAN BUKAN BARISAN NASIONAL…TOK MAT DIKORBANKAN!!!




Tatkala seluruh Malaysia pastinya gembira dengan khabar bahawa Pakatan Harapan telah memenangi PRU 14, segelintir penduduk di Negeri Sembilan meluahkan kesedihan kerana terpaksa melihat Menteri Besar kesayangan mereka iaitu Tok Mat mengundurkan diri.

Tidak dinafikan, Datuk Seri Mohamad Hassan atau lebih dikenali sebagai Tok Mat, merupakan seorang pemimpin yang begitu dekat di hati rakyat Negeri Sembilan. Cara pentadbirannya yang berkarisma, bertanggungjawab dan penuh merendah diri membuatkan rakyat begitu sayangkan beliau.

Namun begitu, sayangnya pemimpin hebat ini berada di dalam parti Barisan Nasional, sebuah parti yang diketuai oleh Najib Razak.

Rakyat Negeri Sembilan berada dalam dilema. Mereka mahu Menteri Besar kekal tetapi tidak mahu BN memerintah. Mereka mahu Najib Razak turun dari kerusi Perdana Menteri. KS percaya itu adalah asas yang sudah tertanam di dalam setiap pengundi di negeri itu.

Akhirnya, rakyat terpaksa membuat pilihan. Mereka sudah tidak sanggup untuk hidup 5 tahun lagi di bawah rejim Barisan Nasional. Tsunami rakyat yang mahukan perubahan tidak dapat dibendung. Pengundian berdasarkan parti menjadi keutamaan. Kredibiliti calon adalah soal kedua. Yang penting, “Asalkan Bukan Barisan Nasional”.

Akhirnya, Tok Mat terpaksa dikorbankan. Bukan kerana Tok Mat tidak bagus, tetapi kerana dia berada di dalam parti yang salah iaitu Barisan Nasional.

Justeru, kepada parti Pakatan Harapan yang akan memegang Negeri Sembilan selepas ini, diharapkan agar Menteri Besar baharu yang dilantik akan melaksanakan tanggungjawab yang sudah dijanjikan.

Rakyat sudah banyak berkorban termasuklah menggadaikan Menteri Besar kesayangan mereka.

Semoga pengorbanan yang dilakukan akan memberikan hasil yang lebih baik.

Comments