RASUAH BALAK MUSA AMAN DIDAKWA, BAGAIMANA DENGAN KESALAHAN AKTA IMIGRESEN???



Akhirnya, Bekas Ketua Menteri Sabah, TS Musa Aman didakwa atas 35 tuduhan memperoleh AS$63.3 juta berhubung penganugerahan kontrak konsensi balak negeri itu.

Mengikut tuduhan, Musa sebagai seorang ejen kerajaan negeri Sabah iaitu Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, secara rasuah memperoleh untuk diri beliau, suapan daripada lapan pemilik konsesi balak, iaitu wang keseluruhan berjumlah AS$63.3 juta (RM263,460,962.313).

Individu terbabit ialah Lim Nyuk Foh, Looh Chai Boon, Chia Tien Foh, Mazlan Zakaria, Lo Man Heng, Nasir Yeo Guan Hock, Ngui Ing Chuang dan Nip Wing Hon.

Wang suapan itu ialah sebagai dorongan untuk melakukan perbuatan berhubung hal ehwal prinsipal tertuduh, iaitu memberikan kontrak konsesi balak Sabah kepada 16 syarikat.

Syarikat berkenaan ialah Bountiful Returns Sdn Bhd, Syarikat Segar Tepat Sdn dan JV Lestari Sdn Bhd, Tamabina Sdn Bhd, Sabapiorneer Sdn Bhd, Danagaya Sdn. Bhd, LR Enterprise Sdn. Bhd, Lembah Mayang Sdn. Bhd. dan Fast Progress Sdn. Bhd, Maju Sinar Network Sdn. Bhd, Syarikat Eden Region Sdn. Bhd, Gasing Selatan Sdn. Bhd, Tetap Simfoni Sdn Bhd, Asiatic Lumber Industries Sdn. Bhd. dan Eramewa Sdn. Bhd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di lapan bank dan institusi kewangan di Hong Kong, China dan Singapura di antara 20 Disember 2004 dan 6 November 2008.

Semua tuduhan terhadap Musa adalah mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 Akta sama.

Jika disabitkan, beliau boleh dihukum maksimum penjara 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah afau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan jika ia dapat dinilai dalam bentuk wang, atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi.

Bagi pertuduhan pertama hingga ketiga, dia didakwa sebagai seorang ejen Kerajaan Negeri Sabah iaitu Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, telah secara rasuah memperoleh untuk dirinya satu suapan iaitu AS$131,578, AS$921,052 dan AS$263,000 daripada Lim Nyuk Foh melalui akaun Citi Bank dan HSBC Bank atas nama Chia Tien Foh sebagai suatu dorongan untuknya melakukan perbuatan berhubungan dengan hal ehwal prinsipnya iaitu memberikan kontrak konsesi balak Sabah kepada Syarikat Bountiful Returns Sdn Bhd.

Musa dituduh melakukan ketiga-tiga kesalahan itu di Citi Bank, Kowloon, di Hong Kong Special Administrative Region of the People's Republic Of China dan di HSBC Bank, Ocean Tower Branch, Singapura pada 20 Disember 2004 dan 17 Februari 2005.

Pertuduhan kes rasuah telah selesai…bagaimana pula dengan pertuduhan kesalah imigresen?

Musa sebelum ini dilapor melarikan diri ke London pada 17 Mei lalu berikutan krisis perlantikan Ketua Menteri Sabah yang menyaksikan beliau hanya memegang jawatan itu selama beberapa hari sebelum diambil alih oleh DS Shafie Apdal.

Berhubung tindakan Musa Aman melarikan diri ke London itu, KP Imigresen, DS Mustafar Ali pada 27 Mei lalu mendakwa, bekas Ketua Menteri Sabah itu didapati tidak mengikut sistem dan undang-undang Jabatan Imigresen bagi urusan keluar masuk negara jika benar beliau telah berada di luar negara.

Kata beliau, tiada rekod menunjukkan Musa keluar meninggalkan negara dalam tempoh terdekat ini dan kali terakhir pasport diplomatiknya digunakan ialah pada 10 April lalu.

Kata Mustafar lagi, jika Musa meninggalkan negara tanpa melalui pintu yang diwartakan, perbuatan itu adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 5 Akta Imigresen, manakala kalau gagal mengemukakan pasport untuk meninggalkan Malaysia pula, ia merupakan kesalahan di bawah Seksyen 2 Akta Imigresen.

Sekarang Musa sudah kembali ke tanahair, tetapi bagaimana beliau meninggalkan negara ini tetap merupakan suatu misteri.

Malah beliau disahkan pergi ke London dan kemudian ke Singapura sebelum kembali semula ke dalam negara.

Kenapa Jabatan Imigresen tidak bercakap langsung tentang kesalahan Musa di bawah Seksyen 5 dan Seksyen 2 Akta Imigresen?

Apakah kesalahannya melanggar undang-undang Imigresen hendak didiamkan begitu saja?

Beritahulah kepada kami rakyat jelata selaku pembayar cukai mengenai bagaimana Musa Aman meninggalkan negara sebelum ini?


Comments