SIRI 2: ACAH-ACAH TUNJUK TARING SYAITAN???



Jika sebelum dan semasa PRU Ke-14, ramai pemimpin PH seolah-olah menunjukkan merekalah golongan terpilih untuk menyelamatkan negara kerana bersih, benci rasuah, menentang penyelewengan dan salah guna kuasa.

Tetapi KS tertanya-tanya apakah benar biarpun baru 10 bulan memerintah ada antara mereka semakin sudah tidak mampu mengawal godaan apabila sudah berkuasa?

Lihatlah bagaimana ada pegawai-pegawai lantikan politik yang bekerja dengan menteri semakin tunjuk taring dan antaranya didakwa menyalah guna kuasa.

Dikhabarkan juga ada ketua-ketua jabatan diugut agar menuruti cakap dan percakapan mereka, khususnya dalam soal perolehan. Jika enggan, mereka akan ditukarkan ke jabatan lain.

Selain itu turut didakwa berlaku ialah ada menteri yang begitu berani melibatkan anak-anak dalam mesyuarat perolehan dan beberapa lagi salah laku.

Untuk bertindak adil, kita tidak berhak untuk menyatakan sama ada apa yang didakwa benar-benar terjadi tetapi pada masa sama kita juga tidak berhak menuduh semua itu fitnah.

Oleh itu, semua dakwaan itu harus diserahkan kepada SPRM untuk disiasat.

Jika tidak bersalah tidak perlulah semua anggota Kabinet dan pegawai mereka takut dan tidak keberatan siasatan dilakukan.

Ini kerana sebagai anggota dalam sebuah kerajaan yang sentiasa menganggap kerajaan dahulu penuh rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa dan mencuri wang rakyat, inilah masanya untuk membuktikan ketelusan.

Banyak lagi faktor lain yang jika tidak ditangani dengan betul oleh PH akan mengundang bencana kepada kuasa politik mereka. Dalam soal ini, jangan menuding jari kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad yang berkorban masa dan tenaga untuk memulihkan negara.

Usaha beliau akan menjadi sia-sia, jika barisan Kabinet dan pemimpin-pemimpin dalam pakatan itu terus mahu berpolitik sepanjang masa termasuk melibatkan urusan kerajaan serta tidak mengelak daripada berperangai seperti ‘membahagi-bahagikan harta rampasan perang’.

Masa masih ada untuk memperbaiki segala kelemahan kerana ketika ini rakyat bagaikan diberi harapan palsu akibat pentadbiran negara yang dilihat haru-biru berikutan pemimpin kerajaan yang masih keliru dalam era Malaysia Baharu.

Jangan sampai rakyat tunjukan 'taring'.

Comments