12 LAGI CALON EXAM SPRM…SIAPA LAGI SELEPAS ZAHID??? DAN…BERI DAN TERIMA WANG…SIAPA YANG EMPUNYA???



45 pertuduhan pecah amanah, jenayah, rasuah dan pengubahan wang haram. Nilai pertuduhan mencecah RM 114 Juta.

Secara spesifiknya, DS Zahid Hamidi didakwa atas 10 pertuduhan pecah amanah… 8 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM42,083,132.99 manakala bagi 27 pertuduhan lagi melibatkan pengubahan wang haram berjumlah RM72,063,618.15.


Zahid juga didakwa sebagai suatu ejen iaitu pemegang amanah Yayasan Akal Budi melakukan pecah amanah wang berjumlah RM20,833,128 milik yayasan itu.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad cawangan Jalan Bunus No 133 Jalan Bunus off Jalan Masjid India, di sini antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Malah Zahid juga didakwa secara rasuah menerima suapan daripada tiga syarikat berbeza iaitu Syarikat Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Syarikat Data Sonic Group Berhad dan Syarikat Profound Radiance Sdn Bhd.

Ia didakwa sebagai dorongan untuk dirinya seorang Pegawai Badan Awam iaitu Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi membantu Syarikat Mastoro, Syarikat Data Sonic dan Syarikat Profound mendapatkan projek MyEG.

Ia bagi melaksanakan penambahan pembekalan cip pasport selama lima tahun atau 12.5 juta cip yang akan dimasukkan ke dalam halaman biodata polycarbonate Pasport Malaysia untuk Jabatan Imigresen Malaysia, sebagai pengendali perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal di bawah kendalian KDN.

Bagi kes AMLATFPUA Zahid turut berhadapan 27 pertuduhan membabitkan diri secara langsung dalam transaksi aktiviti haram antara 2016 sehingga 2018.


Dicampur-campur kesemua nilai pertuduhan bernilai RM114,146,746.14…

Beliau dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM2 juta sementara menunggu sebutan semula kesnya pada 14 Disember depan.

Zahid didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUA) 2001.

Bagi perbuatan tertuduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Bagi perbuatan tertuduh mengikut Seksyen 16(a) (b) ASPRM 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi perbuatan tertuduh mengikut AMLATFPUA yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram, jika sabit kesalahan.

Melihat satu demi satu pertuduhan itu, ia rupa-rupanya bukan saja berkaitan dana Yayasan Akal Budi yang diterajuinya yang digunakan untuk membayar kad kredit beliau dan isterinya, tetapi juga melibatkan dakwaan penerimaan wang ketika beliau memegang jawatan Menteri Dalam Negeri.

Semua pertuduhan itu memperlihatkan kes yang melibatkan Zahid ini bukan saja serius, malah mencemarkan imej beliau sebagai Presiden sebuah parti Melayu terbesar di negara ini.

Dalam kes Zahid, bukan saja kerana kesnya dianggap serius, tetapi juga beliau adalah Presiden UMNO yang pertama dalam sejarah pernah didakwa atas pertuduhan jenayah di mahkamah.

Untuk itu, jika Zahid seorang yang berjiwa besar dan ingin menjaga nama baik UMNO, beliau bukan saja harus bercuti sementara kesnya dibicarakan di mahkamah, bahkan beliau mesti bertindak lebih ke depan dengan segera meletakkan jawatannya dalam kadar segera sebagai Presiden UMNO.

Imej beliau sebagai pemimpin Melayu/Islam dengan didikan latar belakang agama sebenarnya telah hancur dan musnah melalui semua pertuduhan yang dihadapinya ini dan kini sudah pun tersebar meluas ke seluruh negara serta dapat dbaca serta diteliti oleh sesiapa saja.

Tiada guna dan tidak ada apa-apa lagi yang dapat beliau pertahankan mengenainya dirinya di sebalik semua pertuduhan itu, apalagi jika ingin terus bergayut atas jawatan sebagai Presiden UMNO.

Hanya dengan mengundur diri dan meletakkan jawatan saja merupakan pilihan terbaik di mana selepas ini beliau perlu menghadapi semua perjalanan kesnya di mahkamah secara peribadi tanpa melibatkan lagi nama parti.

Undur dan berehatlah dengan keluarga serta anak cucu yang masih menyayanginya.

Benarkah juga dikhabarkan sekurang-kurangnya ada 12 lagi pemimpin UMNO dan BN yang bakal mengikut jejak langkah Zahid yang kini sangat aktif di bilik exam SPRM atas pelbagai kesalahan rasuah ketika mereka menjadi menteri dalam pentadbiran era BN sebelum ini?

KS: Sambil-sambil menunggu senarai 12 orang lagi tu, eloklah kiranya SPRM jengok-jengoklah syarikat yang disebutkan namanya dalam pertuduhan-pertuduhan hari ini…Siapa yang empunya.

Comments