PENGUBAHAN WANG RM1 BILION???



Penerbit filem Hollywood Riza Aziz meminta dibicarakan di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap 5 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah AS$248 juta.

Riza, yang merupakan anak lelaki Rosmah Mansor didakwa melakukan kesalahan itu di Amerika Syarikat dan Singapura antara 4 April 2011 dan 14 November 2012.

Di bawah pertuduhan pertama, beliau didakwa menerima AS$1,173,104 melalui satu pindahan wang daripada akaun milik Good Star Ltd kepada akaun milik Red Granite Productions Inc.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 12 April 2011 dan 12 May 2011 di City National Bank di Los Angeles, California.

Di bawah pertuduhan ke-2, Riza didakwa menerima AS$9,000,000 daripada akaun sama milik Good Star kepada akaun milik Red Granite Productions.

Kesalahan itu didakwa berlaku di tempat sama antara 10 September 2012 dan 10 Oktober 2012

Menurut pertuduhan ke-3, beliau didakwa menerima AS$133,000,000 daripada akaun milik Aabar Investments PJS Ltd kepada akaun milik Red Granite Capital Ltd.

Kesalahan tersebut didakwa berlaku pada 18 jun 2012 di BSJ Bank di Temasek Boulevard di Singapura.

Bagi pertuduhan ke-4, beliau didakwa menerima AS$60,000,000 daripada akaun sama milik Aabar Investments kepada akaun Red Granite Capital di tempat sama.

Kesalahan tersebut didakwa berlaku pada 14 Nov 2012.

Di bawah pertuduhan ke-5, Riza didakwa menerima AS$45,000,000 daripada akaun Aabar Investments kepada akaun Red Granite Capital di tempat sama.

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 4 November 2012.

Riza didakwa di bawah Akta Anti Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Jika sabit kesalahan beliau boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 5 tahun dan denda maksimum RM5 juta atau 5 kali ganda jumlah terlibat, yang mana lebih tinggi.

Riza mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibaca di hadapan hakim Rozina Ayob.

Pendakwa raya ad hoc Gopal Sri Ram meminta ikat jamin RM1 juta dengan 2 penjamin dikenakan oleh mahkamah.

Peguam Riza, M Kumaraendran kemudiannya meminta anak guamnya ibolehkan membayar ikat jamin tersebut dalam 2 ansuran, dengan ansuran pertama RM500,000 dibayar hari ini, dan ansuran ke-2 minggu depan.

Sri Ram yang dibantu oleh timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib bagaimanapun menolak permintaan itu dengan berkata, Riza perlu membayar kesemua ikat jamin itu hari ini.

Rozina menolak permohonan pembelaan dan memerintahkan jumlah wang ikat jamin dibayar hari ini.

Beliau juga mengarahkan Riza menyerahkan pasport antarabangsa beliau kepada mahkamah, walaupun Kumaraendran berkata, anak guamnnya termasuk dalam senarai individu yang ditegah keluar negara.

Sebutan kes ditetapkan pada 9 Ogos depan.

Comments