KEMEWAHAN DAN KEKAYAAN BUKAN SEGALA-GALANYA


Akhir zaman ini kemewahan dan kekayaan sangat mudah didedahkan kepada khalayak ramai melalui pelbagai kaedah terutamanya media masa.

Dalam mengejar harta dan wang ringgit, kita seharus­nya tidak terjebak dengan pelbagai gejala yang tidak sihat antaranya rasuah.

Rasuah tidak mengira pangkat, darjat ataupun keturunan seseorang itu, jika disabit kesalahan berkaitan rasuah maka seseorang itu akan diambil tindakan oleh pihak yang berkaitan.

Pastinya hukuman penjara dan denda wang tunai tidak boleh lari daripada setiap pesalah yang terjebak dengan rasuah.

Wajarnya, hukuman dan denda yang lebih berat dijatuhkan kepada pesalah-pesalah agar memberi kesedaran kepada masyarakat betapa rasuah adalah satu perkara yang wajib dihindari dalam kehidupan seharian kita.

Kita dapat melihat dan mendengar gejala rasuah yang semakin menjadi-jadi dalam kalangan masyarakat kita dan yang paling banyak dihebahkan adalah berkaitan wang.

Benarlah, wang mempunyai kuasa untuk membeli pangkat dan kedudukan serta segala kemahuan yang diperlukan.

Namun, perlu diingatkan bahawa wang bukan jaminan untuk kekal hidup bahagia kerana jika silap langkah, kita boleh jadi hamba kepada wang yang disembah oleh individu-individu yang bersikap tamak dan rakus.

Golongan yang terlalu memikirkan kemewahan dan kekayaan ini akan sentiasa berfikir bahawa wang adalah segala-galanya dan wang juga dapat membeli apa sahaja yang diinginkannya hatta pangkat dan gelaran juga boleh dimiliki dengan mudah sekali.

Rasuah wajib dijauhi oleh masyarakat terutamanya bagi kita yang beragama Islam kerana ia akan mendatangkan banyak kemudaratan kepada kita.

Tidak kira sama ada kita memberi, kita sebagai penerima mahupun sebagai orang tengah yang terlibat di antara pemberi dan juga penerima, maka kita akan disabitkan kesalahan atas kes rasuah.

Carilah rezeki kehidupan kita dengan cara yang baik dan halal.

Jangan sesekali mendekati apatah lagi melibatkan diri dengan rasuah semata-mata untuk mencapai kemahuan mahupun kesenangan dalam kehidupan. Biar kita susah tetapi tiada masalah berbanding mewah tetapi hidup merana gara-gara dikelilingi dengan rasuah.

Salam Aidilfitri, maaf zahir dan batin.

Comments