BERMIMPI DISIANG HARI???


Tentu ramai yang rasa nak ketawa apabila membaca kenyataan seorang bekas menteri daripada Sarawak, Nancy Shukri yang menyatakan ramai rakyat negeri itu mahu Najib Razak kembali menjadi Perdana Menteri.

Kata beliau, Najib kekal popular kerana sumbangannya kepada pembangunan serta meluangkan banyak masa melawat negeri itu.

“Jika anda bercakap dengan orang Sarawak, mereka mahu Najib kembali sebagai Perdana Menteri kerana beliau melawat semua kawasan pedalaman.

“Saya tidak cuba mempromosi Najib, tapi beliau tahu apa yang rakyat Sarawak perlukan.

“Beliau mengunjungi Sarawak lebih 60 kali dan cuba memudahkan hidup kami,” kata Ahli Parlimen Batang Sadong itu ketika berucap di sebuah forum di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Rasanya-rasanya inilah kenyataan paling kelakar pernah kita dengar sejak kalahnya BN dalam PRU14 yang diadakan pada 9 Mei 2018 lalu.

Pertama, bagaimanakah Nancy boleh mengeluarkan kenyataan yang seolah-olah beliau mewakili majoriti rakyat Sarawak?

Bukankah ramai juga rakyat Sarawak yang gembira dengan kekalahan BN dan tersingkirnya Najib dalam PRU14 lalu?

Kedua, Nancy sebenarnya tidak patut mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana parti yang diwakilinya sendiri iaitu PBB adalah komponen yang paling awal meninggalkan BN sebaik Najib kehilangan kuasanya.

Dalam erti kata lain PBB dan pemimpinnya bukanlah golongan yang setia kepada BN serta sanggup sehidup semati dengan Najib.

Tidakkah kelakar bunyinya di sebalik PBB paling awal meninggalkan Najib, tetapi sekarang Nancy boleh pula mengatakan rakyat Sarawak mahukan Najib menjadi Perdana Menteri semula?

Kelakar…kelakar…kelakar!!

Dalam hal ini barangkali Najib sendiri jadi gelihati dibuatnya dengan kenyataan Nancy ini.

Ketiga, meskipun diakui Najib agak popular sekarang, namun untuk beliau kembali menjadi Perdana Menteri atas tiket UMNO dan BN boleh dikira agak mustahil.

Najib sekarang bukan lagi Presiden UMNO dan tidak juga sebagai Pengerusi BN, malah sedang berdepan banyak pertuduhan di mahkamah yang memungkinkannya merengkok di penjara selepas ini.

Lagi pun, mengenali Tun Mahathir Mohamad, begitulah caranya beliau menghukum musuh politik yang enggan tunduk kepadanya.

Dengan demikian, kalau pun BN menang semula PRU15 akan datang, sudah tentu pemimpin lain yang akan menjadi Perdana Menteri.

Adalah mustahil, Presiden UMNO dan Pengerusi BN pada tahun 2023 nanti iaitu ketika PRU15 diadakan dan andainya BN menang pilihanraya ketika itu, akan dengan murah hati sedia menawarkan jawatan Perdana Menteri kepada Najib semula.

Sudah barang tentu pemimpin berkenaan sendiri yang mahu menjadi Perdana Menteri.

Najib barangkali hanya dapat menjadi Perdana Menteri semula jika melalui sebuah parti lain sebagaimana Tun Mahathir yang dapat menjadi Perdana Menteri buat kali kedua dengan cara menubuhkan sebuah parti baru iaitu Bersatu.

Tetapi, adakah Najib sanggup meninggalkan UMNO?

Kesimpulannya, Nancy Shukri sebenarnya boleh dianggap bermimpi di siang hari saja jika beliau masih ada perasaan bahawa Najib mungkin mampu menjadi Perdana Menteri semula selepas dijatuhkan pada PRU14 lalu. 

Comments