8 MINGGU KES SRC INTERNATIONAL DIBICARAKAN, APA YANG KITA TAHU???


Perbicaraan Najib Razak minggu lalu, saksi ke-42 pendakwaan, bekas pengarah SRC International Suboh Md Yassin mengatakan bahawa bekas CEO Nik Faisal Ariff Kamil boleh memalsukan tandatangan untuk meluluskan wang jutaan ringgit dalam urus niaga bank kerana dia “berkuasa” kerana memiliki “gunung di belakangnya “.

Suboh, yang menjadi saksi selama empat hari, diasak pihak pembelaan berhubung kemungkinan Nik Faisal menandatangani surat arahan bank kepada AmIslamic Bank, yang memegang akaun syarikat SRC International.

“Anda tahu, dia disokong kerana kedudukannya. Dia adalah Ketua Pegawai Eksekutif, dan dia adalah seorang yang amat berkuasa kerana dia mempunyai seseorang di belakangnya.

“Seperti kata peribahasa Cina ‘gunung di belakangnya’. Jadi dia tolak kita (lembaga pengarah) ke tepi,” kata saksi itu.

Suboh bagaimanapun, tidak mendedahkan identiti “gunung” berkenaan.

Pihak pembelaan turut mencadangkan bahawa Nik Faisal bersalah memalsukan tandatangan untuk meluluskan berjuta-juta ringgit dalam urus niaga bank, dan ia dijawab Suboh bahawa kemungkinan itu boleh terjadi.

Suboh juga memberi keterangan bahawa Nik Faisal masih mempunyai pengaruh terhadap lembaga pengarah SRC International walaupun selepas tidak lagi menjadi CEO.

Beliau tidak bersetuju dengan cadangan pihak pembelaan bahawa kuasa Nik Faisal berakhir setelah perkhidmatannya ditamatkan pada 11 Ogos 2014.

Lelaki berusia 66 tahun itu juga memberitahu mahkamah bahawa beliau telah memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia bahawa tandatangannya pada kira-kira sedozen surat arahan Pemindahan Elektronik dan Sekuriti (Rentas) kepada AmIslamic Bank telah dipalsukan.

Arahan-arahan itu termasuk pemindahan oleh AmIslamic Bank bagi dana jutaan ringgit antara SRC International, anak syarikatnya Gandingan Mentari dan rakan kongsi tanggungjawab sosial korporat Ihsan Perdana Sdn Bhd.

Ketika ditunjukkan dokumen berkenaan, Suboh menyatakan tandatangan beliau telah dipalsukan, dan kemungkinan ia dilakukan oleh Nik Faisal.

Nik Faisal bagaimanapun masih tidak dijumpai dan dipercayai berada di Indonesia menurut beberapa laporan.

Comments