BERITA BAJU OREN???



Tengok saja televisyen mesti ada berita orang berbaju oren…orang kena tangkap kes rasuah…

Selak akhbar akan jumpa dua atau tiga berita berkenaan rasuah. Begitu juga kalau kita melayari portal-portal berita mesti tidak terlepas daripada cerita-cerita berkenaan rasuah.

Mereka yang ditahan dan didakwa terlibat rasuah ini pula daripada orang atasan hingga ke peringkat bawahan.

Ada yang membabitkan kerani pejabat kerajaan mahupun swasta. Pada masa sama ada juga pengarah-pengarah syarikat yang diheret sambil memakai baju oren kerana salah laku rasuah.

Begitu juga tokoh-tokoh politik turut bergari dan kena turun naik mahkamah atas dakwaan rasuah.

Daripada paparan-paparan berita ini, dan daripada kumpulan orang atau individu yang terbabit dengan rasuah ini, ia seolah-olah memberi gambaran gejala negatif dan tidak bermaruah ini telah membarah dalam masyarakat kita.

Jika mereka yang berpangkat, berjawatan dan berpendidikan tinggi tidak segan-silu mengambil dan memberi rasuah, maknanya masyrakat kita sudah hilang pekerti mulia. Mereka hidup dengan berlandaskan nafsu serakah semata-mata tanpa memikirkan perbuatan itu bukan sahaja salah di sisi undang-undang, tetapi juga ditegah oleh semua agama.

Amalan rasuah membawa pelbagai impak negatif seperti keruntuhan moral dan penindasan di kalangan masyarakat, kerosakan dan ancaman kepada negara, serta menggugat keselamatan dan keamanan.

Berdasarkan kepada imej-imej perasuah yang memenuhi media massa, jelas menampakkan SPRM gigih menghapuskan pelbagai bentuk gejala tidak sihat termasuklah amalan rasuah.

Kita juga sebenarnya boleh berbangga apabila persepsi rakyat Malaysia terhadap perlakuan rasuah, salah laku serta penyelewengan semakin positif.

Jika dulu, ramai juga cenderung ‘tutup mata’ apabila melihat perlakuan rasuah berlaku di sekitar mereka.

Kini, KS percaya kesedaran serta tanggungjawab untuk tampil membuat aduan atau laporan berkaitan aktiviti sedemikian semakin bertambah.

Semua kita sebenarnya mahu melihat Malaysia benar-benar bebas daripada rasuah.

Lantas usaha memastikan masyarakat memainkan peranan sebagai ‘mata dan telinga’ kepada SPRM harus terus diperkasa.

Jika ini berlaku, sesiapa juga pasti akan berfikir berkali-kali untuk memberi atau menerima rasuah… Kita kena wujudkan budaya jijik melihat perlakuan rasuah.

Comments