Topik yang mungkin membosankan tetapi perlu diluahkan jua. Politik
wang, bunyinya lembut dan tidak menjijikkan elok kiranya istilah yang lebih
keras, lebih mengaibkan dan menjijikkan diperkenalkan iaitu "Rasuah
Politik" .
Istilah yang lebih keras dan meloyakan itu mungkin boleh membantu
mengurangkan amalan politik wang. Namun gejala politik wang tiada kena mengena
langsung dengan istilah.
Amalan atau sikap kotor itu sebenarnya berkait rapat dengan
etika dan sikap seseorang ahli politik itu. Kalau mereka masuk politik kerana
kepentingan diri sendiri, maka politik wang atau rasuah politik tetap akan
menjadi amalannya.
Kalau masuk politik kerana mahu tanah, konsesi balak, permit
AP, saham, lesen kontraktor kelas F, pangkat dan kedudukan, kumpulkan dan
ciptalah pelbagai istilah yang kotor dan menakutkan, ia tetap tidak dapat
menangani gejala tersebut.
Sedangkan undang-undang anti-rasuah yang ada dalam negara ini
tidak ditakuti oleh orang2 politik, inikan pula sekadar satu istilah!
Oleh itu, tidak perlulah membuang masa untuk mencipta
istilah baru. Lebih baik difikirkan cara lain yang lebih berkesan untuk
menangani politik wang atau rasuah politik.
Sebenarnya bukan istilah yang perlu ditukar tetapi
pendekatan dalam menangani masalah itu perlu diubah.
Tindakan keras patut dikenakan terhadap pengamalnya tanpa
memilih bulu. Tambahan pula RUU Pencegahan Rasuah juga telah dipinda.
Pendekatan tegas menerusi undang-undang rasanya lebih
berkesan daripada istilah yang lebih keras atau menjijikkan. Tidak dinafikan ada
sesetengah orang politik telah mengambil beberapa langkah bagi membasmi masalah
ini. Pelbagai peraturan dan etika pemilihan telah dilaksanakan dan ramai
pemimpin telah dikenakan hukuman.
Penciptaan istilah yang keras dan kotor tidak akan
membersihkan orang politik daripada rasuah politik jika orang politik sendiri
tetap menganggap rasuah bukan suatu yang kotor dan haram.
Apabila rasuah dianggap sebagai sebahagian daripada cara
hidup atau strategi politik atau teknik berurusniaga, maka ia tidak mungkin
boleh dibasmi!
Comments
Post a Comment