UCAPAN SAYA BERGELAR YB



Pertamanya, saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada para penyokong saya di kawasan Parlimen Kekanda Satria ini yang merangkumi pengundi Jalan KS 305 dan Jalan 306 yang telah memberi kemenangan kepada saya dengan majoriti satu undi.

Penat lelah pasukan saya yang membantu saya berkempen sejak 15 hari lalu sesungguhnya tidak dapat dinilai dengan wang ringgit, apatah lagi saya hampir-hampir tidak jadi mendaftar sebagai calon disebabkan tidak cukup wang.

Mujur ada Tauke Glade yang memberi pembiayaan mudah. Dia kata dia bukan Ah Long tapi ikhlas mahu tolong. Tauke Glade tidak datang malam ini tapi dua wakil dia yang ada tatu di tengkuk berdiri di tepi pentas ini.

Kenapalah SPR tetapkan RM10,000 sebagai deposit jadi calon Parlimen? Patut tetapkan serendah RM500 supaya kawasan ini boleh ada pertandingan 30 penjuru. Baharu meriah. Setiap inci jalan kita jumpa poster calon-calon sampai tak nampak jalan.

Terima kasih juga kepada sahabat-handai yang membantu kempen saya menerusi Twitter dan ReTweet menggunakan akaun-akaun halimunan sehingga menjadikan teks asal tweet saya diulang tweet sebanyak 20 juta kali mengatasi Justin Bieber dan 1Direction.

Terima kasih Pak Karno kerana menterjemah teks Twitter saya ke bahasa Indonesia dan Anoop ke bahasa Bangladesh serta Reyes ke bahasa Tagalog.

Mereka bertiga ini ada di sebelah kanan saya. Nampak? Saat ini pun mereka sibuk menaip dan mengutus tweet ucapan kemenangan saya ini.

(Hadirin bertepuk)

Kempen saya sebenarnya serba-serbi kekurangan. Saya tidak dapat liputan akhbar dan televisyen. Saya bukan berpihak kepada mana-mana parti tetapi parti sampai subuh yang saya sokong ideologinya.

Sepatutnya calon Bebas macam saya dapat perhatian daripada portal berita yang mendakwa diri mereka tidak pro sesiapa. Tapi itu semua temberang. Mereka siap minta saya beli iklan. Mana saya ada duit?

(Hadirin mengeluh)

Atas sebab itu, bila saya diumumkan menang sebentar tadi, saya telah dihubungi oleh pengacara terkenal CNN, Larry King yang baca tweet saya. Dia tanya bagaimana saya dapat menang pilihan raya tanpa duit, tanpa publisiti?

Saya kata mudah saja Larry. Dua hari sebelum hari pengundian, saya buat pondok panas depan simpang masuk Jalan KS 305 dan saya tawarkan sekotak ayam KFC kepada sesiapa yang berhenti dan bersalam dengan saya.

Masa itu saya kenalkan diri sebagai calon. Mana saya dapat wang beli KFC? Tauke Glade bagi. Siaran ulangan wawancara saya dengan Larry King tidak ada. Tapi saya akan pastikan anda boleh tonton di YouTube.

(Hadirin bersorak)

Oleh kerana saya calon Bebas, saya tidak terkena serangan kempen politik mana-mana pihak secara ganas.

Ada juga cuba mencemarkan reputasi saya sebagai seorang yang suka meletak kereta sesuka hati di Jalan KS 305 yang sesak, sehingga susah lori simen hendak lalu.

Itu saya nafikan sekeras-kerasnya sebab saya pakai motosikal. Pihak yang menuduh saya itu tidak mahu siasat bahawa Audi R8 E-Tron yang saya naik tempoh hari adalah milik Tauke Glade.

Saya juga tidak ada apa-apa skandal video di Bali atau Hong Kong sebab awal-awal lagi saya sudah lelongkan pemain video di kedai Cash Converter. Mana ada kedai sewa video lagi sekarang? Semua pakai VCD, DVD dan muat turun haram dari Internet.

Walaupun tiada skandal video, saya ingin menegaskan saya tidak mengalami sakit lutut atau buncit perut dan tidak gemar ais krim. Saya amalkan hidup sihat dengan bermain futsal seminggu sekali. Oleh itu, seluar saya bukan bersaiz gergasi.

Saya bersyukur kerana setiap ceramah saya dihadiri ramai orang. Tidak seperti parti lain yang datang cuma 20 orang itu pun campur tukang pasang khemah dan bodyguard. Setiap ceramah saya dihadiri tidak kurang 300 orang termasuk buruh asing di kawasan ini. Setiap yang hadir menerima dua ketul ayam percuma.

Saya adalah orang pertama menandatangani perjanjian berkempen secara berhemah dan saya tidak mengoyak atau mengebom sesiapa. Poster kempen saya pun guna kertas fotostat A3. Saya juga orang ke-187 membuat perisytiharan harta kepada SPRM. Itu pun masih ada cubaan memfitnah saya memiliki rumah agam di Brisbane, Australia. Saya ingin membuat pengakuan di sini, rumah agam itu memang saya ada. Tapi ia adalah wall-picture komputer laptop saya. Gambar itu saya ambil di Instagram.

(Hadirin bersorak)

Daripada aspek wawasan saya untuk memajukan Jalan KS 305 dan Jalan KS 306 ini, saya berjanji akan memperjuangkan aduan-aduan penduduk di sini yang mahu lori simen dilarang lalu di sini lagi, sebaliknya dibuka Jalan 7 yang khas untuk lori sahaja. DBKL kata dana diperlukan bagi membina laluan baharu itu sangat mahal. Saya kata jangan bimbang, kalau tidak cukup dana, saya ada Tauke Glade boleh tolong sikit-sikit.

Saya sudah ditanya sama ada akan memohon jawatan Menteri atau Timbalan Menteri dalam Kabinet baharu ini. Memandangkan saya ini calon Bebas, saya katakan kepada Perdana Menteri, saya tidak menolak jika ditawarkan jawatan. Paling tidak portfolio Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebab saya tahu tiada siapa di situ. Kalau tidak, portfolio Menteri Penerangan pun boleh. Saya sudah buktikan kejayaan saya sampaikan penerangan kempen saya ke peringkat global dalam Twitter menerusi tiga petugas antarabangsa saya.

Namun jika saya tidak ditawarkan apa-apa pun tidak mengapa. Saya berkhidmat untuk rakyat di Jalan KS 305 dan Jalan KS 306 seperti biasa. Pondok panas saya di simpang jalan tetap beroperasi sampai habis penggal lima tahun ini, selagi tidak diroboh DBKL atau dilanggar lori simen.

(Hadirin bertepuk)

Saya juga memberi jaminan bahawa saya akan mengotakan manifesto pilihan raya saya yang hanya sebanyak tiga perkara iaitu memastikan kesesakan lalu lintas tiada lagi di Jalan KS 305, memastikan lori simen mendapat laluan baharu Jalan KS 307 dan mengisytiharkan dua jam seminggu untuk bermain futsal bagi semua pengundi saya supaya sihat dan mungkin boleh mewakili Harimau Malaya. Saya tidak berjanji apa yang saya tidak boleh lakukan. Saya yakin para pengundi tidak akan tertipu sebab itu pun saja yang saya mampu.

Akhir sekali, satu acara cabutan bertuah akan diadakan bagi hadirin yang membeli tiket masuk RM20 tadi. Pemenang akan diterbangkan ke Perlis untuk bercuti sambal makan harumanih, ditemani saya, semestinya.

Sempena kemenangan saya mewakili parti sampai subuh ini juga, marilah kita raikan malam ini dengan persembahan khas band heavy metal Metallica dan Iron Maiden yang ditaja khas oleh Tauke Glade.

(Hadirin mula head banging)


Comments