BUKANKAH KAMU ITU KHALIFATULLAH???



Kurang 24 jam sahaja lagi kita semua bakal mengundi. Sebenarnya KS (dan KS yakin ramai lagi orang lain juga) sudah merasa sangat meluat dan cemuih dengan cara kempen politik khususnya politician Melayu dan jentera mereka.

Mana tidaknya, saban hari kita lihat mereka saling menghina, saling memfitnah, saling memburuk-burukkan antara satu sama lain ke tahap yang kadang-kadang tak boleh diterima akal yang waras.

Segenap saluran media digunakan untuk mencaci satu sama lain, sama ada media konvensional atau media baharu. Akhbar, TV, radio, kain rentang, billboard, media sosial, apa sahaja mereka gunakan.

Jika kita lihat pesta hina-menghina ini, seolah-olah tidak ada seorang pun pemimpin Melayu yang bersih dan layak dipilih. Tak malu ke? Bangsa lain memerhatikan kita. Seluruh dunia memerhatikan kita.

Kenapa menghina sampai habis persoalan peribadi diungkit, dicaci, malah direkayasa cerita fitnah? Malah hingga emak-bapak, atuk, nenek moyang pun turut dilibatkan sama. Inikah politik matang orang Melayu?

KS ternanti-nanti kupasan dan ulasan yang lebih cerdik, yang menyentuh tentang apa perancangan untuk mendapatkan kembali tanah rezab Melayu yang dah hampir separuh hilang, apa perancangan nak menambahkan bilangan profesional Melayu dalam bidang-bidang tertentu, apa perancangan nak meningkatkan tahap keselamatan domestik, apa perancangan nak empower kawasan orang Melayu di Asia Tenggara ini dalam kemelut kuasa besar China-US, apa perancangan nak tangani masalah kesempitan hidup miskin bandar dan miskin desa, apa perancangan nak hadapi masalah kenaikan kos rawatan kesihatan dan kesesakan di hospital kerajaan, dan sebagainya.

Ini yang rakyat mau dengar. Bukan londeh-melondeh antara satu sama lain. Kita dah nak pilihanraya 14 kali sejak 1955. Nampaknya mentaliti orang politik dan jentera mereka masih di tahap yang rendah, malah lebih rendah daripada pada tahun 1950an dan 60an yang membahaskan tentang kemerdekaan dan berkerajaan sendiri.

Sudah-sudahlah berpolitik cara bodoh ni. Isilah perjuangan kamu dengan hujah mahu mensejahterakan rakyat dan seisi negara ini.

Bukankah kamu tu khalifatullah?

Comments