SAKSI BERITAHU PENGLIBATAN JHO LOW DENGAN AKAUN NAJIB???




Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendengar minggu lalu bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, menjadi dalang kepada banyak transaksi yang menyalurkan jutaan dana SRC International ke akaun semasa Najib Razak untuk mengelakkan pengeluaran lebih had.

Bekas pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu memberi keterangan yang tiga akaun bank berakhir dengan digit 898, 906 dan 880, yang pengeluarannya sentiasa terlebih had dan perlu menerima pembayaran tunai untuk mengelakkan cek dikeluarkan daripada akaun Najib ditendang.

Kesemua akaun yang dibuka pada 31 Julai 2013 ditutup pada Mac 2015. Dua kad kredit Najib juga dibatalkan pada bulan yang sama.

Yu merupakan saksi ke-54 pihak pendakwa, memberitahu mahkamah RM12.4 juta dimasukkan ke akaun Najib dari Jun 2014 hingga Mac 2015 walaupun terdapat amaran urus niaga itu mungkin menyebabkan amaran pengubahan wang haram.

Ketika disoal balas oleh pasukan peguambela, Yu juga mendedahkan Low mengarahkannya berbohong mengenai tujuan tiga draf bank melibatkan RM139 juta yang dikeluarkan kepada Putra Perdana Construction daripada Gandingan Mentari pada Julai 2014 serta diminta untuk “mereka cerita” pada borang transaksi.

Saksi itu juga mengatakan Jho Low bertanya sama ada boleh membuat transaksi individu sebanyak RM50 juta tanpa memaklumkan kepada Bank Negara Malaysia.

Beliau mengesahkan ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang itu bertanya sama ada bank pusat perlu dimaklumkan jika membuat dua pemindahan sebanyak RM50 juta setiap satu, dalam matawang dolar AS, melalui akaun yang dikaitkan dengan dua firma.

Bagaimanapun, Low tidak mematuhi perancangan itu dan sebaliknya melakukan pemindahan melalui Rentas, yang tidak memerlukan banyak dokumen.

Pada 8 Julai 2014, RM35 juta dipindahkan daripada SRC International ke Putra Perdana Construction.

Selepas itu, RM105 juta dan RM30 juta dipindahkan pada 14 Julai 2014 dan 8 Ogos 2014.

Yu juga ditanya mengenai RM27 juta daripada SRC International yang masuk ke akaun dengan digit “880” milik Najib iaitu tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram Najib yang belum dibicarakan.

Dalam perbualan mereka, Low memberitahu Yu agar tidak bertanya dari wang itu datang dan bersetuju dengan cadangan pihak pembela yang Low meyakinkannya ia adalah sumbangan daripada kerabat diraja.

Saksi guna duit sendiri untuk lindungi Najib

Yu juga mendedahkan beliau mungkin bertindak di luar skop tugasnya dengan menggunakan RM55,000 wangnya sendiri untuk menguruskan overdraf dalam akaun semasa Najib yang berakhir pada “906” pada 29 September 2014.

Najib mengeluarkan cek sebanyak RM80,000 kepada ahli perniagaan Lim Soon Peng pada hari itu, yang cuba diberi amaran oleh Yu kepada Low mengenai jumlah duit yang kurang dalam akaun semasa.

Beliau kemudian cuba menghubungi setiausaha Low, yang dikenali sebagai Josie, tetapi hanya dapat menghubungi rakan Low, Kee Kok Thiam.

Comments