BILA PEGAR MAKAN PADI!!!


Harapkan pegar, pegar makan padi… benarlah kata pepatah melayu ini, apabila seorang Hakim Mahkamah ditahan SPRM kes rasuah PATI.

Rasuah makin parah sehinggakan orang yang sepatutnya menegakkan keadilan turut terlibat.

Semua orang tahu rasuah adalah haram dan ditegah sama sekali oleh Islam.

Malangnya, kali ini hakim pula yang terlibat. Jika ini berlarutan di mana lagi masyarakat mahu dapatkan keadilan di dunia yang sementara ini.

Yang jelas, kes ini mencemar nama baik institusi kehakiman negara yang selama ini dipandang tinggi oleh masyarakat.

Rakyat amat mengharapkan badan kehakiman negara menjadi tempat tertinggi memperoleh neraca keadilan.

Sayangnya, ada juga hakim yang tidak kebal dengan rasuah.

Benarlah, wang mempunyai kuasa untuk membeli pangkat dan kedudukan serta segala kemahuan yang diperlukan.

Namun, perlu diingatkan bahawa wang bukan jaminan untuk kekal hidup bahagia kerana jika silap langkah, kita boleh jadi hamba kepada wang yang disembah oleh individu-individu yang bersikap tamak dan rakus.

Di dunia mungkin kita boleh lepas daripada hukuman undang-undang negara. Namun mampukah kita menanggung azab yang dijanjikan kepada golongan yang terlibat rasuah di akhirat?

Saat di mana tidak ada satu pun perbuatan walau sekecil zarah yang terlepas daripada neraca timbangan Allah SWT. Janganlah kerana nafsu serakah, kita terseksa dan dihumban dalam neraka Allah.

Comments