SKANDAL PROJEK JIWA MURNI: ADAKAH SEMURNI NIAT ZAHID HAMIDI???



Projek "Jiwa Murni" ini hanya nampak cantik pada nama dan sedap didengar di telinga saja.

Di sebaliknya, projek ini menyimpan pelbagai rahsia atau mungkin membuka pekung yang melibatkan bekas pemimpin nombor dua negara era BN dahulu, Ahmad Zahid Hamidi dengan dua tauke dari Sarawak.

Kisah projek membina jalan di seluruh pedalaman Sarawak yang dikenali sebagai projek "Jiwa Murni" ini bermula pada 2009 di mana pada ketika itu Zahid Hamidi memegang portfolio Menteri Pertahanan.

Apa yang menarik perhatian adalah kementerian berkenaan bertanggungjawab mengendalikan projek tersebut dengan projek diberikan kepada syarikat swasta, tetapi perlaksanaannya menggunakan tenaga Kor Jurutera Angkatan Tentera Malaysia.

Tujuan projek ini pada asalnya untuk menambah mutu kehidupan dan memberi keselesaan kepada penduduk luar bandar di Sarawak, lalu Zahid Hamidi melancarkan projek "Jiwa Murni" ini kononnya untuk menyediakan kemudahan fasiliti jalan raya kepada rakyat yang tinggal di pendalaman negeri berkenaan.

Bagi tujuan menjimatkan kos, askar-askar dibawah jagaan Zahid Hamidi selaku Menteri Pertahanan ketika itu telah digunakan untuk melaksanakan kerja-kerja membina jalan-jalan di bawah projek "Jiwa Murni" itu.

Dari satu segi, tentu saja timbul persoalan,  mengapakah askar-askar yang diberi tugas membina jalan itu, sedangkan projek diserahkan kepada syarikat swasta yang dilantik oleh Kementerian Pertahanan?

Projek pertama "Jiwa Murni"  bermula pada 2009 dengan menaik taraf jalan balak dari Long Lopeng ke Ba'Kelalan yang siap pada 31 Sept 2011.

Ketika inilah  dikatakan bermulanya hubungan Zahid Hamidi dengan seorang tauke atau ahli perniagaan Sarawak bernama Barry Tan, pemilik syarikat Mikro Sdn Bhd di mana syarikat tersebut bertanggungjawab mengendalikan projek jalan Long Lopeng - Ba'Kelalan itu.

Barry mempunyai rakan niaga bernama Mr Chew Chiaw Han, pemilik syarikat Microsite Enterprise Sdn Bhd yang terbabit dalam perlaksanaan projek jalan Long Lopeng-Ba'Kelalan tersebut.

Seterusnya, melalui projek itu kedua-dua tauke berkenaan berpeluang mengenali Zahid Hamidi dengan lebih rapat lagi.

Kos asal projek dikatakan pada mulanya bernilai RM250 juta bagi jarak sejauh 75 km dan askar-askar telah dikerah untuk membina jalan di kawasan yang berlumpur dan meredah hutan-hutan yang belum diterokai.

Zahid Hamidi kemudian dilapor menyifatkan kos pembinaan jalan ini berjaya dijimatkan, lalu ia dijadikan sebagai alasan untuk meneruskan lagi projek tersebut.

Walhal, sebenarnya kualiti jalan yang dibina amat menyedihkan sekali serta tidak sepadan dengan kos yang dibelanjakan. Dikatakan dengan kualiti jalan yang dibina, kos yang sepatutnya tidak sampai pun separuh daripada harga projek.

Dikatakan hanya tidak sampai beberapa tahun selepas dibina, jalan-jaln tersebut kebanyakannya telah rosak kerana pembinaannya tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan, selain bahan-bahan digunakan juga bermutu rendah.

Walaupun diketahui umum wujud masalah yang timbul berkaitan kualiti jalan yang dibina, projek "Jiwa Murni" ini tetap menerima suntikan peruntukan apabila Perdana Menteri waktu itu, Najib Razak pada 2016 menyediakan peruntukan khas sebanyak RM743 juta untuk meneruskan pembinaan jalan di kawasan pedalaman lain seluruh Sarawak.

Sekali lagi, Zahid difahamkan terus menyelia projek jalan-jalan ini atas kapasitinya sebagai Timbalan Perdana Menteri, meskipun pada 2016 itu beliau sudah berpindah portfolio daripada Kementerian Pertahanan ke Kementerian Dalam Negeri.

Difahamkan tauke-tauke yang sebelum ini diberikan projek tersebut, terus menikmati kesinambungan kekayaan melalui hubungan rapat dengan Zahid Hamidi serta menerusi peruntukan khas yang diberikan Najib itu.

Yang penting di sini,  sediakah Zahid Hamidi menjawab dan berterus terang tentang hubungannya dengan dua tauke di Sarawak, Barry Tan dan Chew Chiaw Han itu?

Dalam waktu yang sama, SPRM juga perlu menyiasat serta meneliti skandal projek “Jiwa Murni” ini memandangkan ia merupakan projek yang dicetuskan oleh Zahid Hamidi dan mendapat peruntukan ratusan juta ringgit daripada kerajaan, tetapi jalan-jalan yang dibina banyak yang hancur dan tidak pun mampu memberi kemudahan yang selesa kepada rakyat di pedalaman Sarawak.

Maklumat tambahan dan berita berkaitan projek Jiwa Murni turut boleh dibaca melalui pautan di bawah ini:-




Nota Kaki: Beberapa pendedahan seterusnya berkaitan projek Jiwa Murni akan menyusul lagi selepas ini.

Comments