10 JANJI 100 HARI ITU UNTUK TATAPAN??? INGAT RAKYAT TIDAK LUPA!!!



Hari ini, 25 November 2018 bermakna sudah genab 200 hari Pakatan Harapan memerintah negara ini sejak rakyat membuat keputusan menolak BN pada pilihanraya umum 9 Mei lalu.

Ini bererti hari ini usia kerajaan baru mencecah usia pemerintahan selama 200 hari.

Tetapi, dalam tempoh 200 hari ini, adakah Pakatan Harapan dan semua pemimpinnya masih ingat mengenai 10 janji dalam manifesto 100 hari yang pernah mereka ikrarkan kepada rakyat sebelum PRU14 lalu?

Daripada 10 janji itu, berapa daripadanya yang telah ditunaikan dalam tempoh 100 hari sebagaimana yang dijanjikan?

Selain menghapuskan GST dan menstabilkan harga minyak serta beberapa janji lain yang hanya dilaksanakan separuh-separuh, bagaimana dengan janji-janji yang lain?

Bilakah hutang-hutang tidak wajar yang melibatkan peneroka Felda mahu dihapuskan sebagaimana dijanjikan, sedangkan kawasan Felda telah menyumbang 19 kerusi Parlimen kepada Pakatan Harapan?

Sudah berapa kali Pengerusi Felda yang baru dilantik pernah turun ke tanah-tanah rancangan Felda?

Sebelum ini, barangkali ramai yang setuju dengan alasan kerajaan baru ini bahawa kekangan kewangan serta beban hutang yang tinggi adalah sebab mengapa 10 janji dalam tempoh 100 hari itu tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya.

Namun, mengapakah sebaik melepasi tempoh 100 hari, tiada lagi pemimpin Pakatan Harapan yang bercakap mengenainya?

Bukankah sepatutnya, jika 10 janji itu tidak mampu dilaksanakan dalam tempoh 100 hari, mereka mesti cuba pula menunaikannya dalam tempoh 200 hari, 300 hari dan seterusnya sehingga akhirnya kesemua janji itu ditunaikan sepenuhnya?

Ibarat janji kepada bakal isteri ketika bercinta, tidakkah jika ada janji yang tidak dapat ditunaikan sebaik berkahwin, suami yang budiman tentunya akan terus berusaha menunaikannya sama ada setahun, dua tahun atau lima tahun setelah mendirikan rumahtangga?

Tetapi, apa sudah jadi dengan janji 100 hari itu sebenarnya?

Atau Pakatan Harapan dan pemimpinnya yang ada jawatan dalam kerajaan sekarang sudah lupa mengenai janji 100 hari itu, di sebalik mula seronok dengan gaji puluhan ribu dan pelbagai kemudahan lain yang dinikmati?

Tidak mengapa, jika pemimpin Pakatan Harapan sudah lupa, KS dengan murah hati memperturunkan semula 10 janji 100 hari itu untuk tatapan serta renungan mereka.

Mudah-mudahan mereka tidak terus lupa diri dan sentiasa ingat bahawa selain janji dalam tempoh lima tahun yang perlu ditunaikan, 10 janji dalam tempoh 100 hari yang pernah diikrarkan juga adalah janji yang wajib yang untuk ditunaikan.

Rakyat tidak lupa mengenainya. Selepas 100 hari, mereka akan menunggu 200 hari, 300 hari dan seterusnya untuk melihat bilakah janji itu akan menjadi kenyataan.

Mudah-mudahan dengannya pemimpin-pemimpin Pakatan Harapan juga insaf bahawa jika kerajaan BN yang sudah berakar selama 61 tahun pun boleh ditumbangkan, menewaskan kerajaan yang hanya berusia lima tahun pada pilihanraya umum di tahun 2023 akan datang adalah ibarat mengunyah "kacang" saja mudahnya.

Comments