MALU APA BOSSKU!!! 2018 BANYAK KERANDA DIUSUNG BOSSKU!!!



2018  merupakan tahun paling epik pada abad ini. Pelbagai sejarah telah dicipta.

Bagaimana rakyat melihat pembentukan Malaysia baru pasca PRU ke-14, begitulah juga keadaannya di SPRM.

Banyak perkara yang telah dilakukan agar SPRM kembali ke landasan yang betul setelah agak terlencong dari paksinya.

Tugas DS Shukri Abdul yang rumit akan lebih mudah dengan bantuan DS Azam Baki sebagai timbalannya.

Antara kelebihan mereka berdua, mereka sama-sama menyaksikan jatuh bangun SPRM setelah lebih 30 tahun menjadi hamba SPRM.

Ugutan, caci maki dan fitnah telah menjadi asam garam bagi kedua-duanya kerana mereka memilih untuk menjadi pejuang yang tidak didendang.

Mereka faham masalah dalaman dan luaran. KS juga yakin kali ini mereka akan lebih berjaya apabila melihat kepada 'political will' kerajaan baru untuk menentang rasuah dan penyelewengan.

Hampir setiap minggu ada sahaja individu, daripada kakitangan rendah jabatan dan agensi kerajaan hingga ke peringkat atasan termasuklah golongan-golongan ahli politik yang disoal siasat, direman atau dihadapkan ke mahkamah atas perbagai kesalahan melibatkan rasuah, penggubahan wang haram dan salah guna kuasa.

Tahun lalu juga, SPRM telah merampas dan membekukan sebanyak RM2.5 bilion wang tunai dan jumlah itu tidak termasuk sitaan asset-aset lain.

Paling mencuri tumpuan seluruh rakyat Malaysia apabila, bekas Perdana Menteri, DS Najib Razak sendiri telah didakwa dengan lebih 39 pertuduhan rasuah, penggubahan wang haram dan salah guna kuasa.


KS yakin kes Najib ini bukanlah kes besar terakhir SPRM dalam usaha memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Dengan tindakan demi tindakan yang diambil SPRM, jelaslah SPRM melalui gandingan mantap Shukri Abdull dan Azam Baki tidak sekadar memukul tin kosong.

Malah sudah terang lagi bersuluh, itulah kejayaan SPRM sepanjang gandingan mereka berdua pelbagai kes berprofil tinggi berjaya diherat ke mahkamah.

Ini terbukti apabila tangkapan penjawat awam yang dipercayai terlibat dalam aktiviti rasuah dan salah guna kuasa merupakan yang tertinggi dengan 421 tangkapan daripada jumlah 875 tangkapan keseluruhan dalam tempoh tahun lalu.

Malah, berdasarkan statistik SPRM, jumlah tangkapan terhadap pegawai kerajaan dan badan berkanun telah memonopoli carta tertinggi berbanding tangkapan orang awam, sektor swasta dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) sejak lima tahun kebelakangan ini.

Mungkin ada segelintir suara nakal masyarakat yang mempersoalkan tindakan agresif SPRM yang mana kenapa baru sekarang SPRM bertindak agresif dengan menangkap serta menyiasat kes rasuah terutamanya berprofil tinggi membabitkan penjawat awam sedangkan sebelum ini tiada tindakan diambil.


Rasionalnya masyarakat seharusnya terbuka dan sematkan di dalam hati, inilah masa paling sesuai untuk SPRM mengambil segala langkah produktif bagi memastikan negara ini bersih daripada gejala rasuah.

Jadi… Apa lagi jenis jerung yang kita mahu SPRM tangkap untuk kita puas hati?

Kini jelas SPRM sudah pun melakukan apa yang ia mampu.

Kita harus sedar dan hargai usahanya yang gigih walaupun berhadapan dengan pelbagai kekangan dan masalah dalam menjalankan pemantauan, siasatan, pengumpulan bukti dan pendakwaan.

Berat bahu kita memandang, berat lagi bahu SPRM memikulnya.

Pegawai-pegawainya diugut bunuh, keluarga terancam, dan pelbagai lagi ancaman buruk diterima semata-mata beliau menjalankan tugasnya...

Inilah pejuang rasuah sejati...bukan sekadar melakukan roadtour keliling Malaysia mencari publisiti atau program-program publisiti murahan lain...

Jadi, kita patut kurangkan rungutan, tuntutan, sebaliknya berilah kerjasama, sokongan dan lebih penting, maklumat untuk SPRM bertindak secara berkesan.

Sudah-sudahlah. Kita tidak mahu lagi dengar negara kita dinamakan sebagai antara negara yang mempunyai 'skandal rasuah paling teruk' di dunia seperti yang diberikan oleh foreignpolicy.com.

SPRM tangkap dan seretlah ‘parasit-parasit’ ke mahkamah. Biar trak Black Maria bersesak-sesak dan mahkamah penuh dengan ‘parasit-parasit’ rasuah.

Comments