TUNTUT NAJIB BAYAR CUKAI PENDAPATAN RM1.69 BILION

Kerajaan Malaysia memfailkan saman terhadap Najib Razak bagi menuntut bekas perdana menteri itu membayar RM1.69 bilion cukai pendapatan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang masih terhutang bagi Tahun-Tahun Taksiran 2011 hingga 2017.

Kerajaan selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi LHDN pada 25 Jun lepas dengan menamakan Najib selaku defendan tunggal.

Dalam saman itu, kerajaan menuntut Najib membayar RM1,692,872,924.83 faedah atas jumlah wang berkenaan pada kadar 5% setahun dari tarikh penghakiman sehingga kes selesai, kos dan apa-apa relif yang sesuai oleh mahkamah.

Dalam penyataan tuntutan itu, kerajaan berkata bagi Tahun-Tahun Taksiran 2011, 2012, 2013, 2014, 2015, 2016 dan 2017, defendan ditaksirkan dengan Taksiran Tambahan masing-masing berjumlah RM116,173,374.12; RM320,929,932.31; RM891,573,465.46; RM119,144,655.51; RM16,879,500.03; RM643,445.21 dan RM346,471.41 melalui Notis-Notis Taksiran (Tambahan) masing-masing bertarikh 20 Mac 2019.

Kerajaan mendakwa Notis Taksiran (Tambahan) itu dihantar secara pos berdaftar kepada defendan pada 25 Mac 2019 ke alamat terakhirnya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta.

Kerajaan juga mendakwa notis berkenaan tidak pernah dikembalikan kepada LHDN.

Dakwanya, oleh kerana Najib gagal untuk membayar semua cukai berkenaan dalam tempoh 30 hari dari tarikh penyampaian notis taksiran itu kepada LHDN seperti yang ditetapkan di bawah Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967, kenaikan cukai sebanyak 10% masing-masing berjumlah RM11,617,337.41; RM32,092,993.23; RM89,157,346.54; RM11,914,465.55; RM1,687,950.00; RM64,344.52 dan RM34,647.14 dikenakan dan ditambah ke atas keseluruhan cukai pendapatan bagi Tahun-tahun Taksiran 2011 (Tambahan), 2012 (Tambahan), 2013 (Tambahan), 2014 (Tambahan), 2015 (Tambahan), 2016 (Tambahan) dan 2017 (Tambahan) yang masih belum dibayar.

Kerajaan mendakwa Najib juga masih gagal menjelaskan keseluruhan cukai pendapatan dan kenaikan 10% yang masih terhutang dalam tempoh 60 hari yang ditetapkan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

“Oleh demikian, kenaikan cukai sebanyak 5% masing-masing berjumlah RM6,389,535.57; RM17,651,146.27; RM49,036,540.60; RM6,552,956.05; RM928,372.50; RM35,389.48 dan RM19,055.92 dikenakan dan ditambah ke atas keseluruhan cukai pendapatan bagi Tahun-tahun Taksiran 2011 (Tambahan) sehingga 2017 (Tambahan) yang masih belum dibayar dan kenaikan 10 peratus tersebut,” dakwa plaintif.

Oleh itu, kerajaan berhak untuk mendapatkan kembali jumlah cukai pendapatan yang masih terhutang serta kenaikan-kenaikan yang dikenakan ke atas Najib sebagai suatu cukai yang genap tempoh masanya yang harus dibayar.

“Sehingga kini defendan (Najib) masih gagal membayar kepada plaintif amaun cukai pendapatan defendan yang masih terhutang bagi Tahun-Tahun Taksiran 2011 (Tambahan) sehingga 2017 (Tambahan) yang semuanya berjumlah RM1,692,872,924.83,” kata kerajaan.

Kes berkenaan ditetapkan untuk pengurusan kes Isnin depan (8 Julai) di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Erry Shahriman Nor Aripin.

Comments