SIRI 6 HANTU RAYA HYBRID: SUCIKAN JIWA DARI SIFAT MAZMUMAH


Ramadan kian menuju pengakhirannya yang pasti akan dirindui oleh orang yang beriman.

Bagi golongan yang lalai dan leka dengan permainan dunia pasti tidak akan merasai apa-apa apabila Ramadan meninggalkan mereka.

Ramadan adalah bulan yang sangat istimewa berbanding bulan-bulan Islam lain kerana kelebihan dan keunikan bulan tersebut. Bulan ini adalah bulan yang penuh dengan keberkatan daripada Allah SWT.

Bulan yang di dalamnya ada satu malam yang cukup istimewa dan sangat ditunggu-tunggu oleh orang yang beriman iaitu Lailatulqadar.


Untuk meraih ganjaran malam al-Qadr seseorang selayaknya mengikhlaskan niat beribadah kerana Allah SWT, menyucikan jiwa dari sifat mazmumah dan menghindari berbuat dosa dan nista.

Para Muslimin diajak bersungguh-sungguh menyempurnakan kewajipan puasa pada siang hari selain menjaga seluruh anggota dan pancaindera daripada maksiat. Apa yang menjadi makanan seharian juga penting untuk dititikberatkan terutama yang berunsur syubhat apatah lagi yang haram.

Panjang lebar mukadimah KS kali ini, apa yang KS ingin kaitkan adalah tentang syubhat dan rasuah…

Wang gaji yang diperoleh secara halal seolah-olah tidak cukup..

Soal haram halal bukan lagi perhitungan, yang tidak kira apapun melintas di depan mata waima bangkai sekalipun akan dibahamnya…

Selama bertahun-tahun menyuapkan rezeki haram ke mulut anak dan isteri, mungkin juga kepada ibu bapa di kampung. Mereka tidak fikirpun betapa jijiknya perbuatan tersebut.

Dulu-dulu orang berasa malu apabila disiasat dan ditangkap kerana rasuah dan salahguna kuasa. Anak-isteri, malah orang kampung sendiri terasa diaibkan sekali jika ada di kalangan mereka dituduh melakukan kesalahan tersebut.

Hari ini rasuah dan penyelewengan sudah menjadi berita biasa. Setiap hari ada sahaja kenyataan daripada SPRM memberitahu sekian-sekian disiasat kerana rasuah.

Dulu kalau ada anggota polis atau kerani fail yang menerima suapan atau duit kopi itu sudah heboh sekampung. Hina sangat makan suap RM10 atau RM20.

Hari ini suapan bukan lagi puluhan atau ratusan, tetapi ratus-ratus ribu, malah penyelewengan dan rasuah yang melibatkan juta-juta, bilion-bilion.

Mereka yang terlibat dalam siasatan jenayah berkenaan itu bukan orang biasa, tetapi yang berkedudukan dan bergelar Datuk, Datuk Seri, Tan Sri, Pegawai kanan, Pengarah, Ketua Pengarah, menteri semua disiasat kerana penyelewengan dan membalun harta rakyat.

Nampak mudah sangat mereka anak-beranak songlap duit.

Luluskan satu projek boleh dapat suapan juta-juta. Beli kapal selam dapat komisyen ratus-ratus juta. Dana institusi Islam pun mereka sakau ikut suka hati.

Perhatikan, semua yang pangkat besar, berkedudukan tinggi dan kaki seleweng lagi perasuah mega itu adalah kebanyakannya orang Melayu, orang Islam.

Orang Melayu yang dulu-dulu digambarkan sebagai lemah-lembut, bersantun dan tinggi maruah itu, kini sudah sinonim dengan rasuah dan penyelewengan. Mereka sudah hilang malu!

Malah ditangkap, disiasat hatta dibicarakan kerana seleweng dan rasuah nampaknya bukan lagi sesuatu yang mengaibkan.

Orang yang dihadapkan ke mahkamah kerana jenayah berat kini disanjung sebagai wira. Mereka ke mahkamah tidak menundukkan wajah kerana malu, sebaliknya mendepang dada dalam sorakan penyokong.

Malah, yang menghadapi berpuluh tuduhan rasuah dan seleweng, ramai berhimpun di mahkamah untuk memberi sokongan.

Meski duduk di kandang orang tertuduh, dia masih dianggap bos, malah diraikan dan disorakkan dengan slogan ‘Malu Apa Bossku’.


Ertinya orang kita tidak lagi perlu malu walaupun dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan yang sepatutnya amat memalukan!!!

Taubatlah di bulan Ramadan ini, dunia ini bukan milik kita pun. Semua benda kita akan pulangkan kepada Pencipta kita.

Kenapa sifat mazmumah dan menghindari berbuat dosa dan nista juga yang kamu semua kejar…

Sudah-sudahlah menjadi 'Hantu Raya Hybrid' cukup-cukuplah berfikiran haprak. Hati tuli.

Bersamalah cari Malam Lailatulqadar dan bukanya bangga dengan slogan ‘Malu Apa Bossku’.  

Comments