1. Saya terpanggil untuk
mengucapkan tahniah kepada PAS di atas kenyataan terbaru Presiden PAS, YB Dato
Seri Haji Abdul Hadi Awang di Perak kelmarin di mana beliau mengumumkan bahawa
PAS akan bertanding 160 kerusi di dalam Pilihanraya Umum Ke 14 kelak.
Sesungguhnya dengan pengumuman
ini PAS bakal julung-julung kali mencatat rekod penting dalam arena politik
tanahair dengan menjadi parti yang bertanding paling banyak kerusi di dalam
sejarah pilihanraya umum di Malaysia!
Setakat yang kita ketahui, tidak
pernah mana-mana parti politik bertanding melebih 150 kerusi d dalam mana-mana
pilihanraya umum.
Bahkan UMNO selaku parti terbesar
di Malaysia dari segi keahlian dan cawangan serta menjadi parti tunggal yang
paling ramai ahlinya menjadi Ahli Dewan Rakyat, hanya bertanding sekitar 121
kerusi sahaja di dalam pilihanraya umum yang lalu.
2. Saya tak pasti samada ini
adalah muktamad kerana PAS, terutamanya Presiden PAS sendiri acapkali
bertukar-tukar sikap dan sentiasa mengubah sasaran dan jangkaan terutama dari
aspek kerusi yang hendak ditandingi.
Tidak lama dulu PAS nyatakan
hendak kekal bertanding semua kerusi PAS sebelum ini iaitu sekitar 80 kerusi.
Kemudian jadi 100, 120 dan 130 kerusi. Kemudian beberapa hari lepas Setiausaha
Agung PAS mengatakan PAS akan bertanding 150 kerusi.
Dan beberapa hari yang lepas
Presiden PAS tiba-tiba mengisytiharkan akan bertanding 160 kerusi. Bila
sentiasa mengubah-ubah jumlah kerusi yang nak ditandingi ini menunjukkan betapa
berceramuknya percaturan PAS.
Mungkin juga untuk bermain silap
mata bagi menutup hasrat sebenar yang sekian lama diwar-warkan iaitu untuk
menjadi ‘kingmaker’ atau kuasa penentu.
Pimpinan PAS kelihatan tak mampu
menjawab persoalan ahli-ahli biasa PAS yang mempersoalkan apabila PAS bertekad
hendak menjadi kingmaker yang boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja khususnya
dengan Umno Bn untuk membentuk kerajaan, adakah ianya bermakna PAS sememangnya
sanggup untuk menyokong Dato Seri Najib Razak kekal sebagai Perdana Menteri
Malaysia dan secara tidak langsung meletakkan Datin Seri Rosmah Mansor kekal
sebagai ‘First Lady of Malaysia’?
Dan ada juga bertanya apakah
dengan menjadi kingkmaker bermakna PAS boleh juga membentuk kerajaan bersama
DAP yang selama ini PAS dakwa kuat menentang Islam atau parti Amanah yang
dianggap pengkhianat? Tidakkah ini politik oportunis?
3. Jadi, dalam keadaan ini
tidaklah menghairankan apabila jumlah kerusi sentiasa diubah-ubah walaupun
sampai ke tahap yang tak munasabah walaupun sudah layak untuk dimasukkan ke
“Malaysian Book of Records”.
Ahli-ahli PAS di kampung dan
ceruk desa mungkin ramai yang sedang bersorak gembira kerana digambarkan
sekarang PAS bakal bertanding begitu banyak kerusi, sesuatu yang tak pernah
berlaku sebelum ini.
Namun wajar juga ahli bawahan
menghitung apakah kemampuan yang ada pada jentera PAS dan juga kewangan parti,
terutama PAS yang gigih mengutip sumbangan atas nama jihad dari ahli-ahli
bawahan.
Jika benar PAS hendak bertanding
160 kerusi Parlimen, maka untuk deposit calon dan bahan kempen sahaja sudah
mencecah RM2.4 juta iaitu dengan mengambil kira deposit sebanyak RM15 ribu
untuk sebuah kerusi Parlimen. Manakala untuk belanja pilihanraya sahaja katakan
sekurang-kurangnya sebanyak RM100 ribu bagi sesebuah kerusi (had perbelanjaan
yang ditetapkan akta pilihanraya ialah sebanyak RM200 ribu).
Maka secara keseluruhan yang
diperlukan ialah paling kurang sebanyak RM18.4 juta dan jika perbelanjaan
pilihanraya Pas mencapai had maksima yang di tetapkan Spr sebanyak RM200 ribu
maka perbelanjaan untuk 160 kerusi Parlimen akan mencecah RM34.40 juta!
4. Saya tahu PAS semasa era
sebelum ini memang tidak ada kemampuan kewangan sebesar itu. Jadi, adakah
ahli PAS sanggup untuk bergolok gadai mencari wang sebanyak itu di dalam
keadaan diketahui bahawa sasaran bertanding sebanyak 160 kerusi itu adalah
sangat tidak realistik?
Atau adakah terdapat ‘permainan’
lain di sebaliknya? Apatah lagi jika dikaitkan dengan pendedahan yang sedang
‘viral’ sekarang tentang sekurang-kurangnya dua akaun berkaitan PAS yang
dikatakan menerima pemindahan wang yang keseluruhannya berjumlah RM2.5 juta dan
dikatakan wang tersebut dimasukkan oleh seorang pemimpin kanan UMNO.
Jika benar, kenapa PAS menerima
duit dari ‘musuh’ politiknya?
5. Saya tak mampu menolak
tanggapan bahawa ‘permainan’ sebenar di sebalik segala senario ini adalah dalam
rangka untuk memastikan PAS bertanding sebanyak mungkin kerusi bagi memecahkan
undi Pakatan Harapan dan seterusnya memberi kedudukan yang selesa kepada
UMNO/BN untuk terus berkuasa.
Apatah lagi sejak pengumuman
pembubaran Parlimen minggu lepas kelihatan terdapat gelombang baru sokongan
rakyat kepada PH yang dapat disaksikan dengan jelas di daam setiap majlis
aktiviti kempen anjuran PH di seluruh negara. Maka satu-satunya ‘trump card’ yang
ada pada BN untuk memastikan BN selamat ialah kad berlatarkan bulan bernama
PAS!
6. Justeru, amat malang
jika sekiranya rakyat Malaysia yang masih menyimpan harapan kepada PAS terus
terpedaya dengan angan-angan kononnya PAS akan masuk dalam PRU 14 untuk
menumbangkan kerajaan BN dan tidak melihat mainan sebenar politik PAS yang
semakin terserlah niatnya untuk mengekalkan kerajaan kleptopkrasi BN di bawah
Dato Seri Najib.
Undi kepada PAS akan hanya
membawa ketidakstabilan politik negara. Jadi rakyat tidak perlu membuang masa
dan membazirkan undi dan dengan mengundi parti sebegini.
Jika rakyat Malaysia benar-benar
ingin melihat perubahan yang lebih baik kepada masa depan negara dan mengheret
kerajaan BN terutamanya Perdana Menteri untuk bertanggungjawab di atas segala
kesusahan dan kerosakan yang dilakukan ke atas rakyat dan negara seperti
pengenaan GST, peningkatan kos sara hidup, skandal 1MDB, FELDA dan lain-lain,
maka tiada pilihan lain melainkan untuk mengundi parti-parti dari Pakatan
Harapan di dalam PRU 14.
DATO’ HJ MAHFUZ HAJI OMAR
Naib Presiden Parti amanah negara
Bekas Ahli Pas 34 Tahun
18 Apr. 2018/2 Sya'ban 1439H.
Comments
Post a Comment