BILA BERUK BOLEH MOHON VISA…ADA YANG TERKEJUT ‘BADAK’???



Sebuah akhbar tempatan minggu lepas menulis tentang bagaimana senangnya untuk pelancong dari China datang ke Malaysia ini.

Seorang wartawan akhbar ini telah pergi mendapatkan bahan berita itu hingga ke China sendiri.

Menarik cerita ini sebab masa wartawan ini cuba sendiri buat permohonan atas talian bagi visa elektronik semasa disana, dia berjaya dalam beberapa minit sahaja untuk mendapatkan dokumen itu, walaupun gambar yang di muat naiknya gambar muka seekor beruk.

Kemudahan Electronic Travel Registration & Informatian (eNTRI) untuk rakyat China memasuki Malaysia tanpa visa bagi tempoh 15 hari didapati tidak menepati matlamatnya sebagai satu sistem saringan atau tapisan awal, sebagaimana yang diuar-uarkan.

Sebaliknya, kemudahan itu dikesan sekadar menyalurkan wang secara mudah kepada sebuah syarikat yang diberi hak eksklusif oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk menguruskannya pada 2016 sehingga sekarang.

Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) yang diberi akses penuh untuk mengeluarkan eNTRI didapati membolot semua hasil kutipan fi iaitu RMB160 atau RM100 untuk satu permohonan tanpa sedikitpun menjadi hasil kerajaan.

Malah, urusan permohonan eNTRI secara dalam talian dilakukan sambil lewa dengan kelulusan dalam masa cuma lima minit dan aspek keselamatan negara nyata diabaikan apabila individu yang disenarai hitam serta ada rekod jenayah turut diberi kelulusan masuk ke negara ini.

Untuk rekod, eNTRI adalah kemudahan pendaftaran atas talian disediakan kerajaan Malaysia untuk memudahkan kemasukan warga China yang tinggal di Tanah Besar China ke Malaysia di bawah Program Pengecualian Visa.

Untuk memiliki eNTRI pelancong China perlu membayar wang pemprosesan atau fi sebanyak RMB160 (RM100) bagi setiap permohonan yang hanya boleh dibuat melalui laman web www.windowmalaysia.my .

Sejak eNTRI diperkenalkan pada Mac 2016 hingga September 2018, UKSB sudah mengutip lebih RMB329,337,280 (RM198,066,952) membabitkan kelulusan permohonan kepada 2,058,358 orang.

Difahamkan, UKSB juga melantik 20 ejen di seluruh China bagi menguruskan sistem permohonan eNTRI.

Bagi membuktikan ketirisan dan kelemahan sistem ini, wartawan akhbar tersebut membuat permohonan eNTRI dengan menyertakan foto seekor beruk, nombor tiket palsu dan alamat sebuah agensi pihak berkuasa di Malaysia.

Dengan bantuan ejen pelancongan, satu pasport palsu turut digunakan dan permohonan itu diluluskan kurang dari lima minit sebaik fi dibayar.

Ini menunjukkan begitu mudah borang kemasukan atau tapisan awal itu diberi tanpa mengambil kira foto, alamat dan tujuan lawatan.

Laporan juga menyatakan, sejak UKSB dilantik sebagai pengendali penuh kepada proses permohonan visa termasuklah eNTRI, kebanyakan syarikat pelancongan di negara ini tidak lagi mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan disebabkan pelbagai masalah yang timbul termasuklah penipuan dan caj fi lebih tinggi daripada sepatutnya.

Sesiapa sahaja boleh memohon eNTRI ke Malaysia melalui Internet. Mereka hanya perlu melayari laman web khas untuk mengisi data peribadi dan dokumen perjalanan lain yang dikehendaki sebelum membuat bayaran. Kelulusan antara lima hingga 10 minit. Kadang-kala, (kelulusan) tidak lebih lima minit selepas membuat bayaran.

Bayangkan, mereka yang disenarai hitam kerana diusir dari Malaysia membuat pasport baharu dan melakukan permohonan melalui eNTRI. Sediakan sahaja dokumen perjalanan seperti tiket, malah tiket penerbangan palsu, pasti akan lulus

Kelemahan sistem berkenaan menyebabkan ramai wanita China yang terbabit dengan sindiket pelacuran dan disenarai hitam boleh masuk semula ke Malaysia.

Caranya, membuat pasport baharu selepas diusir keluar dari Malaysia dan mendaftar melalui eNTRI untuk masuk semula.

Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) adalah pengendali tunggal menguruskan visa kemasukan pelancong China ke Malaysia dengan kelulusan diberikan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Melalui pelantikan itu, setiap pemohon visa Malaysia di China ke Malaysia perlu dipohon melalui UKSB selaku Operator Pusat Sehenti untuk tujuan tapisan awal keselamatan.

Arahan awal itu dikuatkuasakan bermula 1 Mac 2016 hingga 31 Disember tahun yang sama. Namun, pelaksanaan eNTRI terus disambung setiap tahun sehingga kini.

Walaupun kerajaan Malaysia memansuhkan fi visa untuk tujuan menarik pelancong China ke Malaysia, UKSB mengenakan yuran pendaftaran sebanyak RMB160 (RM100) bagi setiap permohonan eNTRI tanpa sebarang perolehan kepada kerajaan.

Sementara itu, SPRM telah membuat pengesahan sedang menjalankan siasatan ke atas UKSB dilakukan sejak minggu keempat September lalu dan kini sudah memasuki fasa ketiga.

SPRM telah mengambil keterangan lapan kakitangan UKSB pihaknya turut merekodkan keterangan daripada 10 hingga 15 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) .

SPRM juga telah merampas satu buku ‘faraid’ milik UKSB yang merekodkan pembayaran kepada pihak tertentu.

Siasatan mengikut Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009, Seksyen 4 Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLA) dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan (KK).

KS: Apa khabar Wan Badak??? 



Comments