ORNITHOLOGY!!! PREDATORY!!! HELANG, PIPIT DAN ENGGANG???



Untuk kali ini kita belajar mengenai tiga jenis burung, iaitu helang, pipit dan enggang.

Helang diklasifikasikan sebagai burung pemangsa atau dalam bahasa Inggeris “bird of prey”, iaitu burung yang mencari makan dengan membunuh, termasuk sesama burung.

Pipit pula adalah burung yang memakan bijirin dan serangga.

Enggang burung rimba memakan buah-buah jenis beri macam buah ara.

Helang ada banyak jenis. Begitu juga pipit dan enggang. Ada sejenis helang yang dipanggil helang pipit (besra) dan satu lagi dipanggil helang sewah (Japanese sparrowhawk).

Kedua-dua jenis helang ini berukuran kecil tetapi amat ganas memburu burung-burung yang lebih kecil daripadanya, termasuklah pipit.

KS memberi makan burung liar di sekeliling rumah. KS hidangkan bijirin dan pisang atau betik. Pisang dan betik yang KS hidangkan kepada mereka sama dengan pisang dan betik yang KS makan.


Tekukur di rumah makan burung yang KS dirikan… Banyak jenis yang datang – merbah, murai, kunyit kecil dan besar, ciak rumah, ciak tuli, merbuk, tekukur, gembala kerbau (mynah) dan ruak-ruak.

Burung pucung dan pekaka atau raja udang pun datang juga sebab KS ada kolam ikan yang KS biakkan ikan tilapia.

Ikan tilapia mudah membiak sebab ia jenis ikan yang menetaskan telurkan dan memelihara anak di dalam mulut (mouth breeder).

Oleh sebab ada burung di sekeliling rumah maka sekali-sekala kelihatan helang pipit dan helang sewah datang memburu.

Jadi bila ada orang yang menggolongkan dirinya sebagai helang dan orang lain sebagai pipit maka bagi seorang pengintai burung (birdwatcher), KS fahamlah pengertian tersurat dan tersiratnya.

Yang tersirat, si helang lebih tinggi kedudukannya daripada si pipit manakala yang tersurat, si helang menjadikan si pipit sebagai mangsa.

Ada unsur pemangsaan dalam ungkapan helang dan pipit itu. Dalam bahasa Inggeris, kita kata “predatory”.

Pengkaji burung menyifatkan helang sebagai oportunis atau mengambil kesempatan.

Misalnya, ada jenis helang yang bukan sahaja memburu tetapi turut memakan bangkai.

Ini termasuklah “bald eagle” (helang botak) Amerika yang lazimnya memburu tetapi memakan bangkai ketika musim sejuk apabila mangsa hidup sukar didapati.

Helang pemangsa opoturnis: Makan mangsa kemalangan jalan raya
Bagi kita, khususnya orang Melayu, yang faham adat resam, kita kata enggang sama enggang pipit sama pipit.

Itulah peribahasa yang kita gunakan. Kita tidak kata helang sama helang, pipit sama pipit.

Enggang tidak terbang bersama pipit dan enggang juga tidak memburu dan memakan pipit.

Helang memang tabiat semula jadinya memburu dan memakan pipit. Apabila tidak ada pipit untuk diburu dan dimakan, helang sanggup makan bangkai.

Itulah ajaibnya kejadian Tuhan untuk kita pelajari dan dijadikan teladan serta sempadan.

Janganlah kita jadi nelayan bodoh yang cuba menguji lautan dalam dengan kail panjang sejengkal.

Wallahuaklam.

Nota Kaki: Saja berpuitis…ada yang faham???

Comments